PRU14 baru saja selesai. Seramai 14,449,200 orang layak mengundi pada 9 Mei 2018, di 8,253 pusat mengundi, dengan 28,115 saluran.

Semua pusat mengundi mula dibuka pada jam 8 pagi dan ditutup dengan waktu yang berbeza mengikut lokasi pusat mengundi dan waktu pengundian ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang.

Selain pengundian biasa pada 9 Mei, terdapat seramai 278,590 pengundi awal (anggota polis, Pasukan Gerakan Am serta pasangan, dan anggota tentera serta pasangan) yang mengundi pada 5 Mei di 586 pusat mengundi yang melibatkan 910 saluran.

Saya merupakan salah seorang pemerhati pilihan raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mewakili NGO Persatuan Orang Kota Bharu.

Sebagai pemerhati, saya diberi kebenaran membuat pemerhatian dalam pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan kertas undi dan proses penjumlahan undi melibatkan Parlimen Kubang Kerian.

Saya berkesempatan meninjau keadaan pengundian awal di Balai Polis Binjai yang melibatkan 69 pengundi. Sebagaimana pengundian biasa, pengundian awal bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 5 petang.

Mereka mengundi sebagaimana orang awam mengundi dan petugas bagi pihak SPR ialah penjawat awam dari Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan. Pegawai-pegawai polis pun tidak boleh masuk ke tempat mengundi sesuka hati kecuali petugas SPR atau mereka yang mengundi.

Selesai waktu mengundi (pengundian awal), kertas undi dibungkus di dalam peti undi, dan ditandatangani oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) serta ejen parti politik yang dilantik. Peti undi itu dikunci (turut ditandatangani) itu diletakkan di dalam karung berwarna kuning yang juga berkunci.

Karung kuning tersebut disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dan dibawa ke Kompleks Islam Lundang untuk dikira pada 9 Mei setelah tamat pengundian jam 5 petang.

Peti undi tersebut dibuka oleh KTM di hadapan ejen-ejen parti politik yang telah menandatangani pada peti undi tersebut, dan undi dikira satu-persatu di hadapan mereka. Begitulah juga proses membuang undi bagi pihak tentera.

Saya sempat meninjau dua pusat mengundi, iaitu di SMK Kubang Kerian (SMKKK) dan SK Kubang Kerian 3 (SKKK3). SMKKK memegang senarai 5,194 pengundi berdaftar dan daripada jumlah ini, seramai 3,802 telah datang mengundi.

Saluran 1 dihadkan kepada 350 pengundi warga emas manakala saluran lain tidak lebih daripada 700 pengundi. SMKKK mempunyai 8 saluran dan setiap saluran ditetapkan untuk seramai 692 pengundi. Selaku pemerhati, saya telah tiba di SMKKK pada jam 7 pagi untuk melihat persiapan tempat mengundi dan alatan mengundi.

Yang mengagumkan, sudah ramai yang datang pada jam 7.30 pagi dan lebih kurang 10 orang telah beratur pada setiap saluran walaupun jam belum pun pukul 8 pagi.

Peti undi telah dipastikan kosong dan ditandatangani oleh KTM dan ejen-ejen parti politik sebelum saluran mengundi dibuka kepada pengundi.

Saya sendiri telah mengundi di saluran 4 di SMKKK. Terjadi peristiwa lucu apabila pengundi pertama telah salah meletakkan kertas undi Parlimen ke dalam peti undi Dun dan kertas undi Dun ke dalam peti undi Parlimen.

Beliau dalam keadaan tergesa-gesa kerana perlu memandu ke Kedah untuk membawa isteri beliau mengundi di sana pula. Bagaima-napun, KTM telah memberi pengesahan bahawa kertas undi tersebut akan dikira juga.

 Daripada pemerhatian saya, secara keseluruhan, proses pengundian mengambil masa kira-kira 10 minit untuk setiap 15 pengundi di saluran biasa (selain saluran 1). Proses pengundian juga disaksikan oleh ejen-ejen parti politik.

Sepanjang pengamatan saya juga, memang agak mustahil untuk berlaku penipuan kerana setiap proses diperhatikan oleh ejen-ejen parti politik serta pemerhati bebas dari NGO yang dipilih oleh SPR. Setiap saluran juga dikawal oleh anggota polis, ada yang datang khas dari Bukit Aman.

Sebagai pemerhati PRU14, saya boleh katakan setiap proses adalah telus. Kerana teluslah, maka gabungan Pakatan Harapan telah berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan dan banyak kerajaan negeri dari Barisan Nasional. Tahniah diucapkan. Semoga apa jua kekurangan boleh ditambah baik untuk PRU15 kelak.

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan