HARI ini genap 100 hari kelahiran Malaysia baharu. Manifesto Pakatan Harapan (PH) menyenaraikan 60 janji untuk ditunaikan dengan 10 daripadanya akan ditunaikan dalam tempoh 100 hari. Jadi, ayuh kita lihat apa yang sudah ditunaikan dalam tempoh 100 hari ini. 
    

Janji pertama untuk memansuhkan GST kini sedang dilakukan melalui pembentangan usul pemansuhan GST dan rang undang-undang SST di Parlimen. Sudah tentu banyak perdebatan hangat yang berlaku di dalam dan luar Parlimen sehingga Menteri Kewangan enggan mengikuti sesi lawatan rasmi ke China semata-mata mahu mengelakkan rang undang-undang SST daripada disabotaj oleh pihak pembangkang. 
 

Sama ada situasi yang bakal berlaku setelah SST dilaksanakan nanti lebih baik atau lebih teruk daripada GST, sama-sama kita lihat.
 

Janji kedua untuk menstabilkan harga petrol dan memperkenalkan subsidi minyak bersasar masih belum boleh dikatakan sebagai sudah dilaksanakan sepenuhnya. Penstabilan harga petrol mungkin sedang dilaksanakan, tetapi dasar subsidi minyak secara bersasar masih tiada berita.
      

Janji ketiga, penghapusan hutang tidak wajar terhadap warga peneroka Felda masih membisu, tiada khabar berita. Mungkin kerana kerajaan masih belum mendapat penyata hutang yang tepat mengenai nilai hutang peneroka.
     

Janji keempat adalah memperkenalkan caruman KWSP khas untuk suri rumah. Program ini baru sahaja dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pelaksanaan Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri).
       

Janji kelima, menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500. Kerajaan PH menyasarkan untuk menyeragamkan kadar gaji minimum dalam masa 100 hari dan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh 5 tahun.        

Namun, entah apa yang sudah berlaku, hal keseragaman gaji masih belum berputik, dasar kenaikan gaji minimum masih dikaji.


Janji keenam, penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang bergaji kurang RM4,000 sebulan, serta memansuhkan dasar senarai hitam. Hari ini, penangguhan pembayaran balik PTPTN masih ditunda, namun arahan pemansuhan dasar senarai hitam ke atas peminjam telah dilaksanakan. 
 

Minggu lalu, dikatakan pula jumlah tunggakan hutang bayaran balik PTPTN sudah mencecah RM39 bilion, hampir sama dengan kerugian yang dialami oleh 1MDB. Adakah ini alasan tambahan untuk satu lagi pusingan-U dilakukan?
       

Janji ketujuh, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat skandal-skandal 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji. Pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib mengenai 1MDB sudah bermula. Namun, siasatan terhadap lain-lain skandal masih belum kedengaran sebarang berita.
  

Janji kelapan, kerajaan PH mahu menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak dan melaksanakan secara adil Perjanjian Malaysia 1963. Bulan lalu dikatakan Kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut, namun hingga kini masih belum diketahui siapa ahli-ahlinya.
    

Janji kesembilan, memperkenalkan Skim Peduli Sihat. Jika merujuk kepada kenyataan Menteri Kesihatan sebelum ini, skim ini masih dalam kajian walaupun secara kasarnya Selangor sudah mempunyai pengalaman dengan skim ini.


Dan janji yang terakhir, melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing. Projek MRT3 pada awalnya diumum akan dibatalkan, kemudiannya Menteri Pengangkutan mengatakan bahawa projek MRT3 hanya ditunda.

Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura juga pada awalnya diumumkan bakal dibatalkan namun kini hanya ditunda kerana Azmin Ali masih dalam proses perbincangan dengan Singapura. Projek Landasan Keretapi Pantai Timur juga turut ditunda dan proses perbincangan dengan China sedang dilakukan.
       

Kerajaan PH sedar, walaupun kesemua projek ini menelan belanja yang sangat tinggi, namun projek-projek ini mampu membawa kebaikan jangka panjang kepada rakyat dan negara. Sebab itu amat sukar untuk mereka membatalkan terus projek-projek ini.

Ini sudah tentu berbeza dengan idea untuk menubuhkan projek Proton 2.0 atau penswastaan Khazanah Nasional yang akan menguntungkan segelintir pihak sahaja.


Janji-janji manifesto tidak wajib ditunaikan secara perundangannya, namun wajar ditunaikan secara moralnya. Tidak penting bila janji-janji ini akan ditunaikan kerana apa yang penting, kerajaan berusaha untuk menunaikan semua janji-janjinya.                

Meskipun jika di Jepun, para menterinya sudah tentu akan tunduk memohon maaf seandainya gagal untuk melaksanakan janji-janji mereka, tetapi itu bukan cara kita, kerana kita sekadar pandang ke timur.



* Penulis adalah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur dan pemerhati senario politik negara