Minggu lalu saya dijemput Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah kepimpinan baru Prof Awang Sariyan. Tahniah! Inilah julung kali DBP meraikan pandangan cendekiawan dalam pelbagai bidang. Sebelum ini, ada segelintir pemimpin DBP sibuk berpolitik sehingga lupa tanggung jawab sebenar menjaga dan memartabatkan maruah bahasa jiwa bangsa.

Kami diminta memberikan input dari sudut keagamaan, walaupun ini bukanlah bidang kepakaran saya kerana bukan ustaz seperti digelar oleh khalayak. Saya hanya ilmuwan kerdil bidang politik dan kerajaan. Itu pun saya tidak berani menggelar diri pakar, kerana hanya kita sahaja tahu kemampuan sendiri. Tetapi ada segelintir khalayak dengan mudah menggelar dirinya pakar motivasi, sedang ijazah dan kepakarannya langsung tiada.

Saya bangkitkan beberapa perkara kepada DBP mengenai kedudukan Bahasa Melayu dari perspektif agama. Bahasa adalah mekanisme penting dalam merubah kehidupan Melayu. Melayu asalnya menganut fahaman Buddha-Hindu, sebelum mereka memeluk Islam 600 tahun lalu. Penyebaran Islam dibawa melalui tiga penjuru, Arab, Cina dan India.

Sudah tentu dalam soal ini Islam disebarkan melalui bahasa. Bahasa adalah alat dakwah. Bahasanya sudah tentu bahasa Melayu. Mustahil pedagang Arab, Cina dan India datang ke alam Melayu terus bertutur dalam Bahasa Melayu atau bahasa mereka sendiri. Bagaimana mereka belajar? Bagaimana orang Melayu dapat memahami bahasa asing. Bermakna, orang asing atau orang luar kawasan terpaksa atau mesti berbahasa Melayu untuk menyebarkan dakyah atau dakwahnya.

Persoalannya hari ini, kenapa Bahasa Melayu seolah-olah langsung tidak mendapat tempat di kalangan sebahagian mereka yang datang berhijrah dan tinggal di bumi bertuah ini? Kita terpaksa berdakwah atau menyampaikan maklumat dalam bahasa ibunda mereka, bukan menggunakan bahasa rasmi negara. Jika perkara ini berterusan, sampai bilakah mereka boleh memahami Bahasa Melayu? Tidakkah mereka sepatutnya diwajibkan belajar Bahasa Melayu. Akhirnya, dakwah terbantut, sehingga ke hari ini tidak sampai satu peratus bukan Melayu memeluk Islam.

Agak menjelikkan dalam satu seminar baru-baru ini di tempat saya sendiri, hanya kerana terdapat seorang pelajar Korea, secara tiba-tiba kita terus tukar medium kepada bahasa Inggeris. Kenapa perkara ini boleh berlaku dalam negara yang berasaskan kenegaraan Melayu? Hina sangatkah Bahasa Melayu? Siapa yang sepatutnya belajar Bahasa Melayu jika mereka berada dalam sebuah negara Melayu?

Perkara sebegini tidak pernah berlaku kepada negara-negara yang mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka. Cuma kita sahaja yang terlalu menjaga hati orang sehingga hati sendiri terluka dan berdarah, langsung tidak dipedulikan. Akhirnya, kaduk naik junjung. Golongan ini menjadi semakin ultra kiasu. Kepentingan bangsa lebih diutamakan daripada kepentingan negara.

Cuba lihat cara akhbar-akhbar ultra kiasu yang tidak faham agenda nasional, undang-undang dan kedudukan agama Islam. Puncanya adalah kerana masalah bahasa. Apabila bahasa tidak dikuasai mereka tidak akan dapat memahami budaya dan cara hidup sesuatu kaum, terutama kaum majoriti. Baru-baru ini seorang penulis biadab akhbar ultra kiasu mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikatakan bertindak seperti Perdana Menteri dan Kabinet yang berkuasa ke atas kerajaan.

Ini berikutan arahan Ahli Majlis Bandaraya Perlis yang mahu menurunkan iklan atau papan tanda perempuan yang mendedahkan aurat. Penulis biadab ini mempertikaikan, pada ayat mana pula dalam al-Quran yang menyatakan melarang wanita Muslim tidak memakai tudung? Siapa yang menentukan garis panduan menutup aurat? Sedangkan masyarakat Muslim terutama kumpulan pergerakan hak asasi kaum wanita sering mempertahankan hak wanita.

Ternyata ultra kiasu ini amat jahil mengenai kepentingan nasional dan agama Islam walaupun telah tinggal di alam Melayu sekian lama dari generasi kepada generasi.

Perlu saya ingatkan, perkara berkaitan dengan kedudukan Islam dan adat istiadat orang Melayu berada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Inilah sistem yang telah kita warisi sejak zaman berzaman apabila negara kita dijajah dan sistem ini kekal sehingga kini. Majlis Fatwa Kebangsaan tidak tertakluk kepada orang bukan Melayu, apatah lagi ultra kiasu.

Ini hal ehwal umat Islam. Jangan campur tangan. Kami, umat Islam tidak pernah campur tangan dalam kehidupan agama orang bukan Islam. Hormatilah, jangan biadab dan kurang ajar.

Negara ini tidak akan kucar-kacir dengan adanya Majlis Fatwa kebangsaan kerana Islam amat menghormati hak bukan Islam. Tetapi negara akan kucar-kacir sekiranya ada ultra kiasu yang tidak menghormati, tidak berasimilasi dan terus mahu mencampuri hal-hal orang Islam, apatah lagi mengambil haknya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NOMY Nozwir menulis surat terbuka kepada saya, Tee Chuan Seng, disiarkan laman web ultra kiasu, pada 24 Januari 2014. Biar saya jawab, agar semua faham, mudah-mudahan kendur sedikit ultra kiasunya.
  • SAYA ucapkan tahniah atas inisiatif menganjurkan Selawat Perdana Putrajaya, Malam Cinta ALLAH dan Cinta Rasul, dengan tema Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan, yang sedang menjelajah seluruh negara masa kini, yang dijayakan hampir seratus peratus oleh pendakwah seberang.
  • SAYA tidak berkesempatan untuk menghadiri Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan (KPPK) walau dijemput berkali-kali pihak penganjur 27 Ogos lalu dan sebelumnya. Elok juga saya tidak hadir. Jika tidak, saya akan dituduh pengkhianat Cina lagi.
  • Tidak kira siapa menghina Islam, salah tetap salah. Tindakan mesti diambil. Walaupun mungkin orang Islam (Melayu) sendiri melakukannya. Tidak ada pilih kasih dalam Islam dalam menentukan keadilan.
  • Kenyataan bekas hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd Noor mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) perlu diserapkan dalam pendidikan kebangsaan, menjadi kontroversi. Salah seorang pemimpin MCA nampak berang dalam memberikan respons terhadap kenyataan tersebut.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.