Hanya sekelumit yang tahu kewujudan Kampung Baru Gong Medang di Besut, apa lagi remaja bernama Noraini Ismail, dari kampung itu. Tetapi pelajar berusia 17 tahun itu tiba-tiba menjadi selebriti segera apabila dia bangun di suatu pagi dan mendapati dirinya boleh bercakap bahasa Korea, Mandarin, Jepun dan dialek Indonesia. Ajaib!
Semuanya bermula selepas Noraini terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini. Berapa lama dia boleh mempertahankan kebolehan luar biasa itu hanya Tuhan yang tahu.
Dalam beberapa kes yang serupa yang pernah dilaporkan berlaku di beberapa negara, mereka yang boleh bertutur bahasa asing akibat kemalangan atau sebagainya, termasuk Noraini, tidak mampu mengekalkan kebolehan itu dalam tempoh yang lama.
Apa pun, bagi orang seperti saya, tiada jalan pintas untuk mengetahui bahasa asing. Ia wajib dipelajari dengan tekun. Oleh itu, kita boleh faham apabila kerajaan mengambil daya usaha untuk meningkatkan keupayaan berbahasa Inggeris dalam kalangan rakyat, melalui pelbagai inisiatif. Secara jujur, saya hargai usaha kerajaan itu.
Minggu lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang menimbangkan kemungkinan menghantar guru-guru kita ke United Kingdom UK) untuk mengikuti kursus bagi meningkatkan kemahiran pengajaran bahasa Inggeris.
Beliau sendiri sedar program seperti itu akan menelan belanja besar, tetapi menekankan ia berbaloi kerana dapat mendedahkan mereka kepada English-speaking environment.
“Ini hanya rancangan. Saya sebut kepada Perdana Menteri dan beliau setuju,” kata Muhyiddin. Saya hargai niat murni kerajaan, secara ikhlas, saya rasa menghantar guru kita menjalani kursus bahasa Inggeris di UK adalah membazir.
Betulkan saya jika tersalah, tapi ikut fahaman saya, tak kiralah apa bahasa pun; untuk menguasainya perlu melalui empat cara; mendengar, bercakap, membaca dan menulis. Dan untuk ini, di tanah air kita sendiri pun boleh. Tidak perlu ke UK. Yang perlu kemahuan.
Saya khuatir di luar negara nanti, kita duduk, makan dan bergaul dengan rakan-rakan senegara. Buktinya sudah ada. Mahu tahu kecenderungan pergaulan dalam kalangan masyarakat kita, sila lawat kantin-kantin sekolah.
Mahu tahu kita masyarakat yang suka membaca atau tidak, tengok di tempat-tempat awam. Saya difahamkan ada dalam kalangan guru dan murid kita tidak mahu bertutur dan berkomunikasi dengan guru bahasa Inggeris yang dibawa dari luar negara ke beberapa negeri di tanah air kita sekarang; entah kerana segan, takut atau degil. Cuba tanya mereka yang terlibat secara langsung.
Apa pun, saya percaya kalau dibuat ‘referendum’, sebilangan besar masyarakat, pertubuhan dan persatuan, tidak setuju penghantaran ke luar negara. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili 160,000 guru di seluruh negara sendiri berasa program begitu buang masa dan membazir.
Jangan perlekeh diri sendiri. Berjuta rakyat kita petah berbahasa Inggeris. Kita ada beribu bekas guru bahasa Inggeris. Saya yakin ramai yang sanggup ajar guru-guru dan anak-anak kita secara sukarela. Siapkan modul, beri kemudahan dan sedikit sagu hati. Kita boleh! Kita hebat sebenarnya.
Allahyarham Ismail Hashim, qari yang tujuh kali menjuarai musabaqah peringkat antarabangsa dan lapan kali peringkat kebangsaan, membuat orang Arab sendiri menangis mendengar alunan suaranya ketika membaca ayat-ayat suci itu.
Saya temu ramah Allahyarham pada tahun 70-an. Rupanya, beliau menggabungkan pelbagai irama dan rentak untuk memberi kelunakan kepada pembacaannya. Sekarang ramai meniru caranya. Orang kita boleh cakap Cina macam Cina, cakap Tamil macam orang India, cakap Arab macam orang Arab dan cakap Inggeris pun bunyi lebih Inggeris daripada orang putih. Kita boleh!
Apa yang ditakuti ialah, setelah kerajaan susah payah ikhtiar dan belanja besar untuk hantar guru-guru untuk kursus ke luar negara, nanti ada pula tuduhan ia dibuat untuk raih sokongan pilihan raya atau utamakan, bukan rakyat, tapi kroni. Rugi sahaja. Buat baik, belanja besar, tapi kena jawab tuduhan lagi.
Hantar guru ke UK, kerja membazir
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.














