KONSEP ‘sepi  tinggi' saya peroleh daripada drama Dia yang Sepi karya Sharif Shaary.  Drama itu tebal dengan falsafah eksistensialisme yang religius. Judul Dia yang Sepi sudah menyatakan temanya, iaitu masalah kesepian.

Namun, kesepian yang dimaksudkan tidak sekadar kesepian seorang isteri ditinggalkan suami, atau seumpamanya. Perkara utama ialah konsep sepi yang mendominasi alam.
Alam ini asalnya sepi, dan ubatnya ialah kehadiran aneka masalah.

Antara masalah yang dapat kita fikirkan segera ialah letusan gunung berapi, banjir, tsunami dan puting beliung. Bencana alam itu gangguan besar, tetapi gangguan itulah yang menjadi pengubat kesepian. 

Dalam hal yang di atas, penentuan nasib manusia bukanlah manusia sendiri seperti yang ditekankan oleh Soren Kierkegaard, pelopor eksistensialisme Tahun 1981 rakyat Malaysia berasa bangga apabila Dr Mahathir menjadi perdana menteri, dan timbalannya ialah Musa Hitam.

Pentadbiran mereka berdua disebut pentadbiran 2M- Mahathir campur Musa. Kebanggaan rakyat Malaysia bertambah-tambah lagi apabila Anwar Ibrahim menyertai Umno, meningkat dari tahap ke tahap.

Tiba-tiba muncul isu perlembagaan yang menimbulkan keriuhan? Sesiapa lahir dalam tahun 1981 eloklah membaca semua ini. Wahai anak-anakku kelahiran 1981, Musa ketika itu laksana adik Mahathir, Anwar pula laksana anak Mahathir!

Setelah isu perlembagaan selesai, Mahathir, Musa dan Anwar tidak juga berada dalam keadaan aman. Bahkah kemudiannya Musa bergabung dengan Tengku Razaleigh menentang Mahathir dan Abdul Ghafar Baba. Anwarlah orangnya dengan penuh kesetiaan bangkit membantu Mahathir?

Kacau-bilau ketika itu ketiadaan alasan perjuangan. Menurut Teori Sepi Tinggi,  keriuhan diperlukan bagi menentang kesepian. Keriuhan antara manusia politik adalah sejajar dengan keriuhan akibat bencana alam. Kedua-dua jenis keriuhan berlaku sejak dahulu, sehingga para sarjana berjaya mencipta sejumlah teori bagi menyatakannya.

Saya mengemukakan gejala kesepian yang dipungut daripada drama Dia yang Sepi  untuk menyedarkan sesiapa yang terlepas pandang segi tersebut. Dramatis yang menghasilkan Dia yang Sepi amat sedar akan hal ini.

Bahkan, dalam amalannya, beliau sendiri bergiat kerana kesedaran akan bahaya kesepian. Oleh kerana watak dalam Dia yang Sepi menyebutkan ‘sejarah manusia ialah sejarah kekecohan, sejarah kekeliruan, sejarah pertentangan...’, maka adalah mustahil Sharif ingin menyelesaikan kesemua itu. Penyelesaian masalah ialah impian kosong.  

Ruang bicara ini tidak cukup untuk menyatakan kesemua perkara berkaitan. Namun, jika kita memerhatikan kegiatan saling menyerang sebelum pilihan raya,  berita terhakisnya dakwat kekal semasa pilihan raya, dan keputusan pilihan raya yang memberi kemenangan jumlah besar kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional  –  dan jumlah besar undi popular kepada Pakatan Rakyat – maka sedarlah kita bahawa keriuhan sentiasa hadir untuk mengubat derita kesepian.

Keputusan pilihan raya yang sedemikian mengizinkan Anwar terus berpolitik, terus menentang kesepian, melupakan hasrat jadi pensyarah universiti. Menuntut hukum anjakan makna, gejala kesepian tidak lebih daripada gejala biasa dalam  diri manusia perseorangan, dan dalam segala unit masyarakat. Dalam diri, kita menghadapi konflik dalaman.

Dalam keluarga, berlaku pergeseran antara suami dan isteri, atau anak yang tidak mematuhi larangan, atau sepupu yang asyik mengumpat. Jadi, hal Rafizi Ramli atau Saifuddin Nasution mengemukakan aneka kritikan keras terhadap Barisan Nasional, dan hal Zahid Hamidi dan Nazri Aziz mengkritik kasar pembangkang, adalah biasa, kerana itu berfungsi menghalau kesepian.

Watak Pemikir 11 dalam drama ini mencadangkan agar masalah dilenyapkan. Ini ialah saranan kepada sesiapa yang ingin berada di luar kacau-bilau. Saranan itu dijawab oleh Pemikir 1 bahawa masalah tetap timbul. Benarlah kata Dr Mahathir: Perjuangan belum berakhir!

Sekarang, fikirlah: Apakah yang akan terjadi pada dakwat kekal? Dakwat kekal dicadangkan pembangkang, kini diserang oleh pembangkang kerana katanya tidak kekal. Namun penganut Islam tahu: Yang kekal hanya ALLAH TAALA. Demikianlah manusia melawan kesepian.