TANGGAL 25 Mei menandakan tarikh Malaysia berjuang sekali lagi sesudah tempoh 12 tahun dalam perlawanan akhir Piala Thomas.

Tentunya sekalung penghargaan harus diberikan kepada skuad badminton Malaysia yang telah menunjukkan semangat juang tinggi; lantas memberikan sinar harapan kepada rakyat -  kita mampu mengukir kejayaan di peringkat antarabangsa.

Walaupun kesudahan perlawanan tersebut masih belum lagi memihak kepada kita namun sesuatu yang amat berharga boleh kita perhatikan bahawa pada ketika perlawanan tersebut berlangsung, sempadan-sempadan yang telah memisahkan rakyat Malaysia pada ketika itu semuanya lenyap.

Tiada lagi Cina, Melayu atau India. Apa yang lebih hebat lagi, tidak ada lagi ahli-ahli parti politik yang berbeza; walau pada masa sama, pengiraan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor sedang berlangsung.

Berita mengenai pilihan raya tersebut seolah-olah ditenggelami oleh harapan rakyat untuk melihat anak-anak bangsa berjaya membawa pulang piala yang telah lebih 20 tahun dirampas daripada tangan kita.

Masa terhenti seketika; pada saat mata ditambah menerusi gandingan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong ketika kami yang sibuk berkempen di Teluk Intan, kami semua seolah-olah terpaku sebentar.

Walau tidak dinafikan ramai juga masih terpaku dengan calon DAP,  Dyana Sofia, detik tersebut ditandakan dengan sinar Piala Thomas.

Fenomena aneh ini membuktikan sesuatu kepada kita semua. Rakyat sebenarnya mampu untuk bersatu antara satu sama lain, walaupun latar belakang berbeza, sekiranya kita mampu melupakan perbezaan tersebut demi mencapai cita-cita yang murni untuk kebaikan semua.

Dalam kempen PRK Teluk Intan, pelbagai pihak memberi pelbagai komentar, antaranya menggambarkan Dyana, seorang graduan UiTM sebagai pengkhianat hanya kerana beliau berbeza fahaman politik dengan penguasa-penguasa dan sebahagian graduan UiTM lain.

Ada juga mengata Dyana tidak bersyukur kerana membelakangkan Umno yang telah berjasa menubuhkan UiTM. UiTM tidak banggakah dengan graduan mereka yang menunjukkan kematangan untuk berfikir dengan sendiri?

Saya tertanya-tanya, kenapakah kempen sebegini diteruskan untuk parti pemerintah. Apakah kita tidak mampu melihat persamaan antara kedua-dua calon yang bertanding? Mereka berdua adalah rakyat yang mahu memberikan yang terbaik kepada rakyat, walaupun daripada pandangan berbeza sekali.

Ini adalah titik tolak persamaan yang boleh digunakan untuk berkempen secara bersih dengan semangat saling menghormati. Politik yang tidak sihat sepatutnya perlu dibanteras, oleh kerana ia memindahkan fokus dari isu yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Sistem pendidikan yang ada pada masa ini amat kondusif untuk memecahbelahkan masyarakat Malaysia, sejak sekolah rendah lagi. Sejak kecil lagi, anak-anak ditanam dengan semangat kebangsaan. Lahirnya seorang anak manusia ke dunia ini adalah tanpa mempunyai sebarang prejudis antara satu sama lain. Sifat ini sepatutnya dipupuk dan dipelihara supaya dibawa hingga ke alam dewasa. Namun, sistem pendidikan di Malaysia tidak begitu.

Orang berbangsa Cina lebih menggemari sekolah vernakular, dengan sebab-sebab mereka yang tertentu. Begitu juga dengan orang-orang Melayu yang menghantar ke sekolah kebangsaan. Saya fikir, sekiranya kita benar-benar ingin memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain, mestilah cuba untuk menyatukan sistem pendidikan kita terlebih dahulu. Peluang-peluang untuk belajar bahasa seperti Mandarin dan Tamil sepatutnya ada ditawarkan di setiap sekolah di Malaysia.

Memberi peluang yang sama kepada anak-anak, dapat memupuk perpaduan yang sebenar. Jurang perbezaan budaya dan warna kulit akan dapat dilupakan sama sekali hanya apabila anak-anak kita dapat berkenal-kenal serta berbicara dengan bahasa sama.

Kesemua ini memerlukan sebuah pengorbanan besar daripada semua rakyat. Kita perlu mengakui pemisahan bangsa melalui pendidikan adalah sesuatu yang tidak lagi relevan dalam mengecapi kejayaan bersama. Malaysia tidak mungkin akan dapat mencapai kejayaan, sekiranya kita masih lagi tidak mampu melangkaui perbezaan.

Kerajaan perlu ada keazaman politik membuat perubahan dan pengorbanan ini. Cukuplah sudah kita menggunakan institusi pendidikan sebagai alat untuk memecahbelahkan rakyat. Kita sebenarnya mampu bersatu. Skuad Piala Thomas telah membuktikan yang kita mampu merubah segalanya.