MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH berteraskan firman-Nya dan sabda Nabi Muhammad SAW. Apabila diminta sahabat r.a untuk memberikan nasihat, Baginda SAW berpesan: “Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada ALLAH.” (Sahih, Abu Daud)

Baru-baru ini kita digemparkan kejadian Taufan Haiyan yang melanda Filipina dengan kelajuan sehingga 315 km/jam, membawa kematian ribuan orang. Sebahagian manusia apabila berbicara isu ini berdalilkan geografi, fizik dan perubahan cuaca, tanpa menitik beratkan kekuasaan ALLAH SWT.

Sebagai Muslim bertakwa kepada ALLAH, firman-Nya menyatakan, “Itulah Kitab yang tidak ada padanya sebarang keraguan, sebagai petunjuk bagi orang bertakwa, iaitu beriman dengan perkara ghaib.” (Surah Al-Baqarah: 2)

ALLAH memberikan definisi orang bertakwa, iaitu orang beriman dengan perkara ghaib. Berimankah kita mengenai bala bencana yang ALLAH timpakan ke atas manusia datang daripada ketetapan-Nya dan hal ghaib yang tidak boleh ditentukan akal? Bahkan mustahil manusia memberikan penjelasan yang tepat tentangnya kerana ia datang secara langsung daripada ALLAH SWT.

Dalam Surah Al-Ankabut ayat 40, ALLAH SWT menjelaskan bencana itu disebabkan dosa manusia lakukan. ALLAH tidak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri sendiri. Bencana seperti runtuhan, taufan, tsunami dan penyakit, manusia pertama sekali wajib beriman kepada perkara ghaib yang ALLAH tetapkan ini dan bermuhasabah, yakni ia terhasil daripada dosa manusia.

Timbul syubhah golongan sosialis, liberalis, ateis yang mendahulukan akal sebagai hujah dan ilmu sains melebihi al-Quran dan Sunnah. Kata mereka, “Jika segala musibah yang berlaku ini berpunca daripada dosa dan kemaksiatan, mengapa ALLAH SWT juga timpakan bencana di negeri orang soleh, di negara kaum Muslimin?”

Nabi Muhammad SAW pernah disoal isterinya iaitu Zainab binti Jahsy RA, “Ya Rasulullah, adakah kami akan musnah sedangkan ada kalangan kami orang soleh?” Jawab Baginda SAW, “Ya, apabila banyaknya perkara keji (yang tersebar).” (Al-Bukhari & Muslim)

Demikian janji ALLAH, sama ada orang soleh atau pelaku dosa, semuanya akan ditimpakan bencana sekiranya maksiat itu tersebar dan dilakukan secara terbuka. Adapun orang soleh, walaupun di dunia mereka dimusnahkan bersama golongan kuffar dan ahli maksiat, tetapi di akhirat kelak mereka akan dibangkitkan dengan pengampunan dan keredaan ALLAH SWT.

Perkara perlu kita fokuskan adalah bermuhasabah dan mempraktikkan perintah Nabi Muhammad SAW: "Sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, jika dia tidak mampu, ubah dengan lisannya, jika tidak mampu, ingkari perkara tersebut dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Muslim)

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Demi yang jiwa ku berada di tangan-Nya, hendaklah kalian betul-betul memerintahkan kepada kebaikan, dan hendaklah kalian betul-betul melarang dari kemungkaran, atau ALLAH betul-betul akan mengirimkan kepada kalian seksaan daripada-Nya, lalu kalian berdoa kepada-Nya dan Dia tidak akan mengabulkan doa kalian.” (At-Tirmizi)

Walaupun taufan di Filipina itu berlaku akibat perubahan cuaca dan sebagainya, tetapi sebagai beriman kepada ALLAH, kita hayati kisah dalam al-Quran yang ALLAH perintahkan agar jadikan ia sebagai ibrah, seperti kisah kaum ‘Ad ALLAH musnahkan dengan hujan batu dari langit, kaum Nabi Nuh ALLAH tenggelamkan dalam banjir, kaum Tsamud ALLAH musnahkan dengan halilintar, demikian janji ALLAH bagi mereka yang zalim.

Kadangkala manusia melihat kezaliman itu pada orang lain, tetapi tidak pada dirinya. Rakyat melihat pemimpinnya zalim, tetapi tidak melihat dirinya zalim. Pemimpin melihat rakyatnya zalim, tetapi tidak melihat dirinya zalim.

Hal seperti ini adalah kebimbangan yang perlu wujud dalam diri setiap orang yang mengaku dirinya Muslim. Kita mudah melihat kezaliman orang lain tanpa menilai kezaliman sendiri.

Sedangkan ALLAH SWT berfirman secara umum, “Telah zahir kerosakan di darat dan di lautan kerana tangan manusia, supaya ALLAH merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (bertaubat kepada ALLAH).” (Surah Al-Rum: 41).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DUNIA semakin sempit, pantas dan sesak. Manusia berpusu-pusu mencari kemewahan sehingga lupa melihat golongan bawahan. Ada segelintir terlupa tanggungjawab pada agama.
  • BERDASARKAN penelitian nas al-Quran dan As-Sunnah, golongan ulama telah memudahkan umat Islam memahami tauhid dengan mengkategorikannya kepada tiga jenis; iaitu tauhid rububiyah, tauhid uluhiyah, dan tauhid Asma’ wa sifat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.