KEBELAKANGAN ini, sering kedengaran tuntutan Pakatan NGO Malaysia Dalam Proses UPR (Comango) kepada kerajaan baharu berkenaan hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Banyak pihak, termasuk NGO juga, menentang keras tuntutan Comango ini kerana ia bersalahan dengan fitrah kejadian manusia, bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan keindahan syariat Islam.

Kenapa ia bertentangan dengan fitrah manusia? Kerana manusia diciptakan berpasang-pasang; begitu juga binatang dan tumbuhtumbuhan.

Antara analogi yang sering digunakan untuk membantu golongan muda agar lebih mudah memahaminya adalah dengan membandingkan fitrah ini dengan penggunaan penyambung USB, di mana perlu ada port yang dilabelkan sebagai female (betina) dan male (jantan).

Penyambung USB tidak akan dapat berfungsi sekiranya hanya terdapat bahagian jantan atau betina sahaja. Ia memerlukan komponenkomponen yang berlainan jantina ini untuk dapat berfungsi dengan sempurna.

Begitu juga binatang. Contoh yang mungkin paling dekat dengan kita ialah kucing.

Saya tidak pernah melihat kucing jantan tertarik kepada kucing jantan yang lain, biarpun kucing itu jenis kacukan Siam atau mempunyai bulu yang lebat dan berbadan montok. Itu binatang yang tidak diberikan akal oleh Tuhan.

Bagaimana dengan kita manusia yang dikurniakan akal oleh ALLAH SWT? Manusia merupakan makhluk ciptaan ALLAH yang terbaik. Kenapa masih ada segolongan kecil yang tertarik kepada jantina yang sama?

Ada yang sanggup berdandan untuk menyerupai jantina lain kononnya jiwa mereka sudah berubah atau konon itulah naluri semula jadi mereka. Bukankah kita hamba ALLAH, bukannya hamba nafsu?

Sebab itulah kita dikurniakan akal; agar kita menggunakan akal dengan sebaiknya untuk mengendali nafsu, membezakan antara yang baik dan buruk, yang benar dan batil. Apabila kita melawan hukum Tuhan, maka bersedialah menerima akibatnya.

Kajian menunjukkan penularan penyakit jangkitan seksual (sexuallytransmitted diseases, STDs) kebanyakannya melibatkan golongan LGBT.

LGBT bukanlah satu isu hak tetapi isu agama, moral, sosial dan mental. Apa yang diperjuangkan oleh Comango ialah perbuatan yang tidak memberi manfaat kepada kesejahteraan hidup seorang insan.

Kesan daripada perjuangan tersebut ialah kemudaratan yang kritikal khususnya kepada golongan LGBT itu sendiri. Mereka hilang identiti diri yang sebenar dan jati diri sebagai anak bangsa yang berkualiti.

Ya, saya tidak nafikan, mereka yang mempunyai kecelaruan identiti ini perlu diberi sokongan.

Sokongan yang bagaimana? Bukan menyokong kecelaruan mereka tetapi sokongan agar mereka kembali ke pangkal jalan. Kita bantu daripada segi emosi dan psikologi agar mereka boleh pulih dan hidup dalam masyarakat dengan jantina mereka yang sebenar, sebagaimana ketika mereka dilahirkan.

Memang wujud golongan lelaki yang mempunyai personaliti lembut mirip wanita. Mereka tetap boleh menjadi lelaki sejati tanpa perlu menyerupai perempuan.

Begitu juga ada perempuan yang lagaknya mungkin agak kasar tetapi mereka tetap wanita, yang melahirkan anak, memasak dan sebagainya, sebagaimana wanita lain. Mengapa perlu tukar?

Perjuangan Comango ini juga mencabar keharmonian beragama serta kedudukan Islam dalam perlembagaan. Tiada agama yang membenarkan LGBT; ia hanyalah pembaharuan yang diada-adakan sesetengah golongan. Rukun Negara yang pertama ialah Kepercayaan kepada Tuhan dan rakyat Malaysia yang beragama menolak LGBT.

Menyokong LGBT merupakan pencabulan agama.

Saya ingin menyeru agar semua pihak, terutama umat Islam, agar bangkit menentang tuntutan Comango ini. Umat Islam harus mengambil pengajaran daripada kisah kaum Nabi Lut yang disebut sembilan kali oleh ALLAH SWT dalam surah yang berbeza (al-A’raf 80-84, Hud 77-83, al-Hijr 57-77, al- Anbiya 74, as-Syuara’ 160-175, an-Naml 54-58, al-Ankabut 28-35, as- Saaffat 134-138, al-Qamar 33-40).

Tidakkah kita takut akan bala ALLAH SWT? Adakah kita akan terselamat daripada kemurkaan dan azab ALLAH SWT sekiranya kita membiarkan sahaja kemungkaran sebegini terjadi?

Tidak yakinkah kita terhadap janji-janji ALLAH? Tidak cukupkah dengan amaran banjir kilat, gempa bumi, ribut petir, taufan, tsunami dan pelbagai lagi bencana alam serta musibah juga kerosakan sosial yang telah berlaku?

Semoga pimpinan kerajaan baharu tidak tunduk kepada desakan pihak-pihak yang menuntut agar golongan LGBT diiktiraf. Semoga rakyat Malaysia yang waras dan prihatin juga bersatu menghalang penularan LGBT.