XIFU Naser telah mengulas tentang penggunaan colok oleh Cina Muslim dalam ruangannya minggu lepas. Ia lanjutan penularan video yang menunjukkan jemaah Cina Muslim berkopiah putih dan berjubah membakar colok dalam satu upacara di China. Saya menerima video yang sama daripada mereka yang inginkan penjelasan.

Colok, atau setanggi, adalah sejenis kemenyan yang berbau harum apabila dibakar. Ia digunakan oleh masyarakat Cina dalam upacara keagamaan; kebiasaannya di hadapan patung Buddha, gambar nenek-moyang atau dewa, serta di perkuburan. Selain istiadat keagamaan, colok juga digunakan sebagai pewangi rumah dan aromaterapi untuk tujuan meditasi.

Masyarakat India yang beragama Hindu turut membakar colok dalam upacara keagamaan mereka. Malah, masyarakat Melayu dahulu kala juga membakar kemenyan pada setiap malam Jumaat dan hari Safar. Asap dan bau kemenyan dipercayai mampu menarik makhluk halus yang berada di dunia ghaib. Sebab itulah asap kemenyan merupakan satu kemestian dalam upacara ritual.

Sebuah video di laman YouTube menunjukkan masyarakat di desa Trunyan, Bali, Indonesia yang majoritinya beragama Hindu masih mengamalkan tradisi pengebumian yang aneh, di mana mayat tidak dikuburkan tetapi disandarkan pada pokok kemenyan. Mayat tidak berbau busuk kerana pokok kemenyan bukan sahaja mengeluarkan aroma yang harum malah mampu menyerap bau busuk mayat.

Amalan membakar colok sebagai pengharum telah diamalkan sejak turun-temurun oleh masyarakat Cina di Tanah Besar China termasuk dalam kalangan mereka yang beragama Islam. Sesetengah masjid di China menyediakan tempat untuk meletakkan colok di luar masjid. Para imam ('ahong’) dan jemaah akan berbaris untuk masuk ke dalam masjid sambil memegang colok yang dinyalakan dan colok tersebut akan ditinggalkan dalam bekas yang disediakan sebelum memasuki dewan solat.

Seperti yang dijelaskan oleh Xifu Naser, bakar colok dalam bahasa Cina ialah ‘jing xiang’ (Mandarin). Jing bermaksud ‘mempersembahkan’ dan xiang pula ‘wangi’. Maka, jing xiang maksudnya ‘mempersembahkan wangian’. Budaya membakar colok dalam ritual seperti yang disebut di atas juga merupakan simbolik kepada tanda hormat, sama ada untuk orang yang lebih tua atau tokoh yang dihormati.

Presiden Macma Malaysia, Prof Dr Taufiq Yap, yang baru sahaja melawat Guangzhou, China, turut melihat penggunaan colok di makam Saad Abi Waqas. Pengunjung Islam yang datang akan menyalakan api pada colok dan mencacakkannya dalam bekas yang disediakan di luar kawasan makam. Ia untuk menimbulkan bau harum di kawasan tersebut.

Begitu juga di makam dua ulama yang merupakan pengasas Masjid Niujie di Beijing; bekas colok disediakan di kawasan makam tersebut. Tradisi ini masih diamalkan hingga kini.

Selain itu, pembakaran gaharu (oud) juga merupakan adat orang Arab. Kepingan kayu gaharu direndam dalam minyak kemudiannya dibakar dalam dupa untuk asapnya juga dikenali sebagai 'bakhoor'. Kebiasaannya, mereka membakarnya untuk menghormati tetamu yang datang berziarah. Selain itu, ia juga digunakan semasa majlis keramaian, majlis ilmu, kematian, dan sebagainya. 

Semasa Ramadan pula, kayu gaharu dibakar di dalam masjid semasa solat tarawih bagi mengeluarkan bau harum untuk keselesaan jemaah. Di Masjidil Haram, terdapat perasap (bekas membakar kemenyan) besar yang diisi dengan kayu gaharu. 

Dikisahkan juga bahawa Imam Malik RA sentiasa berpakaian kemas dan harum serta beliau membakar bakhoor sebelum mula mengajar pada majlis-majlis ilmu. Asap bakhoor yang harum membantu meredakan ketegangan otot serta saraf dan mampu mengurangkan tekanan.

Dalam dunia serba moden kini, produk wangian juga telah berkembang dengan adanya pelbagai jenama pewangi sama ada beralkohol atau tanpa alkohol; kebanyakannya datang dari dunia Barat. Manakala pembakaran kayu gaharu, setanggi, kemenyan, mahupun colok pula dianggap sinonim dengan dunia perbomohan atau ritual keagamaan. Tanggapan ini salah.

Berdasarkan sejarah, tradisi dan contoh-contoh yang dinyatakan di atas, boleh dirumuskan bahawa penggunaan colok dan seumpamanya lebih merupakan budaya dan ia tidaklah bertentangan dengan agama jika bertujuan untuk mewujudkan suasana tenang, damai dan harum. Ia hanya menjadi haram sekiranya digunakan dalam ritual yang membawa kepada syirik terhadap ALLAH SWT.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAHNIAH kepada semua penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan tahun baharu 1439H. Syabas kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bukan sahaja mengiktiraf seorang tokoh tetapi 15 tokoh pendakwah termasuk Pengerusi Macma Melaka dan Terengganu.
  • MASYARAKAT Cina di Kelantan telah wujud sejak abad ke-17 Masihi lagi. Malah, ada yang tiba di Kelantan lebih awal daripada kedatangan orang Cina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ini berdasarkan penemuan patung dan tokong yang berusia 600 tahun atau lebih di Kampung Pulai, Gua Musang yang berasal daripada Dinasti Ming.
  • BARU-baru ini, saya telah dijemput oleh saudara Mohd Fariz Mat Rahim untuk menjadi moderator Bengkel Brainstorming anjuran Pusat Integrasi Antara Kaum (Peka). Mohd Fariz merupakan Pegawai Khas Exco Kerajaan Negeri, YB Datuk Haji Anuar Tan, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan.
  • SAMBUTAN Hari Kebangsaan Ke-60 telah pun berlalu. Saya amat tertarik dengan sambutan tahun ini terutamanya upacara membaca ikrar Rukun Negara.
  • SAMBUTAN Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2017 bertemakan slogan Negaraku Sehati Sejiwa. Tema yang dipilih sesuai bagi mengekalkan dan memperbaharui semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Kelestarian hubungan antara kaum ini amat penting agar negara menjadi stabil dan aman damai.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.