BARU-baru ini, masyarakat Cina di Malaysia telah menyambut Pesta Tanglung. Oleh kerana di Malaysia ia dirayakan semasa Pesta Kuih Bulan, maka Pesta Tanglung juga dikenali sebagai Pesta Kuih Bulan di Malaysia.

Ia adalah perayaan kedua terpenting bagi masyarakat Cina selepas Tahun Baharu Cina. Masyarakat Cina Muslim yang masih mempunyai ramai saudara-mara bukan Islam tidak terkecuali daripada meraikan tradisi ini bersama keluarga masing-masing.

Pesta Tanglung dan Kuih Bulan turut mendapat sambutan kaum lain, bahkan ia telah menjadi satu tarikan pelancong, dalam mahupun luar negara. Pelbagai pihak menganjurkan Pesta Tanglung dengan pelbagai reka bentuk tanglung yang menarik.

Di Malaysia, Pesta Tanglung dirayakan pada hari ke-15 dalam bulan ke-8 kalendar Cina, tidak mengikut kebiasaannya, iaitu pada hari ke-15 bulan pertama kalendar Cina. Pada tahun ini, ia jatuh pada 4 Oktober. Ia turut dinamakan Pesta Bulan kerana ketika itu bulan penuh dan paling besar.

Pada 30 September lalu, masyarakat Cina Muslim dalam kalangan ahli Macma Ipoh, Pahang dan Selangor telah menganjurkan pesta ini secara serentak.

Perayaan ini disambut dengan penyediaan kuih bulan berintikan telur kuning masin dan biji teratai, manakala kanak-kanak pula bermain tanglung dengan pelbagai reka bentuk dan warna; ada yang mengikut karakter kartun seperti Doraemon atau Ultraman yang diperbuat daripada kertas atau plastik dan dinyalakan dengan lilin mahupun lampu elektronik.

Ada yang meletakkan lebih banyak telur kuning masin untuk menambahkan kelazatan kuih bulan. Ia juga dipelbagaikan dengan variasi inti mengikut cita rasa tempatan seperti inti durian, kacang hazel, keladi, pandan, coklat ataupun kekacang seperti biji labu, kuaci dan kacang merah.

Seperti yang saya kongsi dalam artikel terdahulu, terdapat pelbagai legenda berkenaan asal-usul Pesta Tanglung. Ini tidak menghairankan memandangkan ia berusia lebih 2,000 tahun. Sememangnya akan wujud bermacam-macam legenda dan mitos. Jika dikaji asal-usul sesuatu kebudayaan, terdapat perbezaan ketara antara kisah dongeng atau legenda, dan sejarah.

Walau apa pun legenda dan sejarahnya, yang jelas, Pesta Tanglung dan Kuih Bulan bukannya perayaan agama. Ia adalah budaya Cina sejak turun-temurun. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun sesuatu kebudayaan atau perayaan tiada kaitan dengan agama, apa sahaja unsur khurafat yang bertentangan dengan Islam, sekiranya ada, tetap dilarang.

Sejarah yang lebih tepat mengenai Pesta Kuih Bulan ini adalah sebagai memperingati kejayaan pemberontakan rakyat dalam menggulingkan Dinasti Yuan (1271-1368). Dinasti Yuan merupakan dinasti asing yang memerintah China. Kerajaan Mongol ingin menguasai China sejak zaman purba lagi. Mereka akhirnya berjaya di bawah pimpinan Maharaja Mongol yang bernama Kublai Khan yang mengalahkan Dinasti Song (960-1279).

Kublai Khan ialah cucu pengasas Empayar Mongol, Genghiz Khan. Sepupu beliau, Hulagu Khan, telah berjaya mengalahkan Empayar Abbasiyah di Kota Baghdad. Ketika pemerintahan Mongol di China, berlaku penindasan ke atas orang Cina; mereka dilarang memiliki senjata serta dikenakan cukai yang tinggi. Pengurusan tanah juga lemah menyebabkan kurangnya hasil tanaman.

Lebih menyedihkan, bagi setiap 10 keluarga, hanya satu pisau dibenarkan untuk digunakan ketika memasak dan ia akan diambil semula oleh pengawal Mongol yang ditempatkan di luar rumah. Mereka juga mesti memberi makanan dan minuman kepada pengawal Mongol. Dipendekkan cerita, pemimpin pemberontak telah mengedarkan kuih bulan yang mengandungi mesej 'Bunuh Mongol pada hari ke-15 bulan ke-8'.

Ribuan kuih bulan diedarkan kepada penduduk China dan perancangan ini berjaya kerana orang Mongol tidak makan kuih bulan. Pemerintah Mongol kembali ke Mongolia dan Dinasti Yuan diganti oleh Dinasti Ming (1368-1644).

Mesyuarat Panel Pakar Syariah (PPS) Jakim Kali Ke-89 telah memutuskan bahawa hukum apa-apa aktiviti yang melibatkan tanglung adalah harus, dengan syarat, tiada unsur pemujaan dan ritual agama dan apa-apa kaitan kepercayaan yang bercanggah dengan syarak.

Bayan Linnas siri ke-118 yang bertarikh 5 Oktober 2017 oleh Mufti Wilayah Persekutuan juga berpandangan bahawa hukum menyambut Pesta Tanglung adalah harus. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Dr Zulkifli, semoga umat Islam terus berpegang teguh dengan akidah yang benar dan pada masa yang sama, mengamalkan fiqh ta’ayush (kewujudan bersama) dalam kehidupan agar keindahan Islam terus dapat dikongsi dengan seluruh masyarakat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
  • HUJAN mencurah-curah di tiga negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia sejak minggu lepas. Kita sedia maklum, hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan banjir, sama ada pada skala kecil atau besar.
  • ANTARA kisah yang tersimpan dalam lipatan sejarah, adalah tentang seorang putera raja bernama Siddhartha Gautama yang lahir pada 623 sebelum Masihi di Lumbini, Kapilavasthu, Nepal.
  • PEGAWAI tentera wanita beragama Islam di Malaysia mempunyai pakaian seragam bertudung.
  • SKIM Ponzi adalah salah satu skim penipuan yang mendapat namanya rentetan penipuan Charles Ponzi terhadap rakyat Amerika yang melibatkan wang sejumlah AS$20 juta pada 1920. Ponzi menawarkan pulangan jangka pendek yang luar biasa tinggi untuk menarik pelabur.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.