SEWAKTU sesi penggulungan jawapan menteri di Parlimen minggu lalu, saya muat turunkan dua fakta yang diumumkan Kementerian Sumber Manusia; Pertama, Malaysia baru sahaja mengambil seramai 252,000 pekerja Bangladesh untuk mengisi keperluan industri. Keduanya, seramai 103,000 siswi dan siswazah kita masih mencari peluang pekerjaan.

Ternyata, kedua-dua kumpulan tersebut mengisi keperluan bidang berlainan. Tambahan diakui bahawa pengangguran bukanlah fenomena ganjil bagi sesebuah ekonomi. Namun, yang membimbangkan kita semua adalah bila kita mengambil kira hakikat bahawa graduan adalah antara golongan teramai yang tidak bekerja dalam kalangan penganggur muda. Dan sedang angka graduan yang menganggur, ratusan ribu pula pekerja asing baharu diambil masuk. (Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2016)

Fakta-fakta ini wajib mendesak kita memikirkan masa depan tenaga kerja dan demografi Malaysia menjelang 2050.

Menurut Laporan Tahunan BNM 2016 terbitan 23 Mac 2017, kadar pengangguran anak muda (15-24 tahun) pada paras 10.7%, melebihi tiga kali ganda kadar pengangguran nasional pada 3.1%.

Maksudnya, angka ini menjadikan Malaysia antara negara Asean yang mempunyai kadar pengangguran anak muda dwi-digit; tetapi masih di belakang Indonesia, Filipina dan Singapura.

Hampir 61% daripada bilangan penganggur di Malaysia adalah anak muda antara 15 hingga 24 tahun. Jika ditambah 'kohort' berikutnya (25-29 tahun), nisbah ini meningkat kepada lebih 81%.

Lebih mengejutkan lagi adalah kadar pengangguran bagi anak muda 'berpengajian' tinggi pada 15.3% jauh mengatasi anak muda tanpa pengajian tinggi pada 9.8%. Dalam kalangan anak muda tanpa pekerjaan, graduan mewakili 23%.  

Berdasarkan pendapatan isi rumah pula, masalah pengangguran graduan ini lebih serius dialami mereka daripada keluarga berpendapatan rendah tanpa mengira bidang yang dipelajari. Dalam erti kata lain, risiko anak keluarga miskin untuk menganggur selepas bergelar graduan kelak adalah lebih tinggi.

Antara faktor kepada permasalahan ini termasuklah:

a) Penciptaan pekerjaan terlalu tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana.

b) Ketidaksepadanan antara pencapaian atau kualiti pendidikan dan pengetahuan graduan berbanding pekerjaan yang wujud atau diperlukan pasaran, berkemungkinan akibat kurangnya penyertaan industri sendiri dalam agenda pembangunan modal insan dan latihan.

c)  Ketidaksediaan graduan untuk menyertai alam pekerjaan yang juga merupakan aspek kebolehpasaran dan penyesuaian graduan termasuklah defisit dari segi keupayaan menyelesaikan tugasan menurut spesifikasi, kemahiran berkomunikasi dan sebagainya.

d) Implikasi latar belakang sosioekonomi seseorang graduan terhadap pembelajaran dan pergaulan.

Maka jalan penyelesaian perlu dicari. Cadangan pertama, kerajaan wajib menamatkan trend pemoto-ngan belanjawan untuk bidang pendidikan. Pelaburan buat anak-anak muda Malaysia wajib kita kekalkan.

Kedua, antara masalah utama dibangkitkan laporan BNM terbabit ialah ketidaksediaan syarikat-syarikat tempatan untuk bersama universiti dalam menyediakan peluang kepada pelajar membuat latihan industri. Kajian Bank Dunia dan TalentCorp mendapati, 90 peratus syarikat percaya pelajar perlu didedahkan dengan lebih banyak latihan industri.

Sebenarnya isu ini sudah dibangkitkan secara langsung dan tidak langsung menerusi Malaysia Education Blueprint dan Malaysia Higher Learning Education Blueprint, terutama membabitkan mewujudkan sistem pendidikan berkualiti, termasuk sektor TVET yang berkesan. Malangnya, pelaksanaan kerajaan melibatkan potongan biasiswa dan belanjawan pendidikan itu sendiri.

Ketiga, syarikat-syarikat dan universiti perlu serius untuk bekerjasama dalam memberi latihan sebaik mungkin kepada pelajar ketika mereka masih menuntut. Industri juga perlu lebih ke hadapan dalam membantu universiti untuk memahami apa sebenarnya yang benar-benar diperlukan mereka. Jangan biar universiti keseorangan dalam hal ini.

Diakui, isu ini kompleks. Bagaimanapun tidak wajar menyatakan sikap terlalu memilih kerjaya atau terlalu demanding menyebabkan ramai graduan kini menganggur. Saya lihat generasi kini paling dinamik dan pandai menggunakan peluang dengan berniaga melalui Facebook dan Instagram dengan kempen pemasaran di luar kotak. Mungkin jumlah jualan dan untung tidak tinggi, tetapi mereka dapat buktikan mereka adalah golongan yang resourceful.

Sekarang, tiba masanya kerajaan melunaskan kesediaan untuk menyumbang dan melabur demi golongan resourceful ini. Yakinilah, yang diperlukan oleh anak muda menjelang 2050 adalah peluang menaiki tangga mobiliti sosial menerusi pendidikan tinggi - bukan potongan sesuka hati oleh pak menteri.