DARIPADA perpektif sosiologi, setiap kelompok masyarakat mempunyai norma masing-masing. Norma-norma ini merupakan persefahaman tidak rasmi yang menentukan sikap anggota di dalam masyarakatnya.

Kumpulan-kumpulan kecil seperti dalam sebuah pasukan sukan atau jabatan akan mempunyai peraturan yang dipersetujui untuk dipatuhi oleh setiap anggotanya. Ia merupakan nilai, adat mahupun tradisi yang dipersetujui bersama.

Manusia adalah makhluk yang hidup bermasyarakat. Oleh kerana itu dia perlu akur dengan sesuatu norma kumpulan yang dipilihnya mahupun norma di mana dia berada. Ia menepati peribahasa masuk kandang lembu menguak, masuk kandang kambing mengembek.

Atau, di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Jika dia tidak mematuhi norma masyarakatnya, maka dia akan dicerca dan dihina. Malah, boleh sahaja dipulaukan.

Namun, pada hari ini kebergantungan manusia kepada teknologi kian meningkatkan sikap individualistik seseorang. Jika dahulu, seseorang itu amat mudah berasa sendirian apabila dia dipulaukan masyarakat kerana tidak mematuhi norma masyarakatnya. Kini, seseorang itu tidak berasa sendirian lagi kerana dia punyai ribuan manusia di luar kelompok yang akan bersimpati dengannya.

Jika dahulu, sepasang kekasih yang ditangkap basah akan malu berpanjangan apabila satu kampung mengetahui akan angkara mereka. Apabila dicemuh, dicaci dan diumpat, mereka akan berasa begitu terasing kerana kesalahan mereka. Akhirnya mereka akan malu, insaf dan serik untuk melakukan kesilapan itu.

Pada hari ini, mereka yang begitu boleh pula berbangga dengan angkara yang mereka lakukan kerana ada sahaja mereka di luar kelompok masyarakat yang bukan sahaja memujuk mereka agar bersabar, malah turut memuji tindakan mereka.

Akhirnya, pada hari ini sesiapa sahaja akan berani melakukan apa sahaja yang mencarik adat kerana mereka tahu, akan ada mereka yang akan mengalu-alukan tindakannya yang bertentangan dengan norma masyarakat setempat. Dunia benar-benar tiada sempadan. Seseorang yang tinggal di dalam masyarakat yang berpegang kepada norma timur boleh mendapat sokongan mereka yang berpegang kepada norma barat. Teknologi komunikasi telah merentas dunia. Tiada sempadan yang mana betul dan yang mana salah kerana majoriti akan sentiasa dianggap betul. Justeru, suara siapa yang lebih lantang, siapa yang lebih garang, maka suara itulah yang dianggap sebagai benar.

Kerana itulah, ada di kalangan kita yang berani sekali melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma masyarakatnya. Misalnya, ada insan Islam yang sengaja mahu memegang anjing tidak berasa dirinya tersisih meskipun ditegur oleh para ilmuan agama.

Dia boleh dengan sengaja menolak pandangan yang tidak sesuai dengan pegangannya yang menggunakan hujah logik akal untuk mempertahankan tindakan yang tidak manis pada pandangan agama. Tidak perlu peduli samada tindakannya itu menimbulkan sensitiviti masyarakat setempat kerana ada ratusan manusia di luar kelompok masyarakat setempat yang bersimpati dan menyokong tindakannya.

Dengan perkembangan teknologi komunikasi, norma masyarakat setempat tidak dapat membentuk individu di dalam masyarakat itu sendiri. Malah, ia telah melahirkan manusia yang berfikiran sejagat. Seseorang itu bukan lagi dibentuk oleh masyarakat setempat. Sebaliknya, peribadi seseorang itu dibentuk oleh apa yang menjadi pilihan majoriti manusia di dunia.

Apa akan terjadi sekiranya kita mengenepikan norma masyarakat setempat dan mengambil norma masyarakat dunia yang dipelajari melalui teknologi komunikasi seperti internet? Meskipun kita akan berasa diri ini berfikiran terbuka, sebenarnya kita akan tenggelam di dalam arus mentaliti ternakan atau herd mentality.

Ini adalah kerana, pemikiran, citarasa, perangai dan anutan kita ini akan sama dengan manusia lain. Berbangga menjadi universal man atau global person, tetapi sebenarnya kita seperti mana-mana binatang ternak yang perangainya serupa. Ayam di timur dan ayam di barat itu sama sahaja perangai, malah rupanya!

Manusia itu insan yang berseni kerana jiwa raganya itu sendiri adalah seni.  Seni itu berbeda. Seni akan hilang andainya ada persamaan. Lihatlah cantiknya seni garisan-garisan di ibu jari. Memang sukar sekali untuk menemui seseorang yang mempunyai garisan di ibu jari yang serupa dengan kita. Inilah uniknya suatu kejadian makhluk yang bernama manusia.

Justeru itu, jika kita relakan diri menjadi seperti mana-mana manusia lain di muka bumi ini, kita mahu jadi orang dan bukannya insan. Maka kita samalah seperti buih ~ banyak tetapi ghaib dari pandangan secara tiba-tiba.