BAS mini yang pernah berdesup di jalan raya Kuala Lumpur masih segar dalam kenangan warga kota. Dengan perkhidmatannya cepat dan murah, ia menjadi pilihan serta nadi utama pengangkutan awam di ibu negara kita.

Perkhidmatan ini yang kadangkala diberi jolokan BMW (Bas Mini Wilayah), dihentikan perkhidmatannya oleh kerajaan pada 1998. Pemberhentian ini menjadi petanda buruk, iaitu kualiti perkhidmatan pengangkutan awam yang bakal dinikmati penduduk Kuala Lumpur untuk dekad seterusnya akan menjadi amat mengecewakan.

Ternyata, petanda itu menjadi suatu realiti. Selepas 15 tahun warga kota terseksa dengan sistem pengangkutan awam seperti ini. Pengumuman Projek MRT Lembah Kelang (KVMRT) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) sudah tentu akan membuatkan semua menarik nafas lega, baik pengguna pengangkutan awam, mahupun rakyat yang sudah bosan dengan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, seperti mana projek kerajaan yang lain, projek KVMRT ini tidak kurang kontroversinya. Paling awal ialah berkenaan pemilihan MMC-Gamuda sebagai kontraktor utama tanpa melalui proses tender.

Walaupun Ketua Pengarah Eksekutif MRT Corp mempertahankan langkah tersebut dengan mengatakan ia dilakukan untuk memastikan projek itu berjalan pantas, tetapi atas dasar ketelusan, kontraktor utama bagi sebarang projek yang melibatkan kepentingan awam mestilah melalui proses bidaan bagi memilih kontraktor terbaik. Tetapi ini cuma masalah kecil, berbanding dengan masalah lain yang timbul selama projek ini berlangsung.

Pada 2009, kos bagi laluan Sungai Buloh - Kajang yang dianggarkan bernilai RM12.2 bilion. Dua tahun kemudian angka ini naik ke RM18 bilion! Pakar analisis kewangan mengatakan kenaikan ini berdasarkan kadar kenaikan harga bahan mentah. Benarkah kadar inflasi kita begitu tinggi? Kenaikan ini adalah kira-kira 50 peratus kenaikan daripada harga asal, ataupun kenaikan kira-kira 25 peratus setahun!

Bernama dalam sebuah laporan pada Februari tahun ini mengatakan, kos projek ini tidak akan melebihi RM23 bilion pula, naik RM5 billion sejak 2011. Keadaan ini meletakkan projek MRT ini sebagai satu projek rel yang paling mahal di dunia.

Dengan kos sebanyak RM23 bilion, kos per kilometer bagi projek ini ialah kira-kira RM451 juta. Bandingkan kos ini dengan kos Circle Line Singapura, iaitu pada kira-kira S$10 bilion (RM25.9 bilion), memberikan jumlah kos per kilometer sebagai RM725 juta.

Mungkin sekali pandang kita lihat seperti kos Circle Line Singapura lebih mahal, tetapi, Circle Line yang berjarak 35.7 km seratus peratus dibina bawah tanah. KVMRT bagi laluan Sungai Buloh - Kajang mempunyai laluan sejauh 9.5 kilometer yang dibina bawah tanah. Menurut penganalisis, 40 peratus kos pembinaan disalurkan ke laluan bawah tanah, lalu memberikan kos per kilometer laluan bawah tanah ini ke RM968 juta.

Ini menunjukkan Singapura boleh membina projek MRT bawah tanah dengan kadar 25 peratus lebih murah daripada kos yang dikenakan pada kita. Sungguh menghairankan.

Dari segi pasaran buruh, sudah tentu kita mempunyai tenaga buruh yang jauh lebih murah dari Singapura. Jadi apa berlaku sebenarnya? Kerajaan perlu memberikan penjelasan yang terperinci kenapa kos projek ini menjadi begitu tinggi sekali, kerana penjelasan yang diberikan tidak masuk akal sama sekali.

Saranan saya, kerajaan mestilah bersedia membuka pintu mereka untuk sama-sama duduk berbincang dengan wakil daripada semua parti politik, NGO dan orang ramai yang ingin memberikan maklum balas yang membina ke arah kebaikan bersama. Kerajaan perlu akur, walaupun mereka memegang tampuk kuasa, itu tidak bermakna mereka boleh mengetepikan suara pihak lain, terutamanya daripada wakil yang dipilih oleh rakyat Malaysia.
Cadangan demi cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk pelbagai isu yang memberi kesan kepada rakyat kebanyakan telah saya ajukan kepada kerajaan.

Sekiranya kerajaan Barisan Nasional benar-benar ikhlas untuk melakukan rekonsiliasi, proses membuat keputusan dalam isu-isu negara perlu dilakukan secara lebih inklusif tanpa melibatkan kepentingan individu tertentu. Ini termasuk dengan isu pengangkutan awam yang sudah lama menghantui masyarakat kota.