TANGGAL 9 Mei 2018, detik perubahan yang dinanti sekian lama akhirnya tiba. Rakyat bertegas memberi mandat kepada Pakatan Harapan (Harapan) untuk memikul tanggungjawab mengubah hala tuju Malaysia.

Tiga minggu ke hadapan, yakni 1 Jun 2018, idea menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semakin terlunas. Arahan pelaksanaan kadar GST sifar peratus bakal membolehkan rakyat Malaysia kembali menikmati harga barangan mampu milik, meliputi segenap kategori dan jenis.

Tiada lagi paparan jumlah GST menggunung yang harus difikirkan setiap kali keluar membeli-belah. Lebih mengujakan, tiada lagi keperluan untuk mengasingkan wang tambahan untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan pada setiap masa.

Komitmen Harapan ini satu pembuktian bahawa janji sebelum pilihan raya bukan retorik semata-mata. Kami di Harapan tidak sanggup mengorbankan hasil dapatan rakyat demi menanggung beban hutang negara - meskipun kutipan GST tahunan sebanyak RM40 bilion yang menjadi taruhan.

Seterusnya, Harapan merancang untuk memastikan kita mempunyai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mencukupi untuk memantau harga barang.

Isu 1MDB juga sedang disiasat rapi, dengan penubuhan sebuah Pasukan Khas diketuai Tan Sri Gani Patail (bekas Peguam Negara), Tan Sri  Abu Kassim Mohamed (bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull (Ketua Pesuruhjaya SPRM) dan Datuk Abdul Hamid  Bador.

Siasatan telus dan teliti akan menegakkan keadilan buat seluruh rakyat Malaysia, tanpa sebarang kepentingan atau unsur berat sebelah.

Pimpinan negara yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut bersedia berhadapan kemelut hutang negara, yang dilaporkan mencecah RM1 trilion. Melalui fokus pada Agenda Reformasi serba lengkap dan iringan doa masyarakat umum, saya yakin setiap cabaran dapat ditempuh dengan jayanya.

Insya-ALLAH, keprihatinan manusiawi lahir dari jiwa yang luhur, dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai prioriti utama.

Saya tentunya amat tersentuh dengan penghargaan yang dipamerkan masyarakat umum terhadap usaha berterusan Harapan. Kami menjanjikan penerusan iltizam bagi mengangkat agenda rakyat, dipacu pendekatan menyeluruh dan inklusif.

Namun saya turut menegaskan pendirian bahawa sebarang janji Harapan yang tidak ditunaikan akan saya bawa ke peringkat tertinggi negara.

Suara rakyat suara keramat. Maka, pendekatan semak dan timbang (check-and-balance) wajar diguna pakai dalam mengolah dasar yang mengangkat hak warga Malaysia.

Saya mendoakan seluruh rakyat dapat menempuh dugaan Ramadan dan persiapan Syawal dapat berjalan dengan penuh kebahagiaan, berkat penjimatan kos, pengurangan harga barangan dan kemajuan yang ditunjukkan kerajaan Harapan.

Semoga Ramadan dan Syawal kali ini memaknakan kehidupan kita dengan lebih mendalam, dan menjadi pencetus kepada pembangunan duniawi dan ukhrawi di bawah kepimpinan berkarisma Harapan.