SETIAP tahun kita berbicara tentang hijrah, penderitaan yang dihadapi Nabi SAW bersama sahabat-sahabatnya kaum Muslimin ketika di Makkah. Mereka diseksa, dipulau, hingga dikeluarkan dari negeri tanah tumpah darah sendiri.

Nabi lari bersama Abu Bakar, bersembunyi di Gua Thur, diburu oleh Arab Jahiliyah, kemudian sampai ke Madinah dan mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Berlaku peristiwa pembinaan masjid pertama, iaitu Masjid Quba di Madinah, kemudian membina sebuah Negara Islam.

Adakah riwayat itu hanya tinggal sejarah yang kita jadikan bahan cerita tahunan, atau sejarah itu kita terapkan dalam kehidupan seharian untuk kita majukan dan perbaiki diri.

Tema Hijrah tahun ini adalah ‘Wasatiyah tonggak kesatuan ummah’. Kita kena hati-hati bila bercakap tentang wasatiyah. Ini kerana ada tiga kelompok yang bercakap tentang wasatiyah; Satu yang benar,  dan dua yang salah.

Kelompok pertama, mereka salah faham tentang wasatiyah sehingga menganggap wasatiyah itu merujuk kepada taksub dan keterlaluan dalam memahami prinsip dan nas syarak.

Mereka menamakan gerakannya sebagai gerakan wasatiyah atau gerakan Islam, tetapi menyesatkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka, sampai memaksumkan dan mempertuhankan pemimpin-pemimpin mereka.

Ini bukan wasatiyah. Ini golongan yang disebut dalam hadis Nabi “Binasalah orang-orang yang melampau-lampau” (Muslim) dan Nabi menyebutnya sebanyak tiga kali. Sebagai contoh, mereka melarang bergaul dengan manusia, kena asingkan diri, jauhkan diri dari masyarakat.

Kalau begitu bagaimana dakwah hendak dilaksanakan? Bagaimana kita hendak amar makruf nahi mungkar? Sedangkan dalam hadis Nabi mengatakan bahawa Mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar dengan mereka lebih baik daripada mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar dengan mereka.

Ini menunjukkan wasatiyah sebenar adalah kita mencampuri manusia bertujuan memberi nasihat dan teguran, mengajak manusia kepada Islam. Bukan bercampur untuk mengikuti orang buat maksiat.

Golongan kedua, mereka salah faham maksud wasatiyah (sederhana) dengan erti kata memudah-mudahkan dan meremehkan agama ke arah meninggalkan nas-nas syarak.

Contohnya, memandang ringan isu aurat, menganggap tidak mengapa menyentuh dan bergaul bebas lelaki perempuan.

Slogan mereka ada bersederhana dalam agama, jangan ekstrem. Ini salah faham dan kita bimbang istilah wasatiyah ini digunakan sehingga membawa ideologi liberalisme.

Mereka menjaja wasatiyah tetapi yang mereka maksudkan adalah pemikiran liberal. Adakah mereka tidak beriman dengan hadis Nabi, “Ditusuk kepala seorang dengan besi, sungguh lebih baik baginya dari menyentuh wanita yang bukan mahramnya.” (Sahih, Al-Thabarani)

Maka tidak boleh kita menggunakan perkataan wasatiyah untuk membenarkan suatu dilarang dalam agama. Jadi apakah maksud wasatiyah yang sebenar?

Dalam al-Quran ada menyebut tentang wasatiyah. Firman ALLAH, “Dan Kami jadikan kamu umat yang ‘wasata’ agar kamu menjadi saksi bagi sekalian manusia.” (Al-Baqarah: 143). Ayat ini merujuk kepada sahabat-sahabat Nabi, merekalah umat wasatiyah. Nabi sendiri memberi tafsiran tentang ayat ini. Kata Nabi, “Wasatiyah itu adalah adil” Ulama membahas panjang maksud adil.

Ada mengatakan adil itu meletak sesuatu pada tempatnya. Ada mengatakan adil memberi hak kepada yang berhak.

ALLAH ada hakNya, sebagai hamba kena tunaikan hak ALLAH. Hamba ALLAH ada hak, ALLAH pun tunaikan hak-hak hambaNya.

Pemimpin ada hak, rakyat perlu tunaikan hak pemimpin. Rakyat ada hak, pemimpin perlu tunaikan hak rakyat. Anak kena tunaikan hak ibu bapa, demikian juga ibu bapa kena tunaikan hak anak.

Maka bila masing-masing tunaikan hak ini mengikut lunas-lunas syariat, maka tindakan itu adalah tindakan yang wasatiyah. Ini wasatiyah sebenar. Sebab itu ALLAH menggambarkan sahabat Nabi sebagai umat wasatiyah. Mereka  generasi mengamalkan kesederhanaan, keadilan, bukan sekadar pada nama tetapi mereka mempraktikkan dalam kehidupan harian.

* Penulis ialah Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DUNIA semakin sempit, pantas dan sesak. Manusia berpusu-pusu mencari kemewahan sehingga lupa melihat golongan bawahan. Ada segelintir terlupa tanggungjawab pada agama.
  • BERDASARKAN penelitian nas al-Quran dan As-Sunnah, golongan ulama telah memudahkan umat Islam memahami tauhid dengan mengkategorikannya kepada tiga jenis; iaitu tauhid rububiyah, tauhid uluhiyah, dan tauhid Asma’ wa sifat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.