SAYA menyambut baik pendekatan yang diambil Ustaz Nik Omar Nik Aziz yang mempertahankan hak bersuara secara berhikmah demi kepentingan masyarakat Islam secara umum.

Inilah yang disebut sebagai Islam Ramah Bawa Rahmat, bertepatan dengan tuntutan Islam Rahmatan lil ‘Alamin.

Pembawaan Islam ayahanda beliau, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menekankan akhlak, toleransi dan kepentingan masyarakat majmuk di Malaysia ternyata masih dijulang.

Syiar Islam Ramah Bawa Rahmat juga selari dengan pendekatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sejarah pembangunan Islam di Pulau Pinang yang dipelopori ulama serta cendekiawan sejak 1700-an.

Maka, saya menyatakan tekad untuk menolak unsur-unsur melampau dan berbahaya di Permatang Pauh yang merujuk kepada sikap dan pendekatan Islam Marah.

Saya percaya, pembangunan agama dan institusi Islam akan berkembang makmur melalui teras nilai moral dan budaya saling menghormati dalam kalangan masyarakat.

Dengan bantuan kerajaan negeri dan agensi tempatan, peranan institusi agama di Permatang Pauh khususnya sekolah agama, surau, masjid dan institusi zakat akan:

1) Dikembalikan sebagai pusat komuniti dan pembangunan sahsiah warga tempatan.

2) Melibatkan bidang profesional untuk merencana hala tuju dan masa depan anak muda, selari dengan tumpuan untuk pencapaian duniawi dan ukhrawi.

3) Dipertingkatkan dari sudut urus tadbir hal ehwal Islam, terutamanya berkenaan penyaluran maklumat dan capaian bantuan kebajikan

4) Diperluaskan dari sudut kegiatan dakwah dan interaksi agama.

Saya turut menyokong sepenuhnya tindakan Mufti Pulau Pinang, Yang Berbahagia Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menegaskan penolakan pengenaan cukai GST ke atas institusi zakat.

Ia seharusnya diguna pakai untuk membantu para asnaf, bukan sekali-kali untuk tujuan perniagaan.

Pada ketika pelbagai isu label-melabel, perbandingan ideologi dan sokongan politik ligat diperdebatkan, masyarakat harus mementingkan toleransi dalam beragama seperti yang dianjurkan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Saya yakin konsep Islam Ramah Bawa Rahmat akan memberi nafas baharu kepada budaya beragama di Malaysia, khususnya di Permatang Pauh.

Budaya negatif Islam Marah adalah penghinaan terhadap agama dan hanya mendatangkan fitnah berterusan.

Islam hanya akan dihormati sekiranya akhlak penganut (termasuk para agamawan dan asatizah) tertampil mulia.