MASYARAKAT Cina Muslim mempunyai sejarah yang lama di bumi Malaysia, bermula dengan ketibaan Laksamana Cheng Ho di Melaka pada tahun 1405 dan pengembaraannya ke Alam Melayu hingga tahun 1433. Gelombang seterusnya ketibaan Cina Muslim tercatat dalam sejarah dengan penempatan kumpulan etnik Hui Hui di Terengganu, suku kaum Koay (Koay Clan) di Pulau Pinang, dan suku kaum Tiangjin Hui Hui di Sabah.

Mengikut perangkaan Jabatan Statistik Malaysia pada tahun 2000, jumlah Cina Muslim di Malaysia ialah 57,221 orang (1% daripada keseluruhan kaum Cina yang seramai 5.69 juta). Pada tahun 2012, angka ini menurun kepada 42,048 orang (0.66% daripada populasi kaum Cina yang seramai 6.39 juta).

Kemungkinan besar penurunan angka ini berkaitan dengan perkahwinan campur antara Cina dengan Melayu yang generasi kedua dan ketiganya dianggap sebagai Melayu hasil dari asimilasi budaya. Penyelidik menganggarkan jumlah sebenar masyarakat Cina Muslim di Malaysia ketika ini melebihi 85,000.

Masyarakat Cina Muslim mempunyai peranan besar dalam memberikan gambaran Islam yang tepat kepada kaum Cina yang belum Islam. Pada umumnya, masyarakat Cina bukan Muslim di Malaysia masih kabur tentang inti pati sebenar ajaran Islam.

Cina Muslim yang boleh berbahasa Cina serta lebih memahami kebudayaan dan tradisi Cina seharusnya berperanan sebagai jambatan komunikasi untuk mengurangkan jurang salah faham dalam kalangan komuniti Cina bukan Muslim terhadap Islam.

Salah faham agama boleh membawa kepada salah tafsir yang berpotensi mencetuskan konflik serta perselisihan faham. Krisis dan konfrontasi antara agama, jika dibiarkan berlarutan, akan menjejaskan keharmonian, ketenteraman serta kestabilan negara.

Teras perpaduan di Malaysia memerlukan pendekatan integrasi yang merangkumi kepelbagaian etnik, budaya, dan agama. Masyarakat Cina Muslim mampu menjadi perantara dalam usaha ini; antaranya memupuk sikap kebersamaan dan toleransi antara komuniti Cina bukan Muslim dengan komuniti Melayu.

Antara tokoh Cina Muslim yang menonjol dalam perpaduan negara ialah Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin. Beliau merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan dan antara empat anggota parti Perikatan yang menggubal Perlembagaan Malaya di London pada April 1957 sebelum kemerdekaan pada Ogos tahun yang sama.

Tun Omar juga merupakan salah seorang pengasas parti MCA pada tahun 1949. Pada tahun 1952, beliau bersama-sama Datuk Yahya Razak daripada Umno merintis pembentukan perikatan MCA-Umno untuk bertanding dalam pilihan raya. Beliau yang lahir pada tahun 1917 telah memeluk Islam pada tahun 1961 dan dianugerahkan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun pada tahun 1979.

Beliau terlibat secara aktif dalam kerja kebajikan antaranya sebagai Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan St John Ambulans, Presiden Yayasan Jantung Malaysia, dan Naib Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Pada tahun 1961, Tun Omar mengetuai delegasi Malaya ke Sarawak bagi membincangkan pembentukan Malaysia dan merupakan seorang daripada wakil yang menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia di London pada September 1963. Jasa besar beliau boleh dilihat dalam membantu negara ini menentang komunis dan cauvinis kecinaan yang membawa kepada peristiwa 13 Mei 1969.

Perjuangan komuniti Cina Muslim dalam mengutuhkan perpaduan ini diteruskan oleh Allahyarham Datuk Haji Sulaiman Hon, presiden pertama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), yang kemudiannya digantikan oleh Datuk Haji Mustapha Ma, dan kini Macma diketuai oleh Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Penyatuan dan penyelesaian konflik antara Cina bukan Muslim dengan Melayu bermula pada zaman Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin. Dengan pemergiannya pada tahun 2010, Malaysia kehilangan seorang pejuang kemerdekaan dan anggota terakhir Kabinet pertama negara di bawah pimpinan Allahyarham Tunku Abdul Rahman.

Patah tumbuh hilang berganti. Usaha perpaduan perlu terus disemarakkan oleh tokoh masyarakat, akademik dan perniagaan dalam kalangan Cina Muslim yang semakin bertambah akhir-akhir ini.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan!

 

 

* Johari Yap, Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan