BARU-BARU ini, telah tular kembali di laman-laman sosial gambar longkang yang sangat bersih dan jernih di Jepun hinggakan ada ikan koi boleh hidup di dalamnya. Longkang yang terletak di pekan kecil Yunotsu, Jepun itu pertama kali tular pada tahun lepas.

Semasa kecil dahulu, ketika longkang di depan rumah masih bersih dan jernih, saya dan kawan-kawan sering menangguk ikan gapi, ikan sepilar dan ikan sepat. Kadangkala kami menguji kehebatan masing-masing dengan berlawan menangkap ikan-ikan tersebut menggunakan tangan.

Tidak perlu pergi jauh ke sawah padi atau tali air, bermain di longkang depan rumah pun sudah cukup. Pelbagai jenis ikan pun ada.

Sememangnya menyedihkan sekarang kerana kebanyakan longkang di negara kita penuh dengan sampah-sarap. Walaupun mungkin kita masih dapat melihat beberapa ekor ikan gapi berenang di celah-celah sampah yang memenuhi longkang, jika masalah sampah ini tidak dibendung dan dikawal, tidak mustahil suatu hari nanti, ikan puyu pun tidak dapat hidup di dalam longkang-longkang kita.

Semasa mesyuarat teknikal dengan pegawai dan jurutera Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) untuk mengatasi masalah banjir kilat di kejiranan Bandar Baru Kubang Kerian, kami dimaklumkan bahawa antara punca utama banjir kilat ialah sampah-sarap yang menyebabkan aliran air dari longkang utama ke longkang besar tersumbat.

Pihak MPKB-BRI terpaksa “menyelam” ke dalam longkang tersebut untuk mencari punca. Antara “sampah” yang ditemui ialah monitor komputer CRT (monitor komputer lama yang berbentuk seperti kotak) yang menutup aliran air longkang.

Sungguh memeranjatkan! Sangat menghairankan bagaimana monitor komputer boleh berada di dalam longkang. Adakah terjatuh daripada motosikal atau apa jua kenderaan yang digunakan untuk mengangkutnya? Yang pasti, ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang monitor komputer tersebut ke dalam longkang.

Sekiranya ia telah terjatuh ke dalam longkang sekalipun, perbuatan membiarkannya di situ sahaja juga amat tidak bertanggungjawab kerana menyusahkan orang ramai dan pihak berwajib. Kalau pun malas hendak menjaga kebersihan atau mengutip sampah, janganlah pula membuang sampah merata-rata. Jika setiap orang menjaga sampah masing-masing, masalah sampah tidak akan begitu teruk.

Saya tertarik dengan laporan berita baru-baru ini selepas tamat perlawanan bola sepak piala dunia antara Jepun dengan Colombia. Selepas setiap perlawanan bola sepak, tempat duduk penonton biasanya dipenuhi sisa makanan, bekas air dan pelbagai sampah sarap.

Penyokong bola sepak Jepun, yang gembira setelah negara mereka berjaya menewaskan Colombia dengan jaringan 2-1, meraikannya dengan mengutip sampah sarap di setiap barisan tempat duduk dan meletakkannya ke dalam beg plastik sampah yang besar yang mereka bawa sendiri.

Menjaga kebersihan bukanlah perkara baharu bagi masyarakat Jepun yang memang terkenal dengan sifat pembersih. Jika kita pergi ke negara Jepun, kita tidak akan nampak sampah di jalanan mahupun di tepi semak samun.

Orang Jepun rata-rata sememangnya sangat pembersih. Menjaga kebersihan sebenarnya merupakan salah satu daripada ajaran Islam seperti dalam maksud hadis, "Kebersihan itu adalah sebahagian daripada Iman”. (Riwayat Ahmad, Muslim, dan Tirmidzi).

Maka, dalam perkara ini orang Jepun jauh lebih “Islamik” berbanding orang Malaysia, lebih-lebih lagi di negeri kelahiran saya sendiri, Kelantan. Di sini, boleh dikatakan sampah ada di mana-mana. Terasa malu dengan gelaran negeri serambi Makkah.

Dalam lawatan Tun Dr Mahathir ke Jepun untuk menghadiri Persidangan Nikkei baru-baru ini, beliau telah berucap dalam satu majlis bersama rakyat Malaysia. Dalam ucapannya, Tun M berkata beliau yakin Malaysia akan berjaya seperti negara matahari terbit itu sekiranya rakyat Malaysia memiliki etika pemikiran dan nilai-nilai murni seperti orang Jepun.

Walaupun mereka bukan Islam tetapi mereka mengamalkan nilai-nilai Islam seperti menepati waktu, pembersih dan berintegriti tinggi. Sebab itulah dasar pandang ke timur sudah diperkenalkan 37 tahun lalu, ketika Tun M menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

Semoga masyarakat kita dapat mencontohi masyarakat Jepun dan mengamalkan ajaran Islam sebagaimana sepatutnya.

Sekiranya kita tanamkan iltizam untuk mencapai hasrat ini, tidak mustahil suatu hari nanti kita dapat lihat ikan emas berenang-renang dalam longkang di negara kita. Jom ubah!

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan