SAYA sudah lawati banyak negara, tetapi ia tidak boleh menandingi kepuasan menziarahi rakan-rakan walaupun ia hanya di dalam negara sendiri.

Di negara luar, anda mungkin melihat tempat-tempat menarik, tetapi perasaan menziarahi rakan-rakan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Melihat sahabat-sahabat, anda menginsafi keadaan diri anda sendiri, apa lagi mereka yang anda ziarahi sudah lebih 40 tahun tidak ditemui.

Empat puluh tahun lalu, kulit masih tegang, rambut masih hitam, badan masih tegap dan penglihatan masih tajam, tetapi 40 tahun kemudian, semuanya berubah. Kulit sudah kendur, sudah banyak uban, badan cepat letih dan penglihatan mulai kabur.

Lebih mengharukan apabila anda dapati rakan-rakan yang anda tidak temui lebih 40 tahun masih setia dengan anda. Mereka tidak sabar-sabar menanti anda, berpeluk-peluk dan menyiapkan juadah terbaik untuk meraikan anda. Mereka seolah-olah bukan sahabat lagi; sudah seperti anggota keluarga sendiri.

Dalam usia persaraan apa lagi yang anda mahu kecuali kehidupan yang sejahtera, anggota keluarga yang menyejukkan mata dan rakan-rakan yang setia dan sehala.

Lawatan yang kami - kumpulan tujuh orang - bermula tidak lama selepas majlis perjumpaan semula pegawai dan anggota Jabatan Keselamatan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dianjurkan pada 2 Ogos 2015, saya bersama enam sahabat sebaya sudah menziarahi lebih 40 bekas rakan sejabatan di seluruh semenanjung.

Betullah kata orang, apa yang kadang-kadang bermula sebagai hobi akhirnya berkembang menjadi iltizam sepanjang hayat.

Dengan sebuah van, kami ziarah seorang demi seorang rakan lama di rumah mereka melalui apa yang kami sebut sebagai ‘Kembara’.

Setakat ini, melalui empat kembara, kami sudah ziarah kawan-kawan yang sihat dan kurang sihat di semua negeri, kecuali Kelantan kerana tiada lagi rakan sepasukan di sana.

Tak tahulah setakat mana kami mampu teruskan kerana dalam Pasukan Keselamatan di Lembaga Pelabuhan Klang sahaja, kami ada hampir 400 rakan yang sudah masuk usia persaraan dan tinggal merata-rata.

Dalam suasana begini, teringat saya kepada kata-kata nasihat yang antaranya menyebut: “Apabila anda tua, rebut setiap peluang untuk bersama rakan-rakan lama, kawan sekolah dan rakan sekerja kerana peluang itu akan berkurangan dari semasa ke semasa. Air yang mengalir ke hilir tidak balik ke hulu. Begitulah dengan kehidupan.”

Saya teringat kata-kata: “Sahabat adalah umpama bintang. Walau berjuta batu jauh dari bumi tetap bercahaya. Meskipun kadang-kadang menghilang, dia tetap ada. Dia tidak mungkin dimiliki, tapi tidak dapat dilupakan kerana sahabat yang baik sentiasa ada dalam hati dan dalam kenangan.”

Ada sebuah kata-kata nasihat yang agak lucu tetapi tajam maknanya: “Cari kawan biar macam cermin. Kita gembira dia gembira, kita sedih dia turut sedih. Jangan cari kawan macam duit syiling, depan lain belakang lain.”

Akhir kalam, marilah hayati sebuah hadis: “Ada tujuh golongan bakal dinaungi ALLAH pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya, iaitu pemimpin yang adil; orang muda yang selalu beribadah; seseorang yang hatinya bergantung kepada masjid; dua orang yang saling mengasihi di jalan ALLAH, yang berkumpul dan berpisah kerana ALLAH; seseorang yang, apabila diajak wanita berkedudukan dan cantik (untuk berzina), mengatakan: “Aku takut kepada ALLAH”; seseorang yang tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberi oleh tangan kanannya; dan seseorang yang berzikir (mengingati) ALLAH bersendirian, hingga menitis air matanya.”