• FATHUL BARI FATHUL BARI
1 /

Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis, Maksudnya: “Bertakwalah kamu kepada ALLAH SWT di mana sahaja kamu berada… Dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat Imam Tirmidzi, no 1987)

Dalam hadis ini terdapat beberapa faedah penting perlu kita kongsi dan manfaatkan. Salah satu yang utama adalah akhlak mulia. Sabda Rasulullah SAW, “Berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”

Aisyah r.a ketika didatangi para sahabat yang bertanyakan akhlak Nabi SAW berkata, Maksudnya: “Akhlaknya seperti akhlak al-Quran.” (Riwayat Imam Muslim no. 746)

Di manakah letak duduknya dan kaitan erat antara takwa dan akhlak mulia?. Para sahabat pernah bertanya kepada Nabi, “Apakah amalan paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga?” Jawab Baginda “Takwa & berakhlak mulia.” Kemudian mereka bertanya tentang perlakuan yang banyak memasukkan seseorang ke dalam neraka. Baginda menjawab; ”kejahatan mulut & kemaluan.” (Riwayat Imam At-Tirmidzi)

Bacalah, lihatlah dan hayatilah al-Quran, nescaya kita akan dapati bagaimana Nabi SAW tampilkan akhlak Baginda melalui wahyu ALLAH SWT yang sangat mulia. Anas bin Malik r.a yang telah bersama-sama dengan Nabi sejak berusia 10 tahun, ketika menceritakan akhlak Nabi SAW berkata, Rasulullah SAW tidak pernah mempersoalkan mengapa engkau lakukan begitu dan mengapa tidak begini tetapi Nabi SAW menerima sahaja apa yang dilakukan oleh Anas. Jika tersalah, Nabi SAW menasihati.

Begitu juga kisah Muawiyah Ibn Al-Hakam As-Sulamy apabila beliau menjawab bersin ketika dalam solat bersama Nabi SAW dan para sahabat memandang ke arah beliau, lalu beliau berkata, “celakalah ibu-ibu kalian”. Setelah selesai solat Rasulullah SAW menasihati beliau dengan berkata, “wahai Muawiyah sesungguhnya solat bukan tempat untuk kamu bercakap, tetapi tempat untuk kamu membaca al-Quran dan tempat kamu bertasbih.”

Berkata Muawiyah, “Nabi SAW tidak mencercaku, tidak pernah memarahiku dan memukulku. Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih baik akhlaknya daripada Nabi SAW sebelum Nabi dan selepas Nabi SAW.”

Begitulah sikap Nabi SAW. Begitu juga apabila Nabi melihat seorang Badwi yang membuang air kecil di dalam masjid Nabawi. Para sahabat cuba menerpa dan menghalang lelaki tersebut. Nabi SAW melarang, sebaliknya membiarkan Arab Badwi itu selesai menunaikan hajatnya.

Setelah itu barulah Baginda SAW memanggil Arab badwi tersebut dan menasihatinya, “sesungguhnya masjid bukan tempat menunaikan hajat.” Kemudian Nabi SAW meminta sahabat membawa bekas air lalu Baginda SAW mencurah air tersebut di tempat kotoran tadi.

Lihatlah sikap dan akhlak Baginda SAW. Betapa ALLAH SWT telah memerintahkan kepada Nabi SAW dalam wahyu yang kedua, maksudnya: “Dan penampilan kamu, sucikanlah ia.” (Surah al-Mudathir, ayat 4)

Para ulama tafsir membahaskan bahawa penampilan yang perlu disucikan merujuk kepada dua; pertama, penampilan takwa iaitu penampilan/pakaian takwa itu adalah sebaik-baik pakaian. Kedua, penampilan diri iaitu akhlak, pakaian dan sebagainya.

Nabi SAW sebelum diutuskan lagi dikenali sebagai seorang yang dimuliakan, bahkan digelar sebagai al-amin. Apatah lagi apabila Baginda dilantik menjadi Nabi dan Rasul. Syaikh Khumais As-Sa’id menjelaskan kepentingan adab dan akhlak mulia dalam masyarakat:

“Apabila berbicara tentang pemikiran, kita akan dapati banyaknya perbezaan sesuai dengan perbezaan sumber dan cara memahaminya. Ketika berbicara tentang permasalahan fikah, kita cenderung tenggelam dalam perbezaan mazhab fikah, dan kita banyak berbeza dalam hal yang rajah (pendapat yang kuat) dam marjuh (pendapat yang lemah), pendapat yang muktabar (dianggap sah) dan yang tidak muktabar.

Begitu juga tatkala memerikan masalah akidah, maka pasti tidak akan terlepas daripada perbicaraan kelompok-kelompok, agama, keyakinan, kefasikan, pembid’ahan, atau pengkafiran.

Akan tetapi saat kita mengupas tentang adab dan akhlak, hampir semua akal manusia sepakat mana yang dianggap sebagai akhlak baik, dan mana dianggap akhlak buruk. Ruang perbezaan yang ada sangat kecil, baik dalam kalangan umat Islam sendiri ataupun interaksi dengan orang bukan Islam.

Orang paling mencintaimu akan lari saat kamu berhati batu. Manakala orang yang paling membencimu pasti akan berhukum kepadamu saat kamu bersikap jujur dan terpercaya.” (Lihat: Beginilah Rasulullah Mengajari Kami, oleh Syaikh Khumais Sa’id, ms. 40, Darus Sunnah, Jakarta, cet. 2, 2008).