BUAT ke sekian kalinya kita mendapat khabar keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baik dan memberangsangkan.

Secara keseluruhan, keputusan SPM 2013 adalah lebih baik jika dibandingkan keputusan Gred Purata Negara (GPN), iaitu pada 4.93 mata berbanding 5.08 mata pada 2012 (purata lebih kecil menunjukkan keputusan lebih baik).

Lebih ramai pelajar dapat keputusan cemerlang A dalam semua subjek iaitu 13,970 orang berbanding 13,720 iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus dari tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, statistik menggusarkan ialah apabila 68,208 calon SPM gagal dalam peperiksaan itu, dengan 128 calon gagal dalam semua mata pelajaran yang diambil. Begitu ramai pelajar kita tidak dapat menguasai peringkat pembelajaran menengah.

Tidakkah ini menunjukkan kepada kita yang sistem pendidikan negara kita berada dalam krisis yang semakin meruncing?

Sebaiknya kita juga membandingkan prestasi negara di peringkat antarabangsa; Hal ini kerana apabila kita membandingkan dengan negara-negara lain, contohnya dalam keputusan Trends in International Mathematics and Science Study (Timms) dan
Programme for International Student Assessment (Pisa), hakikatnya berlainan sama sekali.

Prestasi pelajar Malaysia dalam bidang Matematik dan Sains menurut laporan Timms turun dari tahun ke tahun. Dalam mata pelajaran Matematik, pelajar Malaysia dapat markah purata 519 pada 1999, dan turun ke-410 pada 2011. Bidang Sains juga begitu dengan 492 markah pada 1999, turun ke-426 pada 2011.

Kita semua sedia maklum dengan keputusan Pisa pada 2012 yang meletakkan Malaysia di bawah sesetengah negara yang jauh lebih miskin. Vietnam umpamanya, memperlihatkan prestasi amat memberangsangkan sekali. Singapura jauh meninggalkan
kita. Walaupun kita berkongsi sejarah, tetapi, perbezaan prestasi pelajar Malaysia dan Singapura bagaikan langit dan bumi.

Penilaian Berasaskan Sekolah yang cuba diimplementasikan di sekolah lebih banyak membawa masalah apabila kebanyakan perkara yang telah mendapat bantahan daripada guru dimansuhkan oleh kementerian, saya tertanya-tanya kenapakah pihak
kementerian tidak melibatkan tenaga pengajar dalam merangka sistem PBS ini?

Maklum balas yang mereka kemukakan amat berguna dalam merangka polisi tersebut, seharusnya kerajaan libatkan guru-guru sebelum sesuatu polisi itu diterapkan secara meluas.

Menurut laman web Times Higher Education, tidak ada sebuah pun universiti di Malaysia yang disenaraikan dalam 400 universiti terbaik di dunia.

Lima universiti terbaik di Asia ialah The University of Tokyo Jepun, tangga ke-23, Universiti Kebangsaan Singapura (26), Universiti Hong Kong (43), Universiti Kebangsaan Seoul (44) dan Universiti Peking (45).      

  Universiti Malaya, yang pada suatu masa dahulu merupakan sebuah institusi yang amat kita banggakan juga gagal untuk disenaraikan. Kegagalan ini sekali lagi memberikan sebuah tanda yang jelas bahawa sistem pendidikan kita sedang berada dalam
sebuah krisis yang amat membimbangkan.

Demi anak-anak Malaysia, saya telah mengutus sepucuk surat kepada Menteri Pendidikan pada minggu lepas, antara lain meminta Yang Berhormat Menteri mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk wakil dari profesion perguruan, ahli politik bipartisan dan wakil-wakil daripada kerajaan tentang cara-cara untuk mengatasi masalah-masalah ini.

Krisis kontradiksi pendidikan sewajibnya mendesak kerajaan untuk mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif dalam merangka polisi-polisi pendidikan, supaya penyelesaian yang terbaik dapat dicungkil daripada minda-minda akademia tersohor di dalam dan luar negara.

Perkara ini perlu diberi keutamaan agar Malaysia akan terus dapat bersaing dengan dengan negara-negara lain, terutama dalam era globalisasi ekonomi yang semakin rancak dari hari ke hari. Jangan kita cuma “syok sendiri”, dan hanya menjadi jaguh kampung, walhal negara-negara serantau semakin maju ke hadapan.

Sedarlah! Masa depan pendidikan anak-anak berada dalam tangan kita!

Nota: Pelancaran buku saya, Masa Depan, Masa Kita  akan diadakan jam 3 petang pada 28 Mac ini, di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf. Sasterawan Negara, A Samad Said dijangka melancarkan buku ini. Sebuah forum bersama-sama YB Rafizi Ramli, YB N Surendran dan YB Tony Pua juga akan diadakan bersempena pelancaran buku tersebut.