MANIFESTO sering menjadi topik perbincangan di media massa dan perbualan rakyat serta sembang politik. Ramai juga yang membuat perbandingan manifesto parti-pati  politik yang menampilkan janji dan tawaran yang akan diperoleh oleh pengundi apabila berjaya membentuk kerajaan kelak.

Adakah manifesto merupakan faktor penentu kemenangan dan pembentukan sesebuah kerajaan dalam pilihan raya? Sejauh mana janji-janji dalam manifesto ditunaikan?

Manifesto adalah pernyataan bertulis yang diwacanakan kepada publik mengenai “polisi’, kepercayaan, dan apa yang ingin ditawarkan oleh parti politik, khususnya dalam pilihan raya sesebuah negara.

Oleh itu, manifesto dapat dilihat sebagai wadah kesampaian parti politik dengan bakal pengundi dalam pilihan raya. Oleh itu, bagi setiap pilihan raya – umum atau kecil – pembikinan dan pewujudan manifesto merupakan suatu “akad” atau aku janji yang menjadi kelaziman dan dikirakan penting oleh parti politik yang bertanding.

Menurut Fairclough (2000), manifesto pilihan raya sebagai dokumen parti politik. Bermaksud apabila sesebuah parti berjaya membentuk kerajaan mestilah mengangkat manifesto sebagai panduan dan dasar yang akan dilaksanakan dalam pentadbiran di peringkat pusat mahu pun negeri.

Menurut Kamus Dewan pula, manifesto adalah satu pernyataan, janji atau deklarasi secara bertulis yang digunakan seseorang atau sebuah parti politik semasa kempen pilihan raya bagi mendapat perhatian, simpati dan sokongan pengundi.

Manifesto, memberi makna perakuan atau janji dan perlu dikemukakan dalam mana-mana pilihan raya.  Manifesto juga  mempunyai pengaruh cukup kuat dalam menentukan kelangsungan sebuah parti mahu pun individu. 

Kajian oleh saya menunjukkan bahawa 65% seseorang pengundi memilih berdasarkan manifesto.  Berbanding dengan faktor calon 84%, faktor parti politik 76% dan faktor sentimen atau isu 68%.

Namun pengundi masih mempertimbangkan persoalan “masa hadapan” dengan merujuk manifesto yang lebih menarik dan memikat hati serta serasi dengan nilai yang ada dalam jiwa pengundi.

Manifesto yang menepati kehendak pengundi dan rakyat setempat lazimnya akan mempengaruhi pola pengundian. Melalui manifesto juga, pengundi akan menilai kemampuan sesebuah parti politik atau wakil rakyat yang dipilih mereka sama ada mampu atau tidak memenuhi apa yang telah dijanjikan. 

Sehubungan itu, menjelang PRU14, masyarakat kebelakangan ini juga didedahkan dengan pelbagai penjelasan mengenai manifesto politik, khususnya berhubung pencapaian, janji-janji  yang dikotakan dan tidak kurang juga janji-janji tidak tertunai. 

Ibarat melaporkan buku rekod pencapaian, parti politik sebenarnya menunjukkan “kehebatan” yang telah dilaksanakan dalam tempoh lima tahun pemerintahannya.

Manifesto yang baik adalah manifesto yang dapat menawan dan membangkitkan rasa keinginan dalam kalangan pengundi untuk memilih sesebuah parti politik dan wakil rakyat mereka.

Memang benar faktor calon, memainkan peranan penting, tetapi pengundi juga mahu tahu apakah manifesto atau deklarasi yang boleh ditawarkan kepada mereka. Memberitahu apa telah dilaksanakan kepada rakyat sebenarnya amat memberi kesan kepada mereka.

Kajian pada 2014 oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Mara, terhadap sekumpulan belia berumur antara 21 hingga 35 tahun, mendapati 75.7% orang telah lupa dengan apa yang ditawarkan kepada mereka semasa kempen pilihan raya umum 2013. 

Semasa kempen pilihan raya, pengundi selalunya amat ghairah dengan apa yang ditawarkan dalam manifesto sesebuah parti. Namun lama-kelamaan, mereka sendiri lupa sehinggalah menjelang pilihan raya, baru mereka   ingat kembali selepas hal berkaitan dibangkitkan beberapa pihak.

Kebijaksanaan dalam menawarkan manifesto yang menarik,  akan menjadi antara faktor penentu kemenangan atau kekalahan sesebuah parti.  Manifesto pilihan raya bukan merupakan perkara yang boleh dipandang remeh kerana ia merupakan janji sebuah parti politik yang bertanding kepada rakyat yang mengundi.

Apabila sudah menang pilihan raya, manifesto yang telah dinyatakan berubah menjadi tanggungjawab perlu dilaksanakan. Jika gagal, ia seolah-olah mengkhianati undi dan kepercayaan rakyat yang menyokong dan mengundi mereka ketika pilihan raya.

Oleh itu, rakyat perlu bijak untuk menilai manifesto-manifesto dikeluarkan setiap parti politik yang bertanding. Ini merupakan tanggungjawab kita sebagai pengundi nanti. Gunalah peluang yang ada sebaik boleh untuk menentukan kerajaan pada masa akan datang.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Media dan Perang Saraf Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM