BEBERAPA wartawan beragama Islam dan Hindu terkilan apabila dihidangkan menu daging babi ketika membuat liputan majlis makan malam Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro di sebuah sekolah jenis kebangsaan di Melaka baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan beberapa tetamu kehormat lain. Peristiwa sebegini tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara yang agama rasminya ialah Islam.

Mungkin mereka ini perlu belajar lebih banyak dengan masyarakat bukan Islam di Kelantan, atau negeri Pantai Timur yang lain, yang lebih memahami sensitiviti umat Islam. Di Kelantan, untuk setiap majlis rasmi yang dianjurkan pertubuhan bukan Islam, baik pertubuhan politik atau pertubuhan kebajikan, menu yang disediakan dipastikan halal; makanan akan disediakan oleh orang Islam walaupun jemputan beragama Islam hanya seorang dua.

Malah, kebanyakan kenduri kahwin masyarakat Cina bukan Islam juga menggunakan penyedia makanan atau pembekal Islam. Sememangnya ada juga masyarakat kampung yang bergotong-royong memasak sendiri. Dalam keadaan itu pun mereka akan menyediakan makanan yang halal khusus untuk jemputan Islam.

Mereka begitu prihatin memastikan makanan yang disediakan adalah halal kerana mereka faham masyarakat Islam amat sensitif dengan isu makanan yang akan menjadi darah daging.

Bila memperkatakan tentang pemakanan Islam, konsep halalan toyyiban sangat penting. Dalam Islam, makanan bukan sahaja perlu suci, halal dan bersih daripada segi zatnya (fizikal) tetapi ia juga mesti daripada sumber yang halal.

Malah, makanan yang diragui halal, walaupun asalnya bukan haram, juga perlu dielak. Bagi mereka yang mendalami ilmu tasawuf, hal seperti ini amat dititikberatkan.

Mengikut hadis, hukum mengelak daripada perkara syubhah sama seperti menjaga agama dan kehormatan.

Maka, bagi yang begitu mengambil berat hal ini, terutama bilamana mereka meyakini bahawa apa yang dimakan itu akan menjadi darah daging, membentuk akhlak dan perilaku, yang juga berkaitan dengan iman, mereka menjadi sangat sensitif berkenaan isu yang melibatkan babi.

Masihkah anda ingat, pada pertengahan 2014, apabila satu Malaysia kecoh dengan isu coklat Cadbury yang dikatakan tercemar dengan DNA babi? Seorang wanita daripada sebuah NGO juga telah membuat kenyataan berkaitan dengan tuntutan kos tukar darah atau cuci darah bagi orang Islam yang sudah termakan coklat Cadbury.

Kenyataan beliau itu mempunyai mesej tersirat, iaitu kesan psikologi ke atas orang Islam yang merasakan dirinya kotor kerana termakan bahan yang haram.

Alangkah bagusnya jika perasaan jijik terhadap babi ini diperluas kepada arak. Arak merupakan salah satu daripada perkara yang diharamkan oleh ALLAH secara jelas dalam al-Quran (Surah al-Maidah, ayat 90) serta hadis-hadis Rasulullah SAW. Arak juga sebenarnya dilarang dalam agama Kristian, Buddha, Sikh dan Hindu. Arak ialah ibu segala maksiat dan merupakan satu daripada dosa besar dalam Islam. Malah, umat Islam juga dilarang duduk dalam majlis yang menghidangkan arak.

Walaupun saya telah menulis tentang perkara ini dahulu, saya sangat hairan, kenapa penerbangan Malaysia Airlines milik negara kita yang agama rasminya Islam, masih menghidangkan arak? Banyak berlaku kes penumpang yang mabuk kerana arak, mengamuk dan mencederakan atau memudaratkan penumpang lain.

Malah, ada pesawat yang terganggu jadual penerbangannya dan ada yang mendarat cemas di lokasi lain gara-gara penumpang mabuk akibat arak. Berbalik kepada tajuk, tidak pernah pula kita mendengar orang mabuk akibat makan babi.

Menurut Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Nabi SAW didatangi Jibrail lalu berkata, Wahai Muham-mad, sesungguhnya ALLAH melaknat arak dan pemerahnya, orang yang meminta memerahnya, pembawanya, dibawa kepadanya, peminumnya, penjualnya, pembelinya dan penuangnya.” (Riwayat At-Tirmizi, Abu Daud dan Hakim)

Lalu, kenapa kita tidak bising berkenaan hidangan arak dalam penerbangan Malaysia Airlines sebagaimana sensitif dan bisingnya kita tentang isu babi? Saya kasihankan anak kapal yang beragama Islam yang terpaksa bersubahat dengan menghidangkan arak kepada penumpang. Belum masuk bab pramugari beragama Islam tidak dibenarkan memakai tudung ketika bekerja.

Semoga suatu hari nanti, Malaysia Airlines akan menjadi pesawat yang bebas alkohol. Jika kita jijik babi, jijik juga kepada arak!

* Penulis Pengerusi macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan