Firman ALLAH SWT dalam surah Al-A’la, “Berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat; ia akan mengingatkan orang yang takut (kepada ALLAH), dan orang yang celaka akan menjauhinya, (iaitu) orang yang akan memasuki api yang besar (Neraka).” (Al-A’la: 9-12)

Nabi SAW apabila diminta nasihat, perkara pertama yang Baginda wasiatkan adalah takwa kepada ALLAH SWT. Diriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah, sabda Nabi,

“Aku wasiatkan kepada kalian bertakwa kepada ALLAH, dengar dan taat kepada pemimpin walau yang memimpin adalah hamba Habsyah. Sesiapa yang hidup selepas kewafatanku akan melihat perselisihan yang banyak. Hendaklah kalian berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa Al-Rasyidin yang diberi petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham. Jauhilah baru (dalam agama) kerana setiap baru adalah bidaah dan setiap bidaah adalah kesesatan”. (Sahih. Al-Tirmizi)

Ini wasiat yang diberi Nabi apabila diminta. Hadis ini sangat banyak faedahnya, antaranya sunnah meminta nasihat dan wajib memberi nasihat apabila diminta. Para sahabat sangat khusyuk dan menanti perkataan dan nasihat daripada Nabi. Sedang kita pada hari ini, apabila dibacakan hadis Nabi, ada yang tidak berasa apa-apa yang menyentuh jiwanya.

Sabda Nabi, “Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain enam; bila bertemu ucapkanlah salam; bila dia memanggilmu penuhilah; bila dia meminta nasihat maka hendaklah kamu beri nasihat; bila dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah bacalah yarhamukallah (semoga ALLAH memberikan rahmat kepadamu); bila dia sakit jenguklah; dan bila dia meninggal dunia hantarkanlah (jenazahnya)”. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan pensyariatan meminta nasihat. Jangan malu minta nasihat. Para sahabat meminta nasihat daripada Nabi. Orang diminta nasihat pula wajib memberi seperti mana diperintahkan, “Apabila seorang Muslim meminta nasihat daripadamu, hendaklah kamu memberi nasihat.” Ini tanggungjawab seorang Muslim atas Muslim yang lain.

Perkataan takwa acap kali disebut, tetapi adakah konsep takwa ini dipraktikkan? Ciri-ciri orang bertakwa dijelaskan di permulaan al-Quran lagi,

“Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib, mendirikan solat dan menunaikan zakat (Al-Baqarah: 2-3)

Itu antara ciri penting orang bertakwa, kembali kepada asas yang mula-mula ALLAH sebut iaitu beriman kepada perkara ghaib. Kata Nabi SAW,

“Barang siapa beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, jangan dia menyakiti jirannya.” Kata baginda lagi, “Barang siapa beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.” Kata Baginda lagi, “Barang siapa beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau berdiam diri.”

Tiga kali Nabi menyebut perkataan yang sama; “Beriman dengan ALLAH dan hari akhirat”. Ini termasuk beriman dengan perkara ghaib. ALLAH SWT dan hari akhirat adalah ghaib, yang kita belum nampak. Orang bertakwa meninggalkan segala maksiat dan mentaati segala perintah ALLAH kerana mereka beriman kepada ALLAH dan beriman bahawa di sana ada hari pembalasan.

Wasiat takwa bukan kecil, wasiat takwa ini sangat besar bagi orang  yang memahami erti takwa. Saya pernah bertanya mufti Saudi Syaikh Abdul Aziz Alu Syaikh, saya mendekatinya selepas solat Asar dan meminta nasihat. Kata beliau, “Aku wasiatkan kamu agar bertakwa kepada ALLAH. Wallahua’lam.” Itu sahaja. Saya bertanya adakah sedikit ini sahaja nasihatnya? Dia kata, “Ya. Adakah yang lebih besar daripada takwa kepada ALLAH SWT?

Perkataan takwa ini lengkap dan sempurna. Kalau hendak bertakwa kepada ALLAH kita perlu menuntut ilmu, beramal dengan ilmu, perlu faham akan ilmu baru kita boleh bertakwa.

Maka untuk mencapai takwa kepada Allah, sibukkan diri dengan ilmu. Dengan menyibukkan diri dengan ilmu, kita akan beramal dan mempraktikkan agama dalam kehidupan harian. Mana mungkin kita beramal tanpa ilmu.

Nabi menyatakan, “hendaklah kamu melazimi sunnahku dan Sunnah Khulafa Al-Rasyidin”, bererti Nabi mewasiatkan kepada kita berpegang teguh dengan manhaj Salaf, merujuk tiga generasi pertama Islam; Nabi dan para sahabat, generasi selepasnya (Tabi’in) dan generasi selepasnya yang mengikuti mereka.