Korban atau udhiyah adalah ibadah yang disyariatkan oleh ALLAH SWT. Udhiyah bererti haiwan yang disembelih pada hari Aidiladha untuk mendekatkan diri kepada ALLAH.

Firman ALLAH, “Sesungguhnya Kami telah memberimu nikmat yang banyak, maka solatlah kerana Tuhanmu dan sembelihlah qurban. (Al-Kautsar: 1-2)

ALLAH berfirman dalam al-Quran, “Katakanlah: ‘Sesungguhnya solatku, korbanku (nusuk), hidup dan matiku hanyalah untuk ALLAH Rabb sekalian alam, tidak ada sekutu bagiNya.’” (Al-An’am: 162)

Nusuk dalam ayat di atas bererti menyembelih haiwan dalam rangka mendekatkan diri kepada ALLAH TAALA. (Minhaj Al-Muslim)

Ulama berbeza tentang hukum udhiyah kepada dua pendapat; Pendapat jumhur mengatakan sunat muakkad (sangat dituntut) manakala sebahagian ulama mengatakan hukumnya wajib bagi mampu.

Antara dalilnya adalah sabda Nabi, “Barang siapa memiliki kelapangan (rezeki) tetapi tidak menyembelih korban maka jangan sama sekali dia mendekati tempat solat kami.” (Hasan.

Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Al-Daraqutni, Al-Hakim) Dari hadis ini Baginda SAW secara tegas melarang orang yang mampu tetapi enggan berkorban daripada menghampiri tempat solat, menunjukkan meninggalkannya bererti meninggalkan kewajipan.

Sebagai langkah berhati-hati, ulama menasihatkan kaum Muslimin berusaha keluar dari khilaf iaitu melaksanakannya jika mampu. Tambahan, ia cuma dilakukan setahun sekali dan lebih utama berbanding sedekah dengan harga haiwan korban meskipun berlipat kali ganda. Ibadah ini juga sebagai mencontohi sunnah Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh ALLAH menyembelih anaknya lalu Baginda sabar dan mentaatinya.

Syarat haiwan korban yang pertama iaitu umur minimum; Kambing 1 tahun, lembu 2 tahun, atau unta umurnya 5 tahun (minimum).

Syarat kedua, hendaklah haiwan itu tidak cacat; tidak buta, tidak sakit, tidak pincang, tidak kurus atau lemah.

Syarat ketiga; hendaklah dilakukan pada waktu ditentukan oleh syariat iaitu bermula selepas solat hari raya dan setelah khutbah sehingga sebelum terbenam matahari 13 Zulhijah.

Sabda Nabi, “Hari tasyrik adalah waktu menyembelih korban” (Ahmad). Majoriti termasuk Imam Abu Hanifah, Malik dan pendapat Imam Ahmad yang terkenal mengatakan waktu menyembelih hanya pada 10, 11, 12 Zulhijah.

Antara adab melaksanakan korban; disunnahkan bagi orang yang berkorban memakan daging korbannya. Dianjurkan orang yang berkorban menyembelih sendiri. Namun jika tidak mampu, hendaklah dia menyaksikan haiwan korbannya disembelih.

Disunatkan membahagi daging korban kepada tiga bahagian; satu bahagian dimakan olehnya dan keluarganya, satu bahagian dihadiahkan kepada kaum kerabat, jiran dan sahabat, dan satu bahagian disedekahkan kepada fakir miskin.

Tidak boleh menjualkan sesuatu dari bahagian korban; dagingnya, kulit, lemak dan sebagainya. Disebut dalam hadis, “Barang siapa menjual kulit binatang korbannya, maka tidak ada korban baginya.” (Sahih. Al-Hakim)

Juga tidak boleh memberi penyembelih bahagian korban sebagai upah sebagaimana dijelaskan dalam hadis Ali bin Abi Thalib, “Kami dilarang memberi sesuatu pun dari bahagian korban kepada tukang sembelih (sebagai upah kerana ini termasuk jual
beli).” (Bukhari & Muslim)

Sebahagian ulama mengatakan boleh memberi sebahagian korban kepada orang kafir jika dia fakir, bertujuan untuk melembutkan hatinya supaya mencintai Islam dan mengajaknya kepada Islam.

Apabila masuk bulan Zulhijah, seorang yang ingin berkorban diharamkan memotong rambut, kuku, kulit atau bahagian tubuhnya sehingga haiwannya disembelih.

Firman ALLAH, “Janganlah kamu mencukur (rambut) kepalamu sebelum haiwan korban sampai di tempat penyembelihan.” (Al-Baqarah :196)