DUNIA semakin sempit, pantas dan sesak. Manusia berpusu-pusu mencari kemewahan sehingga lupa melihat golongan bawahan. Ada segelintir terlupa tanggungjawab pada agama. Ada yang gemar menaburkan kemewahan kepada perkara maksiat dan sia-sia. Sehingga lupa untuk melabur dalam saham akhirat.

Masih ramai lagi umat Islam yang memerlukan bantuan. Banyaknya  pusat dakwah dan rumah anak yatim memerlukan bantuan. Masih ramai ibu tunggal dan orang tua yang sayu memohon pertolongan. Masih ada golongan kurang upaya dan sakit merintih mohon simpati dan bantuan.

Tapi di manakah kita wahai si kaya? Di manakah dermawan dan hartawan? Mengapa lupa tanggungjawab kita pada saudara seagama. Di manakah  tanggungjawab kita pada agama. Lupakah kita mengenai perjuangan sahabat terdahulu.

Sanggup mendermakan seluruh harta untuk agama. Sama ada dalam bidang dakwah Rasulullah SAW, makan dan kelengkapan perang, memerdekakan hamba, bersedekah, ekonomi umat Islam, zakat dan pelbagai lagi.  

Berlumba-lumba rebut pahala

Teringat saya pada hadis menceritakan bagaimana sifat sahabat yang berlumba-lumba mendapatkan pahala akhirat. Tidak kira golongan kaya mahupun golongan miskin. Sahabat yang kaya melaburkan harta mereka untuk agama dan berharap memperoleh kebaikan dan keberkatan di akhirat.

Begitu juga bagi sahabat miskin, mereka diajar Rasulullah SAW untuk perbanyakan berzikir bagi memperoleh keberkatan dan pahala akhirat. Sumayyin, hamba yang dibebaskan Abu Bakar RA. meriwayatkan  daripada Abu Soleh As-Saman, daripada Abu Hurairah RA.

Dia menuturkan orang-orang miskin dalam kalangan Muhajirin mendatangi Rasulullah SAW dan mengatakan: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan darjat yang tinggi dan nikmat yang kekal.” Nabi SAW bertanya: “Kenapa begitu?” Mereka menjawab: "Orang-orang kaya telah mengerjakan solat sepertimana kami solat. Mereka juga berpuasa sepertimana kami puasa.

Akan tetapi mereka bersedekah sedangkan kami tidak bersedekah. Mereka juga membebaskan hamba, sedangkan kami tidak membebaskan hamba.”  Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu sehingga kalian boleh mengejar orang yang telah mendahuluimu dan mendahului orang-orang sesudah kalian.

Tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kalian kecuali orang yang beramal seperti amal perbuatan kalian.” Sahabat menjawab: "Tentu, wahai Rasulullah.” Nabi bersabda: “Ucapkanlah tasbih, takbir, tahmid setelah salam sebanyak 33 kali.” 

Abu Soleh mengatakan orang-orang miskin dalam kalangan  Muhajirin tersebut kembali semula menemui Rasulullah SAW dan mengatakan: “Wahai Rasulullah, rakan kami yang kaya mendengar apa yang kami lakukan. Oleh kerana itu, mereka juga beramal sepertimana kami beramal.” Rasulullah SAW menjawab: “Itulah kelebihan daripada ALLAH yang Dia berikan kepada sesiapa pun yang dikehendaki-Nya.” 

Fadilat bertasbih 33 kali

Sumayyin menceritakan hadis ini kepada sebahagian keluarganya, akan tetapi dia mengatakan: “Engkau telah tersilap. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Engkau bertasbih kepada ALLAH sebanyak 33 kali, bertahmid kepada ALLAH sebanyak 33 kali dan bertakbir kepada ALLAH sebanyak 33 kali.” 

Maka Sumayyin kembali menemui Abu Soleh, lalu dia menceritakan hal  tersebut. Dan Abu Soleh lalu berkata: “Ucapkanlah Allahuakbar, Subhanallah dan Alhamdulillah hingga masing-masing mencapai sejumlah 33 kali.” (Riwayat Muslim dalam Al-Masaajid (936) 

Jelas sekali sahabat yang miskin berasa “ghibtah” dengan golongan sahabat yang kaya, kerana bagi golongan miskin yang kaya mendahului mereka dalam beramal kepada jalan agama ALLAH, kerana mampu bersedekah dan memerdekakan hamba.

Manakala mereka tidak mampu melakukan perkara sedemikian.  “Ghibtah” yang dimaksudkan adalah keinginan untuk memperoleh sesuatu kebaikan atau kelebihan yang ada pada orang lain tanpa mengharapkan kebaikan yang ada pada orang lain itu hilang.

Seperti itulah perasaan golongan sahabat yang fakir miskin terhadap golongan sahabat yang kaya dan berharta.   Namun dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebanyak 33kali yang mempunyai fadilatnya yang tersendiri. Ia mampu menambah amalan dan pahala sama seperti mereka golongan kaya yang menggunakan harta untuk jalan ALLAH.

Umar dan Abu Bakar

Umar bin Al-Khattab bercerita: “Suatu hari Rasulullah SAW menyuruh kami bersedekah. Kebetulan pada saat itu aku tengah memiliki harta. Aku berkata: “Pada hari ini aku akan kalahkan Abu Bakar!”

Aku lalu membawakan setengah hartaku kepada Nabi. Baginda bertanya: “Apa yang engkau tinggalkan bagi keluargamu?” Aku menjawab: “Aku tinggalkan untuk mereka harta sebanyak yang aku berikan ini.”  Tidak lama kemudian, Abu Bakar datang dengan seluruh hartanya. 

Rasulullah bertanya: “Apa yang engkau tinggalkan bagi keluargamu?” Abu Bakar menjawab: “Aku tinggalkan untuk mereka ALLAH dan Rasul-Nya.” Umar berkata: “Aku tidak akan pernah mampu mengalahkan Abu Bakar!” (Riwayat Tirmizi)

Lihat, betapa hebat sahabat saling berlumba-lumba untuk membantu urusan dakwah Rasulullah SAW dalam memperjuangkan agama ALLAH. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya penghuni syurga yang paling tinggi darjatnya boleh dilihat oleh orang yang ada di bawah mereka, sebagaimana melihatnya bintang terbit di hujung langit.

Dan sungguh, Abu Bakar dan Umar termasuk daripada mereka yang mendapat nikmat tersebut”. (Riwayat Ibnu Majah No.93)  Betapa Abu Bakar RA mencintai ALLAH dan Rasul-Nya sehingga sanggup  menggunakan seluruh hartanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling setia kepadaku baik dalam hartanya mahu pun dalam persahabatannya adalah Abu Bakar. Kalau sahaja aku boleh mengangkat seorang khalil (kekasih), nescaya aku akan memilih Abu Bakar sebagai kekasih.

Akan tetapi dia adalah saudaraku dalam Islam. Sungguh tidak akan diciptakan pada masjid ini sebuah pintu kecil pun kecuali hal itu memang milik Abu Bakar”. (Riwayat Muslim No.4390)  Namun pengorbanan Umar bukanlah perkara yang sia-sia, malah Umar  RA dijanjikan ALLAH sebuah istana di syurga.

Daripada hadis riwayat Jabir bin Abdullah RA: Dari Nabi SAW, bahawasanya Baginda bersabda: “Aku masuk ke dalam syurga dan melihat dalamnya terdapat sebuah istana lalu aku bertanya”: “Milik siapakah istana ini? Mereka menjawab: “Milik Umar bin Khathab”. (Riwayat Muslim No. 4408) 

Saidatina Khadijah menggunakan keseluruhan harta kekayaannya untuk  keperluan dakwah Rasulullah SAW dan agama ALLAH. Sehingga tiada apa yang tinggal untuknya. Namun dengan pengorbanan tersebut ALLAH menjanjikan rumah di syurga yang diperbuat daripada mutiara untuknya.  

Hadis riwayat Abu Hurairah RA, dia berkata: “Jibrail datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, ini Khadijah datang kepada engkau dengan membawa bekas berisi lauk pauk makanan atau minuman, apabila dia datang kepadamu, sampaikanlah salam kepadanya dari Tuhannya Yang Maha Mulia lagi Maha Agung dan juga dariku dan khabarkanlah berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di syurga yang dibuat dari mutiara dan dalamnya cuma ada ketenangan dan kemudahan”. (Riwayat Muslim No.4460)

Muhasabah diri

Dilihat pada pengorbanan sahabat dalam memperjuangkan agama ALLAH, pasti kita mula berasa berkobar-kobar dan pasti ada sekumit perasaan takut untuk melakukannya. Namun, jika kita tidak mampu menjadi sehebat sahabat Rasulullah SAW, maka cukuplah sekadar kita menunaikan tanggungjawab kita kepada agama mengikut kemampuan diri.

Perbanyakanlah bersedekah, beramal soleh, berzikir dan bersyukur kepada ALLAH. Mungkin sebelum ini kita kurang yakin dengan harta dan zikir ia mampu menjadi sebahagian saham kita di akhirat kelak.

Dari Abu Hurairah RA,  Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain serta doa anak-anak yang soleh untuknya.” (Riwayat Muslim & lain-lainnya)   Moga kita dan seluruh keturunan kita tergolong dalam golonggan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta mendapat syurga di akhirat kelak.


Dr Fathul Bari Mat Jahya (Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (iLMU))

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • UMUM sangat terkejut peristiwa sebuah maahad tahfiz terbakar minggu lepas. Pelbagai reaksi spontan dikeluarkan pelbagai pihak seolah-olah merekalah pakar agama, pendidikan, keselamatan dan sosial. Tidak kurang juga yang terus membuat kesimpu-lan agar institusi sebegini ditutup.
  • KUALA LUMPUR sedang menjadi tuan rumah kepada Sukan Paralimpik Asean 2017 bermula 17 hingga 23 September ini. Sukan ini disertai 372 atlit orang kelainan upaya (OKU) membabitkan 16 jenis sukan.
  • ADA dua perkara yang dilakukan abah setiap pagi. Pertama, menziarahi mak sebaik hari cerah selepas solat Subuh.
  • SELURUH negara terkejut menerima berita kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, yang mengorbankan 23 nyawa Khamis lalu.
  • BARU-baru ini negara digemparkan dengan tragedi kebakaran sebuah sekolah tahfiz yang meruntun jiwa dan menyayat hati kita semua. Lebih mengejutkan apabila kejadian tersebut dirancang oleh remaja belasan tahun, malah ada yang masih dalam kategori kanak-kanak bawah umur.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.