SAYA membesar pada waktu di mana kehidupan itu lebih mudah. Setiap malam Jumaat, ayah akan membawa saya dan adik lelaki ke surau di kejiranan kami. Ini adalah rutin kami sejak saya berumur enam tahun, selepas mempelajari cara menunaikan solat, dan mula mengenal huruf jawi.

Kami akan tiba di surau sebelum azan Maghrib, dan akan menghabiskan malam yang paling lama di sana, setiap minggu, bermula dari pukul 7 petang hingga 9:30 malam. Waktu tersebut diisi dengan menunaikan solat Maghrib, membaca surah Yasin, menunaikan solat Isyak, dan menjamu hidangan ringan.

Boleh dikatakan, 20 tahun kemudian, malam Jumaat masih lagi boleh dianggap waktu yang paling lama dihabiskan di surau.

Tetapi penulisan ini bukanlah hendak membincangkan pasal malam Jumaat, permulaan penghulu segala hari dalam Islam. Sebaliknya, penulisan ini membincangkan tentang aspek kemasyarakatan yang dibina di masjid dan surau dalam komuniti, dan individu seperti ayah saya yang menghadirkan diri ke masjid atau surau setiap minggu.

Banyak yang telah berubah sejak saya berumur enam tahun. Semasa saya berumur 15 tahun, sebuah masjid telah dibina berdekatan rumah saya. Masjid tersebut adalah tiga kali lebih besar berbanding surau yang telah wujud selama lebih 10 tahun.

Semasa saya berumur 17 pula, kejiranan saya telah berhenti melakukan takbir raya di sekitar kejiranan kami. Semasa saya berumur 20 tahun pula, dan pulang ke rumah semasa cuti semester, kehadiran kami untuk ibadah malam Jumaat disambut hanya segelintir jiran tetangga.

Apa yang sudah berlaku dengan kejiranan kami? Saya tak segan untuk mengakui bahawa saya kenal jiran-jiran yang biasa ke masjid untuk menunaikan solat. Mereka sekurang-kurangnya berumur tiga kali ganda lebih tua daripada saya, dan telah lama menetap di kejiranan kami sejak bandar tersebut dibangunkan pada lewat 80-an.

Saya rasa sedih bila mengenangkan semula hubungan kejiranan dan komuniti yang saya ingati sejak kecil. Surau di kejiranan kami tidak terhad hanya sebagai tempat untuk beribadah kepada-Nya.

Sebaliknya, surau itu juga adalah tempat masyarakat berkumpul untuk mengenal jiran tetangga, dan membina hubungan komuniti sesama sendiri. Apabila upacara kenduri, tahlil atau cukur jambul diadakan, mereka yang menghadiri surau akan dijemput untuk menyertainya.

Apabila terdapat kematian, jiran tetangga ini juga yang akan membantu menguruskan segalanya, dan menunaikan solat jenazah – pada waktu yang dianggap mencabar untuk kita dan keluarga.

Pada satu masa dahulu, masjid dan surau bukanlah pusat pergerakan politik, tetapi untuk menyambut semangat kejiranan pada masa kini, dengan bertambahnya jumlah masjid dan surau di mana-mana, satu persoalan perlu difikirkan: Adakah pertambahannya, dalam satu kawasan itu, meruntuhkan semangat kejiranan masyarakat?

Apabila sebuah kejiranan itu mempunyai dua masjid dalam radius 5 KM antara satu sama lain, di manakah pusat sesebuah kejiranan itu? Tak hairan untuk kita dengar pada masa kini, masyarakat yang hadir ke surau yang berlainan berdasarkan ideologi politik mereka. Masjid dan surau kini telah berubah menjadi tempat penyebaran ideologi; memisahkan dan bukan lagi menyatukan

Dalam buku beliau, State-led Modernization and the New Middle Class in Malaysia, kajian ahli sosiologi Abdul Rahman Embong mengetengahkan surau sebagai satu institusi penting dalam membangunkan komuniti Melayu yang sihat.

Berdasarkan latar belakang mereka, masyarakat Melayu mempunyai kecenderungan untuk mewujudkan ciri-ciri kampung, walaupun di kejiranan bandar. Surau memainkan peranan ini, sebagai asas kepada silaturahim.

Antara ciri-ciri komuniti masyarakat Melayu adalah wujudnya aktiviti yang dilakukan di surau, pemupukan hubungan komuniti, amalan dan semangat gotong-royong, dan pendidikan agama berkumpulan untuk kanak-kanak.

Ini adalah nilai-nilai yang kini semakin luntur disebabkan oleh kehendak kita yang ingin hidup dengan lebih banyak privasi, dicampur pula dengan pembinaan lebih banyak masjid dan surau, hanya untuk tujuan utiliti. Jumlah yang lebih banyak tidak semestinya lebih baik, terutamanya jika ia tidak seragam dengan komuniti di sekitarnya.

Kita tidak boleh memandang rendah fungsi masjid dan surau sebagai institusi sosial yang penting untuk masyarakat Melayu. Selain daripada tempat untuk menunaikan solat, ia juga mempunyai pengaruh penting yang berakar umbi sejarah budaya.

Yang sedihnya adalah, surau, tempat yang sering saya hadir semasa saya muda, dan pengunjung yang menghadirinya, kini sudah berbeza.

* Penulis kini sedang menuntut di University of Manchester, United Kingdom