APABILA Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berserta Adun BN sepakat untuk wujudkan enakmen anti-Syiah, Alhamdulillah orang BN setuju belaka. Yang bantah 9 ahli Dun Pas. Bagaimana hal ini boleh berlaku?

Beza Syiah dengan Ahli Sunnah wal Jamaah bukan perbezaan khilaf isu fiqh sahaja. Bukan isu baca qunut atau tak baca qunut, bukan isu buat tahlil atau tidak, bukan isu talqin atau tidak, yang ini semua hanya khilaf di kalangan mazhab ahli sunnah yang tidak gugurkan akidah pun.

Imam Ahmad anak murid Imam Syafi’i, Imam Syafi’I anak murid Imam Malik, mereka semua adalah Imam ahli sunnah yang kita ambil ilmu dan pandangan daripada mereka.

Sebaliknya perbezaan Syiah dengan kita adalah pada prinsip agama dan pendirian akidah. Perkara yang pisahkan seseorang itu Islam ataupun bukan Islam, sama sekali tidak boleh kita toleransi prinsip dan pegangan agama mereka.

Syiah kafirkan sahabat Nabi. Bukan itu saja, mereka kafirkan sahabat Nabi yang telah dijanjikan syurga oleh Nabi sendiri. Sekarang kita tidak tahu siapa di antara kita yang ahli syurga, tetapi pada zaman Nabi, Baginda sendiri telah tunjukkan siapa di kalangan sahabat Baginda yang dijamin syurga oleh ALLAH SWT. Nabi sendiri sebut melalui lisannya, Nabi sendiri yang tunjuk mereka.

Datang puak Syiah, dengan senang mereka mengatakan Abu Bakar, Omar Al-Khattab, Osman bin Affan, Muawiyah bin Abi Sufyan ahli neraka, na’uzubillah. Syiah menuduh Abu Bakar merancang membunuh Ali bin Abi Talib, menuduh sahabat Nabi menolak wasiat Nabi supaya melantik Ali ra sebagai khalifah. Mereka bohong, Nabi tidak mewasiatkan sedemikian.

Semua celaan dan hinaan atas sahabat Nabi ini terdapat dalam penulisan-penulisan puak-puak Syiah dan kitab karangan ulama-ulama Syiah sendiri. Sedangkan sabda Nabi dalam hadis Irbadh bin Sariyah, “hendaklah kamu lazimi sunnahku dan sunnah Khulafa Al-Rasyidin yang mereka ini diberi petunjuk.” (Sahih, Abu Daud).

Bahkan ALLAH SWT berfirman tentang sahabat Nabi, “Orang-orang terdahulu yang pertama-tama (masuk Islam) di antara Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, ALLAH reda kepada mereka dan mereka reda kepada ALLAH, dan ALLAH menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.” (Al-Taubah: 100)

Sabda Rasulullah, “Janganlah kamu cela sahabatku. Walaupun seorang kamu menginfakkan emas sebesar Uhud pun, tidak akan dapat menandingi sedekah sahabatku sebesar mud dan tidak juga separuhnya.” (Bukhari & Muslim). Sebab itu Imam Al-Syafi’i berkata, “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih kuat bohong daripada (Syiah) Rafidhah.”

Imam Syafi’i, Imam Al-Bukhari memfatwakan haram makan sembelihan Syiah, haram beri salam kepada Syiah, haram menikahi mereka. Mereka lebih dahsyat daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Maknanya ini bukan benda kecil. Ini perkara yang cukup besar.

Semua mazhab dalam Islam sepakat menolak Syiah. Mana mungkin kita berlepas diri dan tidak mahu tolak Syiah? Jika kita marah dikatakan bela Syiah, jadi buktikanlah pendirian kita terhadap Syiah dengan tegas. Tunjukkan kita tidak bela Syiah, tunjukkan kita menolak Syiah.

Kita minta semua pihak, sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang memberi pendirian tegas dalam menyekat usaha penyebaran fahaman Syiah baik melalui poster, iklan-iklan, kempen politik dan sebagainya.

Walaupun kita kata kita tidak boleh halang Syiah sokong parti kita, tapi jangan sama sekali kita benarkan ajaran dan fahaman Syiah yang membawa kepada kesyirikan itu disebarkan.

Saya dan sahabat-sahabat telah kempen anti-Syiah sejak 2007 sejak mula-mula balik Malaysia setelah tamat pengajian. Syiah yang mula-mula kita tentang, kerana kita tahu Syiah akan bawa perpecahan, pergaduhan, dan ajaran-ajaran yang menyelisihi prinsip akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Jadi saya teruja apabila MB Kedah memaklumkan dia akan hentam dan lawan Syiah habis-habisan dan harapkan sokongan daripada semua dalam Dun. Usaha mewujudkan enakmen anti-Syiah sepatutnya disokong penuh oleh orang Islam seluruhnya tanpa mengira parti politik.