MULAI 12 Oktober depan, filem Tombiruo akan mula menemui peminat-peminat wayang. Tombiruo adalah sebuah filem adaptasi daripada sebuah novel karya Novelis Thriller Nombor Satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid.  Filem ini terhasil daripada gabungan empat buah syarikat iaitu Kumpulan Media Karangkraf, Astro Shaw, Ideate Media dan Layar Sunan.

Saya berpeluang menilai novel ini apabila manuskripnya diletak ke meja saya pada tahun 1997. Tatkala itu, saya menerajui syarikat Alaf 21, sebuah syarikat penerbitan buku yang bernaung di bawah Kumpulan Media Karangkraf. Judul yang pelik itu menarik perhatian saya.

Saya ingin tahu siapakah yang menulis novel itu dan mengapa penulisnya memilih sebuah judul yang pada pertimbangan saya ketika itu tidak komersial langsung. Istilah Tombiruo itu sendiri sukar disebut. Malah ramai dalam kalangan editor saya ketika itu menyebut novel tersebut sebagai novel ‘Tombiru,’ Tomboro’ dan ‘Tombiro.’

Meskipun begitu, manuskrip novel ini agak tebal. Ia ditaip kemas, langkau satu setengah baris dan terhasil daripada cetakan komputer. Namun ada juga satu-dua kesan tulisan yang dipadam dengan ‘blanco’ dan dibetulkan dengan pen. 

Saya tersenyum kerana faham bahawa si penulis barangkali belum selesa sepenuhnya menggunakan cara delete lalu mencetaknya semula agar kelihatan bersih. Tetapi si penulis menggunakan juga cara lama memadam dengan tip-ex.

Halaman-halamannya saya tatap dan selak satu demi satu. Dan saya dapati jalan ceritanya amat menarik. Menarik kerana ayatnya tidak meleret. Meleret juga kerana ia ditulis with the cinema in mind. Maknanya, tatkala membaca, imej-imej mula menjelma di layar minda saya. Hanya menatap separuh manuskrip, saya sudah memutuskan bahawa novel Tombiruo ini layak diterbitkan.

Namun, saya juga nampak beberapa elemen lain yang boleh saya cadangkan kepada si penulis supaya karya ini menjadi mantap. Lantas, saya mengarahkan editor saya memanggilnya. Muncul seorang lelaki berbaju-T berwarna putih, berjeans biru dan bercapal. Dia datang tertunduk-tunduk penuh hormat. Terlalu nampak menghormati saya hingga saya tidak mahu tampak bossy pula.

Sebaik sahaja dia duduk di hadapan saya, saya perasan ada sedikit benang yang tetas di lengan baju kirinya. Ada koyakan kecil di bahagian dadanya. Bajunya putih bersih. Mungkin kerana rajin ‘diclorox’  agar tampak baharu, lalu jadi rapuh. Dia tampak toya. Orang sekarang kata, poyo.

Ramlee memperkenalkan dirinya sebagai seorang wartawan di RTM di Bahagian Radio Angkasapuri. Pernah menulis skrip drama radio dan juga mempunyai dua buah novel yang telah dikeluarkan oleh penerbitan lain. Tombiruo ini dibawa ke Alaf 21 kerana karyanya ini ditolak oleh beberapa penerbit lain. Tampak sangat dia berharap agar Alaf 21 menerbitkan novel ini.

Meskipun pada mulanya saya tidak suka dengan judul novel itu, akhirnya saya gunakan Tombiruo kerana jalan ceritanya yang menarik. Dalam masa dua bulan novel itu dipasarkan. Dan, ia tidak mendapat sambutan! Setelah tiga bulan dipasarkan, tidak ada permintaan tambahan stok dari kedai-kedai buku. Ketika itu, khalayak peminat novel tidak suka dengan genre seram-thriller.

Di Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 1998, novelnya pun tidak bergerak. Malah, ada yang memandang novel itu dengan sinis kerana judulnya yang pelik. Terdapat juga gadis-gadis yang terang-terang tidak mahu memegang naskhah novel itu kerana takut melihat kulitnya.

Tatkala novel-novel penulis lain menjadi pilihan, novel Tombiruo masih kekal di rak buku. Dari jauh saya lihat Ramlee meneguk liur dengan wajah yang layu. Tetapi, penulis ini terus menulis dan menulis.

Sebuah novel setiap tahun dan ada kalanya dua buah novel setahun. Beliau kini berdiri secara agam dengan 34 buah hasil karyanya. Dan, hampir kesemua novel-novelnya masih diulang cetak!

Dengan julukan Novelis Thriller Nombor Satu Malaysia, Ramlee berlumba dengan dirinya sendiri. Ketika era novel cinta menjadi rebutan, kemudian novel indie menjadi pilihan dan kini novel seram menjadi sebutan, Ramlee masih dengan karyanya, genrenya dan konsistennya.

Dia masih lagi tertunduk-tunduk bila bertemu sesiapa, terutamanya kepada orang yang baru dikenalinya. Contoh insan beresmi padi yang jarang kita temui lagi pada hari ini. Dia bukan siapa-siapa, meskipun dia punyai apa-apa.