Bersyukur kepada ALLAH SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat sama-sama kita menjalani ibadah sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan ini dan insya-ALLAH kita akan menyambut hari lebaran Idul Fitri dalam beberapa hari lagi.

Lebaran yang dianugerahkan oleh ALLAH kepada seluruh umat Islam, di mana apabila Nabi SAW tiba di Madinah al-Munawwarah, Baginda melihat golongan Ansar bergembira dan menyambut dua hari raya.

Dua hari raya mereka itu dipersoalkan oleh Nabi SAW. Baginda bertanya, mengapa kamu bergembira dengan dua hari itu? Kata mereka, ini adalah dua hari yang mana nenek moyang kami bergembira dan menyambutnya. Hari yang dimaksudkan adalah hari perayaan kaum Majusi kuno iaitu Nairuz dan Mahrajan.

Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan untuk kalian dua hari yang lebih mulia dari dua hari itu iaitu Hari Raya Korban (Idul Adha) dan Hari Raya Fitrah (Idul Fitri).” (Sahih. Riwayat Ahmad).

Maka pada kedua-dua hari ini, umat Islam dituntut untuk bergembira. Jadi perlu kita pastikan kaedah perlaksanaan kegembiraan itu disesuaikan dengan perintah ALLAH dan RasulNya.

Pertama, ALLAH nyatakan dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 185, “Dan hendaklah kamu sempurnakan hari-hari itu (hari berpuasa) dan hendaklah kamu bertakbir kepada ALLAH  atas petunjuk yang diberi kepadamu agar kamu tergolong di kalangan orang  bersyukur.” (Surah al-Baqarah, 2: 185)

Dari ayat ini, dapat kita fahami bahawa kaedah bergembira pada hari raya ini bukanlah dengan nyanyian, sebaliknya dengan bertakbir, mengucapkan lafaz-lafaz membesarkan dan memuji ALLAH.

Lafaz-lafaz ini diajar oleh para sahabat dalam beberapa lafaz, antaranya: lafaz takbir diajar oleh Ibnu Abbas: “Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahil Hamd, Allahu Akbar wa Ajallu, Allahu Akbar ‘ala ma Hadaanaa.” (Sahih. Riwayat Al-Baihaqi)

Kedua, sunnah Nabi SAW pada pagi hari raya fitrah adalah Baginda menunaikan zakat fitrah sebelum solat hari raya. Ini adalah tuntutan Islam yang juga  sunnah Nabi SAW. Bukan kita mengatakan tidak boleh mengeluarkan zakat fitrah awal, tetapi tuntutan sunnah lebih afdhal.

Ketiga, menyiapkan diri dalam erti kata mandi tanpa ada lafaz niat tertentu, kemudian memakai wangi-wangian bagi lelaki dan memakai pakaian terbaik yang kita miliki. Baginda tidak mengatakan supaya memakai pakaian baru, tetapi  memakai pakaian yang terbaik.

Keempat,  kita dituntut makan terlebih dahulu sebelum keluar  solat hari raya. Berbeza dengan Hari Raya Korban di mana kita dituntut makan selepas pulang dari solat, makan daripada sembelihan kita sendiri.

Setelah makan, Nabi SAW berjalan menuju ke musolla yakni tanah lapang tempat diadakan solat hari raya. Dalam perjalanan itu Baginda bertakbir. Jadi kita perlu bermuhasabah, kadangkala kita lalai dan memperdengarkan kepada keluarga kita lagu raya.

Sedangkan hari raya adalah masanya kita dituntut memperbanyakkan takbir mengagungkan ALLAH. Daripada Ummu Athiyah. dia berkata, Rasulullah SAW memerintahkan kami keluar pada Idul Fitri dan Idul Adha, baik wanita yang baru baligh, wanita haid, mahupun gadis yang dipingit.

Adapun wanita haid, mereka memisahkan diri dari tempat pelaksanaan solat dan mereka menyaksikan kebaikan serta dakwah kaum Muslimin. Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, seorang daripada kami tidak memiliki jilbab.’ Baginda bersabda, ‘Hendaklah saudarinya meminjamkan jilbab kepadanya.  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selesai solat hari raya, Nabi SAW akan berkhutbah, bukan seperti khutbah Jumaat tetapi lebih berbentuk nasihat kepada kaum Muslimin agar bersyukur dan memuji ALLAH.
Maka dengan itu selesailah sunnah-sunnah di pagi raya.

Adapun amalan masyarakat memohon kemaafan dan sebagainya, itu hanyalah adat masyarakat kita. Dalam Islam, apabila melakukan kesalahan kita dituntut cepat-cepat memohon kemaafan, jangan ditunda-tunda kerana kita tidak tahu bilakah kita akan mati, jangan ditunda sehingga hari raya.

Demikianlah sunnah Rasulullah SAW  boleh kita praktikkan demi merealisasikan firman ALLAH yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu sempurnakan hari-hari itu (hari berpuasa) dan hendaklah kamu bertakbir kepada ALLAH (membesarkan ALLAH) atas petunjuk yang diberi kepadamu agar kamu tergolong di kalangan orang yang bersyukur.” (Surah al-Baqarah, 2: 185)


* Dr Fatul Bari ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuwan Malaysia