KEHANGATAN kempen PRU14 semakin terasa. Bendera-bendera parti memenuhi ruang bandar dan pedalaman, ceramah umum dihadiri masyarakat pelbagai lapisan - walau pentasnya berbeza, bergantung kepada parti pemerintah biru tua dan barisan pembangkang biru muda anti-GST.

Tentunya bermacam isu diangkat oleh pihak yang terlibat PRU14. Isu kos sara hidup, pekerjaan, gaji dan hutang mendapat perhatian terbesar, dan taburan janji dibuat melalui manifesto yang dirangka.

Pada saat kekebalan Perlembagaan menjadi tonggak negara, sayangnya masih ada lagi segelintir pihak yang tetap galak memainkan sentimen melampau dengan dakwaan bahawa masyarakat Melayu akan hilang kuasa pemerintahan dan mundur di bawah Pakatan Harapan.

Niat pihak terbabit perlu dipersoal, khususnya apabila keutamaan seluruh rakyat dibangkitkan Pakatan Harapan sejak sekian lama.

Pada saya ini adalah satu dakwaan yang culas dan tidak berprinsip, serta turut mengetepikan peranan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah terulung.

Ia juga jelas bercanggah dengan isi Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan keistimewaan buat masyarakat Melayu dan Bumiputera.

Walaupun jelas dasar Pakatan Harapan yang mengangkat hak Melayu, tetapi serangan kitar semula berkisar aspek bangsa, agama dan institusi diraja (race, religion and royalty) dicanang untuk meraih undi menerusi taktik menakutkan, memanipulasi dan tidak beretika.

Keterdesakan Barisan Nasional amat dirasai pada saat ini. Ia jelas terpampang apabila kempen Barisan Nasional kurang menampilkan wajah Datuk Sri Najib Razak, kerana rakyat terbayang GST dan 1MDB.

Berita picisan yang dikaitkan dengan Pakatan Harapan adalah lambang ketakutan Barisan Nasional apabila melihat kebangkitan masyarakat Melayu, yang sekian lama terpinggir dek kerana dasar ekonomi menekan BN sendiri.

Melayu hakikatnya mampu membangun, tetapi keupayaan yang ada dikekang Barisan Nasional. Ketika kelemahan ini disedari rakyat, Pakatan Harapan sudah pasti menjadi pilihan dan membuktikan Pakatan Harapanlah tempat masyarakat Melayu mampu berteduh.

Justeru, frasa negatif mula dilontarkan kepada Pakatan Harapan.Ia bertindak sebagai kaedah mengaburi mata rakyat pada saat banyak isu jangka panjang terabai, seperti kenaikan kos sara hidup, peluang pembangunan dan infrastruktur kawasan luar bandar.

Hakikatnya juga, kepentingan Melayu di tangan Barisan Nasional semakin terjejas.

Ini terbukti dengan kehitaman skandal melibatkan institusi Melayu, seperti penyelewengan dana Mara berjuta ringgit dan misteri kehilangan hak milik 16 lot tanah Felda bernilai lebih RM270 juta; yang sehingga ke hari ini disenyapkan tanpa sebarang penyelesaian telus, mungkin ditutup rapat pada saat rakyat sibuk memendam cita-cita mengubah kerajaan.

Menjelang 9 Mei, masyarakat Melayu seluruh lapisan harus berwaspada dengan sebarang cakap-cakap yang boleh menghancurkan masa depan tanah air dan masyarakat Melayu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pakatan Harapan tegas dalam menjaga kepentingan masyarakat Melayu.

Pastinya wujud komitmen pada usaha mempertingkatkan kebajikan dan mengembalikan maruah yang kian terhakis akibat pemerintahan berat sebelah kerajaan terdahulu.

Barisan Nasional perlu sedar, amalan fitnah semakin tidak diterima oleh rakyat Malaysia. Maka, pendekatan lebih murni, seperti perubahan polisi yang menjurus pada pembangunan Melayu secara menyeluruh sedang dinantikan oleh rakyat - dan inilah janji kami.

* YB Nurul Izzah Anwar Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama Keadilan