TAHUN ini Ah Chong ingin cuba berpuasa. Bukan sebab dia terasa hendak masuk Islam, tetapi kerana perasaan ingin tahu. Kawannya, Ameer sering menceritakan mengenai kebaikan berpuasa dari segi saintifik dan juga spiritual.

Ah Chong baru menonton video dalam YouTube mengenai Mark Holland, Ahli Parlimen Ajax, Ontario, Kanada, yang walaupun bukan beragama Islam tetapi telah berpuasa penuh tahun lalu dan akan melakukannya lagi tahun ini.

Pengakuan yang diucapkan semasa sidang Parlimen Kanada baru-baru ini mencetuskan rasa kagum, terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Mark Holland berpuasa bukan sahaja kerana ingin merasai pengalaman orang susah, atau sekadar ingin menghormati ribuan penganut agama Islam di Kanada, tetapi turut menyokong pertubuhan amal yang dikenali sebagai Give30. Wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk makan setiap hari, diberikan kepada mereka yang memerlukan. Ucapannya mendapat tepukan gemuruh ahli-ahli parlimen lain.

Ameer menerangkan kepada Ah Chong bahawa ketika Ramadan umat Islam perlu menahan nafsu.

Jelas Ameer lagi, istilah nafsu bukan hanya tertumpu kepada nafsu seksual. Terdapat pelbagai jenis nafsu seperti nafsu makan, tidur, mengumpul harta dan seumpamanya.

Pendek kata, setiap yang diingini oleh jiwa atau sifat semula jadi manusia berpunca daripada nafsu.

Antaranya juga, nafsu amarah yang boleh menyebabkan manusia tidak mampu menjaga lidah daripada menghentam satu sama lain. Lihat sahaja PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar atau apa sahaja; kutuk-mengutuk, kata-kata kesat serta fitnah, termasuk hal-hal peribadi yang tidak sepatutnya disebut atau dijaja, seolah-olah menjadi kebiasaan untuk dilakukan atau diperkatakan. Walhal perbuatan ini salah bukan sahaja pada bulan yang mulia ini, tetapi pada bila-bila masa.

Ah Chong perhatikan juga, ada yang tidak boleh menahan nafsu daripada menyebarkan berita yang tidak sahih.

Satu daripada adalah mengenai seorang pelawak yang dikatakan telah memeluk Islam. Orang itu baru nak belajar mengenai Islam, sudah kecoh satu Malaya, siap bagi nama Melayu lagi, kononnya beliau sudah mengucap dua kalimah syahadah.

Di manakah sensitiviti umat Islam? Kenapa perlu jadi orang nombor satu untuk menyampaikan berita yang tidak diketahui kesahihannya? Ah Chong sedar, umat Islam mungkin teruja apabila ada berita pengislaman dan ingin berkongsi kegembiraan itu. Tetapi sedarkah mereka bahawa perkongsian itu pula mungkin menyusahkan mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan Islam? Bagaimana reaksi keluarga, saudara-mara dan sahabathandai mereka?

Nafsu yang diberikan ALLAH kepada manusia menjadi ujian yang sangat besar kerana nafsu itu bersifat liar.

Dek nafsu, apa yang ada tidak pernah dirasakan cukup.

Tidak pernah puas. Namun Ah Chong dengar daripada Ameer bahawa nafsu boleh dikawal, dijinakkan dan dikekang.

Cara yang mujarab adalah dengan berpuasa. Golongan ulama merumuskan antara maqasid puasa adalah mengekang hawa nafsu manusia.

Maka, tahun ini, Ah Chong tekad untuk cuba berpuasa. Jika Mark Holland boleh berpuasa sebulan, tidak mungkin dia tidak boleh berpuasa sekurang-kurangnya seminggu. Kurma pun sudah dibelinya.

Ameer juga ada memberi beberapa petua agar tidak berasa letih dan dahaga ketika berpuasa, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang agak panas kebelakangan ini.

Jika puasa dapat mendidik nafsu pada Ramadan, ia juga dapat mengawal nafsu pada masa-masa lain di luar Ramadan. Oleh sebab itulah, Islam amat menggalakkan berpuasa 6 hari pada Syawal sebagai kesinambungan kepada puasa Ramadan dan ada juga puasa sunat yang lain; antaranya puasa sunat setiap Isnin dan Khamis serta puasa pada bulanbulan tertentu seperti Muharam, Rejab, Zulkaedah, dan Zulhijah.

Jika semuanya diamalkan, hati dan fikiran akan lebih tertumpu kepada selain makan dan minum. Dengan cara itu, nafsu dapat ditundukkan sekali gus melembutkan hati. Malah, badan juga akan lebih cergas dan sihat kerana “diselenggarakan” rapi.

Alhamdulillah, Ah Chong belum lagi meninggalkan puasa sejak 1 Ramadan tempoh hari dan dia optimis untuk berpuasa hingga ke penghujung Ramadan.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KITA sering mendengar pepatah orang tua-tua, hidup ini biarlah menjadi benih yang baik. Benih yang baik, jika jatuh ke laut, akan menjadi pulau. Ia bermaksud, orang yang berketu-runan baik, ke mana pun dia pergi, akan sentiasa menjadi baik.
  • BEBERAPA hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Lunar yang juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina. Sebagaimana biasa, akan kedengaran ungkapan Gong Xi atau Gong Xi Fa Cai di sana sini.
  • MASYARAKAT kita sudah terbiasa dengan pemi-kiran bahawa pelajar perlu belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan segulung ijazah dan apabila selesai pengajian, dapat kerja yang baik-baik.
  • ALLAHYARHAM Abdul Rahman bin Othman, yang lebih terkenal dengan nama Tok Selehor, merupakan seorang ulama kelahiran Kelantan yang zuhud dan warak.
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?