TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengisytiharkan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel telah menyebabkan ramai yang menyeru agar seluruh umat Islam di Malaysia memboikot barangan Amerika Syarikat dan Israel.

Antara yang teruk terkesan adalah francais makanan segera, McDonald’s.

Setiap kali berlakunya konflik skala besar di Palestin atau apa-apa isu besar melibatkan Palestin, setiap kali itu jugalah akan ada gesaan untuk memboikot rangkaian restoran McDonald’s. Telah berlaku beberapa episod boikot McDonald’s di Malaysia dan setiap kali ada boikot, sememangnya perniagaan mereka terjejas.

Kebanyakan restoran McDonald’s di Malaysia dikendalikan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Golden Arches Restaurants Sdn Bhd), sebuah syarikat milik tempatan.

Pengarah urusannya juga seorang Melayu yang bernama Azmir Jaafar. Untuk tahun 2017 sahaja, program tanggungjawab sosial korporat mereka berjumlah RM2.5 juta yang melibatkan 5,000 aktiviti komuniti tempatan. Tiada sumbangan kepada mana-mana badan kerajaan atau agensi Israel pun.

Di Kelantan, syarikat Blue Ocean Avenue Sdn Bhd yang dimiliki oleh ayah dan anak, Ezanee dan Aiman, telah mengambil alih restoran McDonald’s pertama mereka daripada Golden Arches Restaurants Sdn Bhd di KB Mall pada 2007. Dua tahun kemudian, mereka mengambil alih restoran McDonald’s di Jalan Parit Dalam, Kota Bharu. Kini, mereka turut memiliki restoran McDonald’s di Pengkalan Chepa dan Kok Lanas.

Mereka juga banyak memberi sumbangan untuk aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan pelbagai pihak termasuk yang dikendalikan oleh Pusat Pengajian Sains Pergigian USM serta Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK).

Mungkin ada yang akan bertanya, jika syarikat tempatan yang dinyatakan di atas tidak memberi sumbangan secara langsung kepada badan-badan Yahudi sekalipun, bagaimana pula dengan yuran francais? Tidakkah yuran sebanyak lima peratus yang diberi kepada McDonald’s Corporation di Amerika Syarikat itu akan disalurkan kepada Israel melalui Jewish United Fund?

Sebenarnya, McDonald’s Corporation sendiri tidak dimiliki oleh pemilik berbangsa Yahudi seperti yang didakwa. Ia merupakan sebuah syarikat yang tersenarai di bursa saham New York dan mempunyai lebih 1.8 juta pemegang saham yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan warganegara.

Tidak ada mana-mana individu atau entiti yg memegang lebih daripada 10 peratus jumlah saham. Kini terdapat lebih 36,000 restoran McDonald’s di 117 negara.

McDonald’s Malaysia mula dibawa masuk oleh Tan Sri Vincent Tan pada 1982 di bawah syarikatnya, Golden Arches Restaurants Sdn Bhd. Restoran yang pertama itu dibuka di Jalan Bukit Bintang.

Pada penghujung 2016, hak francais restoran McDonald’s di Singapura dan Malaysia telah dibeli oleh Lionhorn Private Limited, syarikat yang dimiliki oleh Reza Food Services (RFS), di bawah Reza Group.

Ini bermakna yuran francais akan disalurkan kepada Reza Food Services, sebuah syarikat milikan mutlak bangsa Arab Saudi. RFS merupakan pemilik kesemua restoran McDonald’s di wilayah barat dan selatan Arab Saudi termasuk Jeddah, Makkah dan Madinah.

Saya sendiri agak jarang makan di McDonald’s mahupun mana-mana kedai makanan segera; bukan kerana boikot tetapi atas sebab kesihatan. Apa pun, sangat menghairankan dan menyedihkan apabila masyarakat kita begitu pantas dan bersungguh-sungguh ingin memboikot McDonald’s tetapi pada masa yang sama di tangan kalangan mereka ada rokok.

Selain telah difatwakan haram, pengeluar rokok terbesar di dunia, Philip Morris (kini Altria Group), adalah kepunyaan Yahudi. Mereka menyumbangkan 12 peratus daripada keuntungan kepada Israel.

Sekiranya benar-benar hendak memboikot produk-produk yang dikaitkan dengan Yahudi atau Israel, mengapa tidak berhenti merokok?

Merokok itu haram kerana boleh menyebabkan penyakit, bukan sahaja kepada penghisap rokok malah orang di sekeliling mereka. Ia ternyata perbuatan membazir. Keuntungan rokok ini juga disalurkan kepada Israel. Bukankah rokok yang sepatutnya diboikot, bukan McDonald’s? Sesuatu untuk difikirkan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?
  • MINGGU ini bermulanya penggal persekolahan bagi tahun 2018. Barangkali, ramai anak yang mengeluh kerana perlu kembali bersiap awal pagi untuk ke sekolah, setelah lama bercuti.
  • SAYA cukup tersentuh apabila diingatkan oleh seorang sahabat tentang murka manusia dan murka ALLAH.
  • RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.