Suatu masa dulu ketika zaman menjadi pelajar pengajian tinggi, saya melihat ramainya mahasiswa memilih untuk diam. Jika ada sesuatu isu yang bangkit dalam kalangan warga kampus, ramai enggan masuk campur. Mereka akan terus sibuk dengan urusan studi.

Ada juga yang sengaja melarikan persoalan itu dengan perkara lain, ke padang untuk bersukan atau keluar ke bandar dengan aktiviti sendiri dan sebagainya.

Malah jika musim pilihan raya kampus, jumlah yang hadir mengundi juga tidak ramai. Pelajar yang menjaga peti undi duduk menguis kertas dan pembaris. Ada masanya pelajar sendiri tidak tahu bilakah tarikh mereka patut mengundi dalam pilihan raya kampus.

Hingga tiba hari mengundi, mereka tidak keluar mengundi pun, tidak berminat. Lantaklah apa hendak terjadi, yang penting, aku mesti belajar dan belajar. Mesti lulus periksa, cari kerja penting dan bergaji lumayan selepas tamat belajar. Analogi negatif ini terbawa-bawa hinggalah bertahun-tahun mereka berada dalam kampus.

Namun sejak akhir-akhir ini muncul satu trend yang rancak. Ini mengejutkan warga kampus yang pasif dan pengamal politik. Fenomena ini muncul mendadak. Umum mengaitkan situasi ini dengan pelbagai analogi - ada yang pro dan tidak setuju. Anak muda dalam golongan mahasiswa ini muncul dengan reaksi yang agak keras dengan norma berontak.

Anak muda memang sinonim dengan sikap agresif, suka perkara yang dinamik, rancak dan happening. Mereka minat pada perkara membawa provokasi. Naluri selalu beranggapan mereka sahaja yang betul dan orang lebih dewasa selama ini sudah melakukan kesilapan besar.

Bahkan anak muda juga seolah-olah memberitahu zaman mereka sudah berubah, bukan seperti zaman bapa atau emak mereka dahulu. Oleh itu wajarlah semua orang dewasa menyelami isi hati mereka. Bukan mereka yang menyelami hati budi, akal dan tindakan orang lebih tua.

Sedih pun ada dengan perkara ini. Kita rasa mereka terlalu biadab. Anak muda yang baru hidup setahun jagung sudah pandai-pandai mengajar orang lebih dewasa. Anak muda yang duit poketnya pun emak bapa tanggung sudah berlagak kurang ajar, memaki hamun, mencela orang lebih dewasa tanpa sedikit pun rasa bersalah. Bayangkan yang kena maki hamun itu adalah bapa atau emak kita sendiri.

Kebangkitan semangat anak muda ini lebih menjurus kepada reaksi fizikal – demonstrasi dan perhimpunan. Pada satu segi, kebangkitan ini adalah manifestasi sejarah yang menunjukkan suatu protes sebenar orang muda dengan jiwa berontak, nafas panjang mahu menjerit dan jiwa mudah panas menggelegak.

Namun kebangkitan ini tidak boleh diukur dengan jumlah kehadiran batang tubuh dan suara tinggi sahaja. Jalan raya yang menjadi medan mereka terbaring, terpekik, membakar, menendang dan terbalikkan kereta adalah gambaran segelintir sahaja. Daripada 20 orang yang melakukan kerja itu, lebih berjuta yang lain bersikap memandang sahaja. Mereka tidak melakukannya!

Mencabar dogma di laman sosial juga perlukan intelektual tidak setakat mengikut naluri. Setiap patah perkataan dinilai daripada segala sudut pemikiran. Sekiranya ia ditulis berdasar hamburan kata tanpa isi penting untuk didebatkan, nampak sangat orang muda kita hanya pandai berkokok, padahal hanya riuh sekampung, telurnya tiada.

Idealisme adalah perkara berkaitan analisis, itu yang penting untuk orang lain baca isi hati anak muda. Gerak tindak anak muda mesti disampai dengan jelas, tetapi masih pada norma susila, kekalkan pekerti dan patuhi agama. Ini nampak ringan namun inilah yang penting dan selalu dilupakan oleh anak muda.

Jika benar orang lama dengan pemikiran dan dogma kuno yang tidak boleh `masuk’ pada fikiran anak muda, maka kembangkan idealisme baru dengan paten dan susila yang teratur. Sejuta bentuk idea sekalipun tidak akan diterima ramai jika persoalan itu dibelenggu niat tersembunyi atau digerak oleh unsur lain di belakangnya yang ada agenda mereka tersendiri.

Komentar Gen-Y ini amat perlu. Kupasan-kupasan kritis golongan ini yang bersangkut-paut mengenai kepincangan politik atau sistem, hak, isu, kebajikan, ideologi, masalah setempat dan segala bentuk persoalan serius lain, wajar disalur pada saluran tepat dan sistem yang profesional.

Demi menghormati agama dan bangsa, negara harus terus dipelihara. Kita jangan jadi seperti Pak Pandir yang menang sorak tapi kampungnya tergadai. Atau jadi lebai yang malang… pada saat orang lain sedang enak menjamah hidangan lazat, kita leka dengan sorakan.

Apabila kita lapar dan dahaga, rupanya hidangan kita sudah dijamah dengan rakus oleh orang lain…!