SAYA sungguh rasa bingung  - bagaimana kes-kes buli boleh terus berleluasa walaupun amaran sentiasa diberi dan tindakan selalu diambil pihak berkaitan.

Terfikir juga apakah ia berpunca daripada sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak atau pihak sekolah yang tidak memberi perhatian serius atau pengaruh filem berkaitan keganasan dan gengster yang banyak ditayangkan di pawagam serta televisyen atau pihak berkuasa tidak memberi tekanan secara serius?

Apa pun puncanya, bagi saya, adalah sangat ketara kes-kes buli dan dera menjadi-jadi di sekolah dan kolej di seluruh negara ini di kebelakangan ini.

Kes-kes yang berlaku dalam setahun dua ini bukan kecil-kecil kerana ada yang sampai menyebabkan kecederaan teruk, malah kematian.

Kalau pun tidak cedera, kejadian itu mengakibatkan sebahagian daripada mangsa buli menjadi trauma dan takut pergi sekolah hingga menjejaskan mutu pelajaran mereka.

Sebab itu saya setuju sangat dengan saranan mana-mana pihak supaya pelajar yang didapati bersalah kerana membuli dibuang sekolah sahaja untuk mengekang kejadian begini daripada terus berleluasa.

Tindakan tanpa bertolak ansur seperti ini perlu digerakkan dan dijalankan secara konsisten oleh kerajaan dan pihak-pihak yang diberi tanggungjawab bagi menangani kes buli secara berkesan.

Harap-harap lebih banyak pihak ikut contoh sebuah jawatankuasa rayuan maktab yang, dua bulan lalu, memutuskan 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak, yang digantung sekolah kerana terbukti  membuli enam pelajar, ditamatkan pengajian di MRSM berkenaan selepas diberi peluang membela diri.

Perlu disebut juga tiga hari lalu Mahkamah Majistret Kuala Terengganu membenarkan tempoh tahanan reman terhadap 26 suspek kes buli di sebuah kolej vokasional disambung tiga hari lagi bagi membantu siasatan berhubung dua kes buli yang melibatkan tiga mangsa.

Hanya tindakan tegas begini dapat menakutkan bukan sahaja pelajar daripada bertindak samseng, membuli pelajar lain, bahkan ibu bapa dan penjaga yang memanjakan anak-anak mereka secara keterlaluan hingga berani bertindak seperti gengster di dalam dan di luar kawasan sekolah.

Semua pihak berkaitan perlu juga bertindak tegas tanpa kompromi dalam kes buli supaya pelajar yang berlagak samseng tidak naik tocang dan bermaharajalela.

Perlu disebut di sini, guru-guru juga perlu mengawal pendekatan mereka supaya tindakan mereka tidak menjadi keterlaluan dalam menguatkuasakan disiplin terhadap murid-murid.

Untuk itu, segala peraturan dan undang-undang yang ada berkaitan dengan kes-kes buli dan dera mesti dikuatkuasakan dengan tegas dan kiranya-tidak cukup berkesan, perlu dipinda untuk meningkatkan keberkesanannya.

Selagi peraturan yang dibuat dan tindakan yang diambil hanya sekadar untuk ‘cukupkan syarat’, selagi itu kes-kes buli dan dera di sekolah, terutama di kalangan pelajar sendiri, tidak akan dapat ditangani dengan berkesan.

Ibu bapa juga perlu diingatkan jangan memanjakan anak-anak dari segi perlakuan di sekolah dan memantau pergerakan mereka supaya mereka tidak menjadi samseng.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, pelajar pada masa ini lebih dimanjakan berbanding pelajar  di masa lalu.

Apabila diambil tindakan disiplin oleh guru, katanya, ada dalam kalangan mereka mengadu kepada ibu bapa.

Keadaan menjadi buruk apabila ada ibu bapa yang bertindak pergi ke sekolah dan memarahi guru berkenaan, malah ada yang mengambil tindakan undang-undang.

“Kita patutnya bekerjasama dalam usaha memantau disiplin anak-anak kita. Apa yang dilakukan oleh polis dan guru adalah untuk kebaikan murid-murid juga,” beliau disebut sebagai berkata oleh The Star, Jumaat lalu.  

Kalau ikut statistik polis, keadaan kes-kes jenayah melibatkan juvenil agak tinggi.

Tahun lalu mencatatkan lebih 7,000 kes jenayah indeks melibatkan juvenil, berbanding lebih 10,000 kes pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, peratusan murid terlibat dalam salah laku buli yang direkodkan sistem sahsiah diri murid bagi tempoh 2012 hingga 2016 adalah terkawal dengan trend menurun daripada 0.08 peratus kepada 0.06 peratus.

Menurut statistik Kementerian Pendidikan, dalam tempoh Januari hingga Jun 2017, 0.02 peratus murid terlibat dalam gejala tersebut.

Di Sabah hanya 0.019 peratus murid terlibat pada 2016 dan 0.003 peratus pada pertengahan 2017.

“Berdasarkan rekod sistem pengurusan isu disiplin dan pendidikan, tiada kes melibatkan kematian akibat perbuatan buli dalam kawasan sekolah sepanjang tempoh 2012 hingga sekarang,” kata Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, baru-baru ini.

Walaupun menurun, ia masih memerlukan perhatian serius daripada semua pihak berkaitan, termasuk sekolah, guru, ibu bapa, persatuan ibu bapa dan guru, badan bukan kerajaan, kementerian dan pihak berkuasa.