AL-Quran merupakan kitab panduan untuk seluruh manusia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan Kami turunkan kepada mu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya iaitu kitab-kitab yang diturunkan (kepada Rasul) sebelumnya dan menjaganya; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang ALLAH turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepada mu.” (Surah Al-Maidah: 48)

Bagaimana pula dengan kalimah ALLAH? Baru-baru ini kedengaran ucapan yang mengatakan ‘kalimah ALLAH untuk semua’. Adakah dakwaan ini boleh diterima? Mereka berdalilkan firman ALLAH, “Dan jika engkau bertanya kepada mereka siapakah yang telah mencipta langit dan bumi mereka akan berkata ALLAH.” (Surah Luqman: 25)

Masyarakat Arab Jahiliah dulu mengenali ALLAH sesuai dengan Rububiyah-Nya; mereka percaya ALLAH adalah pencipta seluruh alam, pengatur dan pentadbir serta pemberi rezeki dan yang menurunkan hujan. Yang menjadikan mereka tidak beriman adalah kerana mereka menolak tauhid Uluhiyah; mereka menyekutukan ALLAH dalam ibadah, dan enggan bersaksi akan kerasulan Muhammad SAW.

Pemahaman masyarakat Kristian hari ini tidak meletakkan maksud kalimah ALLAH pada tempat yang benar, malah meletakkannya pada kedudukan makhluk. Mereka tidak beriman pada Tauhid Rububiyah dan jauh sekali pada Uluhiyah dan Asma wa Sifat-Nya.

Tujuan mereka menginginkan kalimah itu bukan untuk mengagungkan ALLAH dan meletakkan ALLAH pada tempat yang layak bagi-Nya. Kita tidak bersetuju kerana nama ALLAH yang suci itu disalahgunakan dan diletakkan pada tempat yang tidak layak bagi ALLAH, seperti pada patung dan dibawa ke tempat tidak sepatutnya.

Pemimpin harus bijaksana untuk menyekat keburukan daripada terus berkembang. Dalam Islam ada satu kaedah dinamakan ‘Saddu Li Al-Zari’ah’ iaitu menutup jalan yang membawa kepada kemungkaran. Kaedah ini harus diaplikasikan termasuk ketika membincangkan isu ini. Usah kita lihat negara luar tetapi lihat keadaan dan realiti masyarakat negara kita.

Kita perlu muhasabah dan insaf akan keadaan masyarakat Islam di negara ini yang masih dipengaruhi dengan suatu yang tidak ada dalam al-Quran mahupun Hadis, percaya pada khurafat dan syirik. Kita juga harus akui al-Quran masih asing dalam kalangan mereka, jauh sekali mereka menghafal dan memahami isinya.

Ada yang membandingkan dengan Sabah Sarawak dalam penggunaan kalimah ALLAH di dalam Bible mereka. Kaedah dalam syariat menyebut, ‘Apa yang tidak dapat dilakukan secara keseluruhan, jangan ditinggalkan semuanya’.

Kita mungkin tidak boleh mengubah keadaan di sana kerana mengira faktor sensitiviti mengenangkan majoriti masyarakat di Sabah Sarawak beragama Kristian dan mereka telah lama menggunakannya.

Berbeza di Semenanjung, penganut Kristian bukan majoriti dan mereka tidak memerlukan Bible Melayu. Jika tanpa sekatan, ia akan membawa sekurang-kurangnya dua kerosakan, iaitu Kristianisasi dan Pluralisme.

Walaupun masyarakat Islam di negara ini sudah cerdik belaka namun, ada kebarangkalian besar ramai yang menganggap semua agama sama kerana percaya kepada ALLAH, menyembah ALLAH. Ini adalah pluralisme agama yang menyetarakan Islam dengan agama lain, dan ini adalah sebentuk kekufuran.

Doktrin pluralisme ini disebarkan ke serata dunia bahkan telah masuk dan berkembang di Malaysia melalui pelbagai medium tanpa kita sedari. Kalau kita dengar ucapan seperti “Semua agama sama, semua agama mengajar kebaikan”, “kita tak boleh kata agama kita saja betul, yang lain salah”, berhati-hatilah.

Jangan sampai kita mengiakan juga. Jika dibandingkan kerosakan fizikal dan kerosakan akidah, sudah tentu kerosakan akidah lebih serius dan perlu ditutup segala jalan yang mengarah kepadanya. Maka langkah menyekat adalah keputusan  terbaik untuk mengelak kerosakan akidah kaum Muslimin di negara ini secara khususnya.