MENURUT blog rasmi Jabatan Peguam Negara, kepentingan nasional bermaksud: “Kepentingan negara secara khusus... perkataan nasional adalah merujuk kepada negara dan kebangsaan.

Kepentingan nasional ialah keutamaan yang perlu wujud dalam sesebuah negara bagi menjamin kestabilan dan kemantapan proses berorganisasi.

Prinsip asas kepentingan nasional ialah menjadikan negara dan bangsa sebagai fokus terpenting serta lebih mementingkan hak asasi sejagat bagi setiap warganegara seperti pendidikan, pembangunan, keselamatan, ekonomi dan hak-hak sosial serta perpaduan masyarakat berbilang kaum..”

Terma ini sering diguna pakai Kerajaan Persekutuan sedia ada - dan terbaharu, dalam menjawab persoalan kelewatan pembinaan serta operasi Lapangan Terbang KLIA2; termasuklah peningkatan kos yang bermula dengan RM1.8 bilion, kini RM4 bilion.

 Bak kata pemangku menteri: “Pihak yang terlibat dalam pembinaan dan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) diminta meletakkan kepentingan nasional bagi menjayakan permulaan operasinya pada 2 Mei ini.”

Daripada pembacaan kasar tentunya saya suka dengan usaha mengutamakan kestabilan negara; namun tanpa pemimpin yang seiring meletakkan kepentingan nasional sebagai prasyarat pelaksanaan kerja dan tanggungjawab, maka terma kepentingan nasional tidak akan bermakna.

Pertama, dalam menyamakan kepentingan negara dengan kepentingan wakil Barisan Nasional, prasyarat utamanya adalah pemulihan demokrasi negara. Ketika ini, Suruhanjaya Pilihanraya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kepentingan pilihan raya itu seolah-olah milik dan kepentingan Perdana Menteri; hakikat ini merupakan sebuah konflik kepentingan yang begitu besar. Suruhanjaya Pilihanraya, institusi yang melindungi sistem pilihan rakyat; pimpinan dan hierarkinya, perlu dirombak.

Kedua, institusi pilihan raya yang independen perlu diganding dengan media yang bebas, adil dan sihat mengkritik pimpinan politik demi kepentingan rakyat.

Telah acap kali saya nyatakan sebelum ini, media bebas dan adil adalah aspek yang amat mustahak untuk sebuah demokrasi yang sihat; menggalakkan pertukaran pendapat secara sihat; dan memberikan peluang kepada semua parti untuk menerangkan dengan terperinci idea-idea serta apakah polisi yang akan diterapkan sekiranya terpilih untuk memimpin negara.

Demi kepentingan nasional, undang-undang yang menyekat kebebasan media termasuk Akta Mesin Cetak dan Percetakan (PPPA 1984) harus dimansuhkan.

Akta ini secara langsung memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menyekat mana-mana pihak daripada menerbitkan akhbar mereka sendiri. Sudah tentu kuasa ini akan digunakan untuk menyekat mereka yang dilihat sebagai mengkritik kerajaan.

Ketiga, demi kepentingan nasional jua, prinsip federalisme yang sebenar harus terlaksana. Pemusatan kuasa oleh kerajaan perlu dipecahkan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan lebih pesat dan lebih meluas kesannya.

Demi kepentingan nasional, kekayaan negara ini perlu dikongsi dengan lebih adil, dengan nisbah 60:40 yang mana 40 peratus daripada cukai yang dikumpulkan Kerajaan Pusat harus dikembalikan kepada kerajaan negeri untuk perancangan pembangunan di peringkat kerajaan negeri.

Keempat, demi kepentingan nasional, yang memulangkan hak berpendidikan kepada rakyat, Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan beberapa tahun dahulu seharusnya diteliti dahulu sebelum dilaksana.

PBS mengakibatkan guru-guru yang sepatutnya bertumpu kepada silibus yang perlu diajar; sebaliknya melakukan kerja-kerja pengkeraniaan.

Demi kepentingan nasional, reformasi pendidikan perlu dijalankan sekarang. Saya pernah mencadangkan satu Majlis Perundingan Pendidikan Kebangsaan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, ahli politik, badan-badan bukan kerajaan dan pakar-pakar antarabangsa ditubuhkan untuk menggariskan hala tuju pendidikan yang terbaik secara adil dan telus.

Ini juga termasuk beri semua laporan pakar dunia pendidikan yang disimpan kerajaan ketika merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 untuk penelitian rakyat.

Kepentingan nasional amat penting, dan janganlah cuma bermain di bibir pemimpin.