RASA seronok dapat ber-senamrobik dan berjalan bersama-sama lebih 7,000 peserta Pink Walk Kaseh OKB Hospis BestARI 2017 yang dianjurkan oleh Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) pada Sabtu, kelmarin. Program dengan kerjasama Persatuan Hospis Kelantan dan Unit Penyelidikan dan Kesedaran Kanser Payudara (BestARI) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu bermula jam 7 pagi dari Padang Maktab Sultan Ismail (SIC) dengan laluan sejauh 4.5 kilometer.

Lebih menarik lagi, program turut disertai Tengku Puan Temenggong Kelantan, YM Tunku Puan Sri Datuk Hajjah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan penaung program tersebut, penyanyi dan usahawan Datuk Khadijah Ibrahim yang merupakan Duta Kanser OKB, dan lebih 100 pesakit kanser di negeri Kelantan.

Syabas diucapkan kepada Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad, yang bertungkus-lumus memastikan program tersebut berjalan lancar.

Program sebegini amat bagus bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanser payudara yang diketahui umum sebagai antara pembunuh utama wanita bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Umum juga mengetahui terdapat golongan masyarakat kita yang lebih suka berubat dengan bomoh terlebih dahulu dan hanya berjumpa doktor perubatan apabila keadaan telah menjadi semakin buruk. Malangnya, ia mungkin sudah terlambat.

Dengan adanya kesedaran dan kefahaman mengenai rawatan awal kanser, sudah pastilah harapan untuk sembuh jauh lebih baik dan pada masa sama dapat mengu-rangkan beban akibat kos rawatan yang jauh lebih tinggi untuk merawat tahap kanser yang telah lanjut.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Februari 2015 menunjukkan terdapat lebih kurang 14 juta kes baharu kanser di seluruh dunia dan 8.2 juta kematian disebabkan kanser. Kanser juga merupakan salah satu penyebab utama kematian di Malaysia. Menurut statistik yang dikeluarkan pada 2015, dianggarkan seramai 45,000 rakyat Malaysia menghidap kanser setiap tahun dan majoriti pesakit adalah kaum wanita. Lima kanser utama dalam kalangan rakyat Malaysia ialah kanser payudara, usus, paru-paru, pangkal rahim dan nasopharyngeal.

Saya mula mengenali Sheikh Ahmad Dusuki pada 2016 ketika arwah sahabat saya, Nurain Khalisa Teo, terlantar selama tujuh bulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu akibat penyakit autoimun kulit. Beliau bersama rombongan ahli POKB telah melawat arwah dan menyampaikan sumbangan ketika ziarah yang berikutnya. Ketika itu, saya baru mengetahui tentang aktiviti POKB yang sering membantu pesakit di hospital, termasuk yang menghidap penyakit kronik, tanpa mengira agama dan keturunan.

Sheikh Ahmad Dusuki tidak pernah berkira masa dan tenaga serta sentiasa proaktif dalam kerja-kerja amal dan kemasyarakatan. Beliau dan pasukan POKB sentiasa memikirkan cara untuk membantu pelbagai pihak yang memerlukan, contohnya  golongan miskin, pesakit kronik, mangsa dera, mangsa banjir dan sekolah tahfiz yang ditimpa musibah. Dalam pertemuan baru-baru ini, beliau sempat berkongsi bahawa setiap kali sebelum melancarkan sebarang kempen mengutip dana atau menjalankan aktiviti, mereka akan melakukan solat hajat untuk mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan.

POKB  yang didaftarkan pada 31 Mei 2011 di Kuala Lumpur meru-pakan cetusan idea penaungnya, Tan Sri Datuk Mohamad  Fatmi Che Salleh. Walaupun baru enam tahun usia penubuhannya, POKB berjaya membina jaringan dalam kalangan orang Kota Bharu yang bermastautin di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Apa yang saya lihat, POKB merupakan salah satu NGO yang menyatukan pelbagai agama dan keturunan dalam satu pertubuhan, demi membantu mereka yang kurang bernasib baik, bukan sahaja di Kota Bharu tetapi di mana-mana sahaja di Malaysia. Antara lain, POKB turut membantu murid-murid miskin yang dijadikan anak angkat; antaranya di SRJK (T) Kajang dan SRJK (C) Chung Cheng di Kota Bharu. Mereka juga sedang membina Masjid An Nur Bakti OKB di Sungai Golok, Selatan Thailand di atas sebidang tanah wakaf seluas 7,000 kaki persegi.

Sebagai anak Kelantan, saya amat berbangga dengan POKB. Semoga POKB terus maju.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BEBERAPA hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Lunar yang juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina. Sebagaimana biasa, akan kedengaran ungkapan Gong Xi atau Gong Xi Fa Cai di sana sini.
  • MASYARAKAT kita sudah terbiasa dengan pemi-kiran bahawa pelajar perlu belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan segulung ijazah dan apabila selesai pengajian, dapat kerja yang baik-baik.
  • ALLAHYARHAM Abdul Rahman bin Othman, yang lebih terkenal dengan nama Tok Selehor, merupakan seorang ulama kelahiran Kelantan yang zuhud dan warak.
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?
  • MINGGU ini bermulanya penggal persekolahan bagi tahun 2018. Barangkali, ramai anak yang mengeluh kerana perlu kembali bersiap awal pagi untuk ke sekolah, setelah lama bercuti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.