BELAJAR bahasa asing tidak mudah tetapi tidak juga mustahil. Seorang Cina mungkin terbelit lidahnya bila cuba menyebut perkataan Arab, begitu juga apabila orang Melayu cuba berbahasa Cina dengan sebutan yang betul.

Mungkin ada antara kita yang kenal atau pernah bertembung dengan orang Melayu yang fasih bertutur bahasa Jepun atau Korea. Hasil Dasar Pandang Ke Timur yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, pada 8 Februari 1982, berbondong-bondong pelajar Malaysia telah dihantar ke Jepun dan Korea untuk menuntut ilmu di sana.

Ramai juga sahabat penulis yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di Jepun dan Korea Selatan. Mereka mampu menulis dan bertutur dalam bahasa asing itu dengan baik sekali. Dasar Pandang Ke Timur merupakan usaha baik Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini dengan mengambil contoh etika bekerja kedua-dua negara tersebut.

Baru-baru ini, penulis telah diketemukan dengan seorang pelajar Melayu yang sedang menjalani pengajian bahasa Mandarin di Beijing Language and Culture University (BLCU). Mohammad Afiq Che Lah merupakan anak jati Kelantan yang tinggal di Berek 12, Kota Bharu. 

Beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Islah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Maher (SMKDAM) di Kota Bharu. Walaupun SMKDAM bersebelahan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Peir Chih, beliau tidak pernah berkesempatan untuk mempelajari bahasa Mandarin. 

Afiq adalah salah seorang pelajar kumpulan kelima di BLCU. Mereka merupakan pelajar yang terpilih di bawah “Program Penghantaran Pelajar Ke China Untuk Pembelajaran Bahasa Mandarin Dalam Kalangan Penutur Jati Ke Arah 1Malaysia” yang ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut Afiq, untuk kemasukan pertama, seramai 10 pelajar Melayu yang mempunyai asas bahasa Mandarin telah dihantar ke BLCU. Bilangan pelajar bertambah tahun berikutnya sehinggalah tiba kumpulan Afiq seramai 36 orang yang terdiri daripada mereka yang langsung tidak mempunyai asas bahasa Mandarin.

Setelah 5 tahun belajar di China, mereka perlu mengikuti program Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) selama setahun setengah serta perlu melalui proses temu duga untuk ditempatkan di mana-mana sekolah di Malaysia.

Sekiranya berjaya, mereka akan mengajar bahasa Mandarin sebagai bahasa kedua (Teaching Chinese / Mandarin as a Second Language) di sekolah-sekolah kebangsaan. Jika sebelum ini kerajaan telah menghantar ramai pelajar untuk kursus Teaching English as Second Language (TESL), sekarang Mandarin pula.

Kerajaan melalui KPM dan Mara turut menaja pelajar untuk program ini di Beijing Foreign Studies University (BFSU) sejak tahun 2007 lagi. Sehingga kini, lebih 400 pelajar Melayu mengambil ijazah Sarjana Muda Bahasa Mandarin di China. 

Selain kerajaan, Yayasan Sime Darby turut memberikan biasiswa untuk pelajar melanjutkan pelajaran di China dengan kerjasama Majlis Biasiswa China (CSC). Kerjasama ini bertujuan menggalakkan pembangunan hubungan dua hala melalui pendidikan tinggi di samping meningkatkan tahap persefahaman rakyat kedua-dua negara.

Semua ini menunjukkan betapa kerajaan dan rakyat Malaysia telah mengiktiraf kepentingan bahasa Mandarin sebagai bahasa komunikasi harian. Secara tidak langsung ia juga menjadi bahasa perpaduan di Malaysia. 

Dengan perkembangan ini, sudah tidak asing lagi bagi kita untuk melihat pelajar-pelajar Melayu di Beijing mempersembahkan dikir barat dalam bahasa Mandarin manakala pelajar rakyat China yang mengambil jurusan pengajian Melayu pula menyanyikan lagu tradisi Melayu.

Bahasa merupakan titik persamaan yang menjurus kepada kekuatan perpaduan di Malaysia. Jika kita mempunyai Prof Madya Dr Lim Swee Tin, anak jati Bachok yang mahir dalam puisi dan syair Melayu serta hebat dalam kesusasteraan Melayu, suatu hari nanti kita akan lihat lahirnya anak Melayu yang mahir dalam sastera klasik Cina.

Kebolehan berbahasa Mandarin akan membantu kaum lain untuk menghargai bahasa serta kebudayaan kaum Cina. Ini akan membantu menggalakkan perpaduan dalam kepelbagaian dan mendorong generasi baharu untuk saling menghormati demi memupuk semangat muhibah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KITA sering mendengar pepatah orang tua-tua, hidup ini biarlah menjadi benih yang baik. Benih yang baik, jika jatuh ke laut, akan menjadi pulau. Ia bermaksud, orang yang berketu-runan baik, ke mana pun dia pergi, akan sentiasa menjadi baik.
  • BEBERAPA hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Lunar yang juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina. Sebagaimana biasa, akan kedengaran ungkapan Gong Xi atau Gong Xi Fa Cai di sana sini.
  • MASYARAKAT kita sudah terbiasa dengan pemi-kiran bahawa pelajar perlu belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan segulung ijazah dan apabila selesai pengajian, dapat kerja yang baik-baik.
  • ALLAHYARHAM Abdul Rahman bin Othman, yang lebih terkenal dengan nama Tok Selehor, merupakan seorang ulama kelahiran Kelantan yang zuhud dan warak.
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?