Salah satu wasiat Nabi yang penting lagi membuatkan jiwa sahabat-sahabat Baginda bergetar tatkala mendengarnya ialah diriwayatkan Irbadh bin Sariyah. Wasiat Nabi selepas solat Subuh, tatkala baginda menyampaikan beberapa perkataan yang dilihat sahabat-sahabat seperti nasihat terakhir. Mereka meminta Nabi memberikan beberapa kalimah dan wasiat untuk meneruskan kehidupan mereka sebagai hamba ALLAH di atas muka bumi ini.

Kata Nabi, “Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada ALLAH, mendengar dan mentaati pemerintah, sekalipun yang menjadi pemerintah itu adalah hamba ‘abdi Habsyi (yang berkulit hitam). Maka sesungguhnya, sesiapa masih hidup di antara kalian selepasku akan melihat banyak perselisihan, maka berpegang teguhlah dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Pegang erat-erat dan gigit ia dengan gigi geraham kalian. Jauhi setiap perkara yang baru (dalam agama), kerana sesungguhnya yang baru itu adalah bidaah, dan setiap bidaah itu adalah sesat.’” (Sunan Abu Dawud)

Fokus utama dalam hadis ini ialah kembali bertakwa kepada ALLAH, melazimi dan mengikuti petunjuk Nabi pada saat perpecahan dan perselisihan. ALLAH berfirman, “Sesungguhnya ciri-ciri orang beriman, apabila diseru kepada ALLAH dan rasul-NYA untuk berhukum dengannya, maka mereka akan berkata ‘Kami dengar dan kami taat’ dan mereka itulah sebenarnya manusia berjaya. Sesiapa mentaati ALLAH dan Rasul, takut dia kepada ALLAH, bertakwa dia kepada ALLAH, maka itulah sebenarnya orang yang sangat berjaya di atas muka bumi.” (Surah An-Nur, ayat 51-52)

 Ayat al-Quran ini jelas menunjukkan kepada kita betapa tingginya kedudukan orang yang mentaati wahyu dan memuliakan kalam ALLAH serta petunjuk Nabi, yang boleh kita ringkaskan sebagai as-sunnah.

 Mengapa kita katakan wahyu itu adalah as-sunnah dan al-Quran itu juga termasuk sebahagian daripada as-sunnah? Sebagaimana diulas sarjana hadis besar digelar amirul mukminin dalam ilmu hadis, Ibnu Hajar al-Asqalani (wafat 852 H) mendefinisikan sunnah seperti berikut;

“Diertikan dengan sunnah adalah sesuatu yang diriwayatkan daripada Nabi berupa perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat Baginda ataupun ciptaan ALLAH ke atas diri Baginda.”

 Maka apabila Nabi menyampaikan kepada kita al-Quran dan hadis-hadis, kesemuanya diertikan oleh para ulama terdahulu sebagai as-sunnah. Sepertimana diulas panjang oleh Imam Al-Barbahari dalam kitabnya yang agung (Syarhu As-Sunnah) bahawa, “Islam itu adalah as-sunnah, dan sunnah itu adalah al-Islam.”

 ALLAH menyatakan, “Wahai Rasul, sampaikanlah apa telah Tuhan-mu turunkan kepada-mu, jika tidak kamu tidak akan dikategorikan sebagai orang melaksanakan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan ke atas-mu.” (Surah Al-Maidah, ayat 67)
 Oleh itu, apakah tanggungjawab kita kepada wahyu ini? Apakah tanggungjawab kita kepada as-sunnah ini? Tidak lain dan tidak bukan ialah dengar dan taat, mengikuti, menjadikannya sebahagian daripada kehidupan kita. Mencintai dan menyanjungnya lebih tinggi daripada perkataan manusia, daripada perkataan sesiapa pun, daripada ideologi sesiapa pun.

Benarlah firman ALLAH dalam al-Quran, “Tidak layak bagi seorang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila telah datang urusan (ketentuan) daripada ALLAH dan rasul-NYA, mereka memiliki urusan lain.” (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Sewajarnya sebagai seorang yang beriman kepada ALLAH, mencintai Rasul; apabila datang ketentuan daripada ALLAH dan Rasul, dia menerimanya dengan penuh ketaatan dan ketundukan kepada ALLAH serta Rasul.

 Dalam ayat lain ALLAH menegaskan lagi, “Demi Tuhanmu, tidaklah dikategorikan seseorang itu beriman sehingga dia menjadikan engkau wahai Muhammad sebagai petunjuk untuk dia berhukum dengan sesuatu perkara, kemudian dia mengikut petunjukmu, menerima pendapatmu, perkataan-perkataanmu wahai Muhammad tanpa sebarang rasa berat dan dia menerima dengan hati penuh sejahtera.” (Surah An-Nisaa, ayat 65)

 Ini adalah tuntutan agama, ciri-ciri mereka yang mentaati ALLAH dan Rasul. Ini juga merupakan ciri-ciri manusia yang cintakan perpaduan dan benci kepada perpecahan.