Tatkala sedang memandu dari Kuala Lumpur untuk balik ke pejabat di Shah Alam, kebetulan lampu isyarat di bawah jejambat bertukar merah. Saya terus memperlahankan kereta dan memberhentikan kenderaan. Kereta berhenti betul-betul pada tiang jejambat.

Mata saya lantas menoleh ke kanan. Bola mata yang keletihan memandu dalam panas terik, tiba-tiba menjadi bulat memandang tajam pada iklan yang tertampal pada tiang berkenaan! Iklan ubat kuat. Apakah akan kuat, hebat, teguh seteguh tiang jejambat itu?

Dahsyatnya pemikiran kritis dan kreatif seorang penulis! Cepat-cepat saya mengucap panjang. Saya cuba memberi fokus kepada pemanduan semula kerana lampu isyarat sudah bertukar warna hijau.

Iklan itu ternyata iklan haram. Jauh daripada itu, iklan haram berkenaan amat mengganggu pemandangan lalu lintas. Saya puji sikap proaktif pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengambil inisiatif sendiri menurunkan iklan haram. Ada iklan jual ubat kuat, ada iklan pengurup wang, iklan ah long, iklan tukang urut dan sebagainya.

Di kawasan perumahan Mentari Court, Petaling Jaya contohnya telah mencabut tanggal dan buang lebih 1,000 keping iklan haram.

Kita tolaklah iklan ubat kuat yang mempengaruhi kebanyakan lelaki yang tak kuat. Kita tolaklah iklan ah long yang merayu supaya pinjamlah dengan mereka duit terutama menjelang hari perayaan... Namun bolehkah kita tolak naluri seseorang yang memang sedang dalam keperluan?

Sedikit demi sedikit mesti ada yang terpengaruh. Tangan mereka akan gatal-gatal mahu menekan nombor yang tertera.

Hati mereka yang kurang iman pasti akan menggelodak mahu tahu lebih lanjut tentang apa benda itu, bagaimana cara benda itu berfungsi, bagaimana rupanya dan apa rasanya ubat-ubat itu?

Baru-baru ini dalam perjalanan ke Cheras di pinggir bandar Kuala Lumpur saya terbayang iklan yang agak menonjol rekaannya, ditambah lagi dengan menariknya kata-kata yang tertulis – Lips Massage. Apa itu?

Ini perniagaan baru! Kenapa pihak PBT di Cheras boleh membiarkan sahaja iklan itu tanpa sebarang tindakan diambil?

Saya sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kebersihan, bukan sahaja kebersihan persekitaran tetapi kebersihan minda, menjadi semakin pening kepala. Sakit hati juga ada. Kita tidak boleh menyalahkan pihak PBT sahaja. Mereka semestinya sudah tidak menang tangan hendak mengendalikan kes iklan haram ini.

Keharmonian kita sudah tidak seperti dulu. Sekarang ini senangsenang sahaja orang tampal iklan di papan tanda jalan, sampai menutup nama jalan. Apa nak jadi dengan orang kita? Lebih teruk lagi, seorang rakan saya menyumpah apabila keretanya ditampal dengan iklan mencari teman serumah.

Memang sekarang ini bukan saja kotak Tenaga Nasional Berhad menjadi mangsa. Tempat telefon awam, kerusi di stesen bas, pokok, tiang telefon, jejambat, dinding rumah dipenuhi dengan kertas iklan yang besar dan kecil pelbagai saiz, pelbagai pula barangan yang  iiklankan.

Semua ini menunjukkan gambaran bahawa masyarakat Malaysia sudah tidak bertamadun. Rakyat Malaysia pengotor dan sekali gus menunjukkan kegagalan penguat kuasa menjalankan tugas. Ini juga menghasilkan satu kelompok masyarakat yang senang-senang sahaja akan berkata, “ada aku kisah?”

Mereka hanya tahu kerja mereka tampal, tampal dan tampal.

Ini kerana tindakan yang  diambil oleh pihak PBT tidak cukup untuk mengajar mereka. Tiada saman yang perlu mereka bayar. PBT tidak tahu siapa yang tampal. Ada video pun, tetapi tidak digunakan untuk memantau kegiatan ini.

Saya rasa sudah tiba masanya kita melakukan lebih daripada menyenaraihitamkan nombor telefon iklam haram mereka. Sekat sahaja nombor yang dipaparkan supaya nombor itu tidak dapat dihubungi dan tidak terjadilah perkara-perkara seterusnya.

Boleh juga jejak mereka ini melalui nombor dalam iklan tersebut. Setelah berjumpa, arahkan mereka menanggalkan iklan haram tersebut pada hari sama juga. Sekiranya masih ada sisa baki iklan tersebut, kemukakan saman.

Ya lah, ini agak klise tetapi apa lagi daya kita dalam zaman manusia berfikir aku, aku. Engkau, engkau. Malanglah buat negara ku, Malaysia! Bagi saya pula mujur tidak bernasib malang. Jika tidak, mestinya buntut kereta saya disondol oleh kereta di belakang. Kereta saya belum makan ubat kuat...!