AKHBAR The Borneo Post, Sinar Harian dan Utusan Malaysia bertarikh 17 Disember 2015 menyiarkan laporan berkenaan 23.6 tan metrik beras bernilai RM51,000 yang dirampas di kawasan perindustrian Demak Laut, Kuching, Sarawak akibat menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf.

Kilang pembungkusan beras terbabit telah diserbu dan siasatan mendapati mereka menggunakan bungkusan yang tertera perkataan atau logo halal yang bukan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) serta tiada pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Akibatnya, tujuh jenama beras telah disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak.

“Abang Amirul, kenapa ada beras yang tak halal? Bukan semua beras halal ke? Atau beras tu pun sudah bercampur DNA khinzir?” tanya Bernie Lee sinis.

“Sebenarnya, Jakim mengamalkan konsep halalan toyyiban yang membawa maksud makanan yang dibenarkan atau diberi kebenaran untuk dimakan, bergantung kepada undang-undang syarak selagi ia selamat dan tidak memudaratkan,” terang Amirul.

“Kalau Bernie nak tahu, menurut ajaran Islam, prinsip umum berkenaan makanan ialah semua adalah halal kecuali kotoran, atau yang telah bercampur kotoran, memudaratkan dan memabukkan. Oleh itu, adalah wajib bagi seorang Muslim memakan makanan yang baik dan menyihatkan serta mengelak semua yang dilarang seperti yang telah disebutkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran.

“Jadi, selain mengelak apa yang telah jelas diharamkan dalam al-Quran, umat Islam juga wajib memastikan keselamatan makanan dari segi kebersihan, khasiat dan kualiti serta tidak tercemar,” ujar Amirul lagi.

“Ohhh, wa ada baca ada pengilang beras guna klorin mahu kasi beras putih dan kilat. Kalau selalu makan beras ini macam, boleh dapat kanser dan buah pinggang pun boleh rosak,” kata Bernie.

“Betul tu Bernie. Sebab tu lah, beras yang pada asalnya halal untuk dimakan, tetapi apabila sudah bercampur klorin yang memudaratkan, tidak lagi toyyiban, tidak lagi baik, jadi ia tidak memenuhi syarat halalan toyyiban yang ditetapkan Jakim, maka pengilang beras itu tak akan dapat sijil halal.”

Penjelasan tentang prinsip halal dan haram dikupas dengan terperinci oleh tokoh Islam yang dihormati, Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya The Lawful and the Prohibited in Islam.

Berbalik kepada isu beras yang “tidak halal”, mungkin ramai yang tidak tahu, pada peringkat penanaman lagi, padi disembur racun rumpai tiga atau empat kali, racun ulat tidak kurang dari enam kali dan racun kulat dalam tiga atau empat kali setiap musim. Ketika disimpan di dalam kilang atau gudang, ia disembur pula dengan racun untuk mengelak dimakan tikus atau serangga. Kadar penggunaan racun mungkin melebihi kadar minimum yang ditetapkan. Beras yang diimport, sebagai contoh, kebiasaannya lebih banyak mengandungi racun agar tahan lebih lama.

Bagi memastikan aspek-aspek halalan toyyiban tidak dipandang remeh, Malaysia telah menetapkan standard makanan halal melalui piawaian MS1500:2004: Makanan Halal – Pengeluaran, Penyediaan, Pengurusan & Penstoran – Panduan Umum (Rujukan Pertama) sebagai makanan yang dibenarkan di bawah undang-undang syariah.

Piawaian ini diiktiraf di seluruh dunia dan Malaysia dikenali sebagai negara yang meletakkan piawaian yang sangat tinggi dalam proses pensijilan halal. Ini kerana sebagai sebuah negara Islam, kita perlu menegakkan prinsip Islam yang sangat mengambil berat tentang keselamatan produk dan makanan. 

Lebih 200 penyakit berpunca daripada pencemaran makanan telah dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2015 dan jumlah ini sebenarnya sangat tinggi. Tidak kurang juga telah banyak laporan tentang produk yang ternyata memudaratkan malah telah menyebabkan kematian.

Maka, setiap makanan dan produk yang disahkan halal oleh Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri, ialah makanan dan produk yang selamat untuk dimakan dan digunakan bukan sahaja oleh umat Islam, tetapi juga mereka yang bukan beragama Islam. Dengan adanya sijil halal pada sesuatu produk, kita bertambah yakin bahawa produk tersebut bukan sahaja halal, tetapi selamat. Yang pasti, halal adalah untuk semua.

 

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?
  • MINGGU ini bermulanya penggal persekolahan bagi tahun 2018. Barangkali, ramai anak yang mengeluh kerana perlu kembali bersiap awal pagi untuk ke sekolah, setelah lama bercuti.
  • SAYA cukup tersentuh apabila diingatkan oleh seorang sahabat tentang murka manusia dan murka ALLAH.
  • TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengisytiharkan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel telah menyebabkan ramai yang menyeru agar seluruh umat Islam di Malaysia memboikot barangan Amerika Syarikat dan Israel.
  • RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.