MINGGU ini bermulanya penggal persekolahan bagi tahun 2018. Barangkali, ramai anak yang mengeluh kerana perlu kembali bersiap awal pagi untuk ke sekolah, setelah lama bercuti.

Ibu bapa atau penjaga juga terkesan kerana mereka perlu memastikan anak-anak ke sekolah pada waktunya, sama ada dihantar sendiri atau kenderaan lain. Ini termasuk guru sendiri.

Malah, golongan guru mungkin memulakan tahun persekolahan yang baharu ini dengan sedikit kegundahan rentetan beberapa peristiwa yang menggugat profesion perguruan baru-baru ini.

Saya masih ingat, ketika berumur sembilan tahun, saya dan seorang rakan sekelas dihukum berdiri di atas meja oleh Cikgu Aisyah, kerana kesalahan disiplin. Dek kerana malu, saya tidak lagi nakal selepas itu dan telah dilantik menjadi pengawas sekolah tahun berikutnya.

Itulah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang enam tahun belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.

Bagi saya, antara sebab cikgu menghukum adalah kerana rasa tanggungjawab dan kepedulian mereka untuk membentuk disiplin pelajar serta mencegah pelajar daripada terus melakukan kesalahan.

Mungkin sesetengah kesalahan tampak kecil tetapi jika dibiarkan, ia boleh menjadi lebih besar dan pelajar juga tidak akan mampu membezakan antara betul atau salah, baik atau buruk dan mereka akan menjadi besar kepala.

Apabila melanjutkan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja (MTD) ketika berumur 13 tahun sehinggalah tamat persekolahan, bermacam-macam hukuman yang saya dan rakan-rakan rasai.

Kena rotan kerana ponteng kelas Kimia, atau hukuman ala ketenteraan seperti tekan tubi, lompat bintang, 'change parade', 'show parade', dan sebagainya, hanya kerana bilik tidur tidak bersih atau kasut tidak berkilat.

Tidak seperti sekolah lain yang mungkin lebih fokus kepada akademik, latihan asas ketenteraan serta disiplin yang ketat di MTD membentuk pelajar-pelajar menjadi individu yang kental, dengan daya ketahanan mental dan fizikal yang tinggi, serta mentaliti tidak mudah mengalah, yang semuanya merupakan elemen penting dalam pembentukan insan berwibawa dan serba boleh.

Bagi memantapkan lagi MTD, Komandan MTD, Brigedier Jeneral Haji Mohd Shahada Ismail, turut menggariskan prinsip R2MC yang merupakan singkatan Respect (Menghormati), Responsibility (Bertanggungjawab), Meritocracy (Kecemerlangan) dan Camaraderie (Setiakawan).

Pentadbiran MTD yang mengguna pakai sistem tentera memerlukan ketegasan pegawai serta guru. Tidak kira guru awam atau guru tentera, mereka semua sangat tegas dalam hal yang melibatkan disiplin pelajar. Kaedah ini berhasil memberikan perubahan kepada pelajar agar lebih berdisiplin dan memiliki sahsiah yang baik.

Saya sememangnya terhutang budi kepada semua guru yang telah mendidik saya sejak tadika lagi, sehinggalah sekarang saya menyambung pengajian peringkat doktor falsafah di USM. Walaupun salah seorang penyelia saya, lebih muda hampir 10 tahun daripada saya, saya tetap menghormati beliau dan menyanjung tinggi ilmu beliau yang jauh lebih hebat.

Guru ialah insan yang sangat dimuliakan dalam Islam dan diberi kedudukan yang tinggi sesuai dengan peranannya yang sangat penting dan memberi kesan terhadap masa hadapan anak muridnya.

Guru pada zaman ini mempunyai cabaran yang besar berhadapan dengan bukan sahaja kerenah anak-anak murid tetapi juga dengan ibu bapa pelajar. Kalau dahulu ibu bapa menyerahkan anak kepada sang guru berbekalkan sebatang rotan, hari ini, terdapat ibu bapa yang menyediakan peguam untuk menyaman guru kepada anak mereka.

Menghidu gam, menghisap rokok bahkan menagih dadah, memeras ugut, membuli dan pelbagai lagi gejala sosial merupakan fenomena yang terpaksa dihadapi oleh pendidik zaman sekarang dan ini realiti bukan sahaja di sekolah menengah malah di sekolah rendah juga.

Amatlah malang jika guru-guru diheret ke mahkamah atas usaha mereka mengekang gejala ini. Ini belum mengambil kira kes diserang dengan parang oleh bapa atau penjaga yang tidak berpuasa hati.

Saya akui ada garis panduan dan had yang perlu dipatuhi dalam kita mendisiplinkan dan mendidik anak-anak. Selagi mana hukuman yang diberikan tidak melampaui batas, sewajarnya  guru diberi ruang untuk menjalankan tugas mereka dengan baik dan efektif.

Kepada para guru, masih ramai yang menghargai jasa anda. Semoga terus sabar dan cekal mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.

*Johari Yap, Pengerusi Macma Kelantan & AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?
  • SAYA cukup tersentuh apabila diingatkan oleh seorang sahabat tentang murka manusia dan murka ALLAH.
  • TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengisytiharkan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel telah menyebabkan ramai yang menyeru agar seluruh umat Islam di Malaysia memboikot barangan Amerika Syarikat dan Israel.
  • RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.