AGAK terlalu awal untuk mengetahui sama ada ia realiti atau persepsi.

Tetapi rata-rata kita dengar cerita seolah-olah di Malaysia sudah tiada masalah lagi sekarang, terutama dari segi harga.

Pasar basah, pasar malam, gerai, medan selera dan pusat beli-belah katanya dibanjiri pelanggan.

Dengarnya banyak kedai barang dan makanan sudah mula turunkan harga pun.

Begitu juga dengan harga minyak hitam dan alat-alat ganti kenderaan.

Saya tak pasti sama ada ia betul atau tidak. Bukankah ini bulan puasa yang tidak jauh daripada hari raya?

Tidakkah memang begini setiap kali Ramadan?

Ramai kawan kaitkannya dengan landskap politik tanah air selepas pertukaran kerajaan yang berlaku pada 9 Mei lalu.

“Dulu ramai juga orang datang ke pasar ini, tapi sejak Pakatan Harapan menang PRU14, lebih ramai datang,” kata Jo yang berniaga di sebuah pasar Shah Alam.

Dia percaya peningkatan pelanggan di pasar itu disebabkan keghairahan dan keselesaan mereka untuk berbelanja.

Tidaklah diketahui apakah Jo, seperti mereka yang sependapat dengannya, tidak mengambil kira bahawa Selangor memang sudah pun di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (yang kini wujud atas nama Pakatan Harapan) sejak sedekad lalu.

Jo ialah seorang bekas askar yang menjadi peniaga di pasar selepas bersara kira-kira 20 tahun lalu.

Dia dahulu penyokong kuat kerajaan BN, tetapi menukar haluan disebabkan cerita-cerita yang dikaitkan dengan rasuah, ketirisan, salah guna kuasa, kurang komitmen dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dan sebagainya.

“Sekarang apa lagi saya nak kompelin... ok lah!,” katanya.

Seperti Jo, Ali, seorang bekas kakitangan kerajaan, turut merasai suasana keselesaan dalam kalangan rakyat.

Dia juga turut mengikuti usaha kerajaan baharu menunaikan janji-janji yang dibuat dalam kempen PRU dan melalui manifestonya.

“Dia kata nak ganti GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dengan SST (cukai jualan dan perkhidmatan), nak bagi balik subsidi bahan bakar dan hapuskan tol. Kita harap usaha begini diteruskan,” katanya.

Suasana yang sama dirasai di tempat-tempat lain.

Hasan, seorang peniaga di Langkawi, di mana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad jadi Ahli Parlimen, merasa mood peniaga dan pengguna di pulau itu lebih positif sejak kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negara.

“Peniaga di sini sudah tidak banyak mengeluh tentang tekanan hidup.

Masing-masing bersyukur dan berharap ekonomi akan pulih seperti semasa Tun pertama kali jadi PM dulu,” katanya.

Keputusan kerajaan menurunkan kadar 6 peratus GST yang ada sekarang kepada 0 peratus bermula 1 Jun depan melegakan peniaga dan pengguna.

“Saya pun ikut atur strategi perniagaan dan harap potongan kadar GST ini mengurangkan kos hidup peniaga macam kami,” katanya.

Sebenarnya, sedar atau tidak, ramai peniaga sudah secara sukarela tidak lagi mengutip GST.

Keghairahan, kemeriahan dan keyakinan begini sudah dirasai kini.

Penjual barang makanan, pakaian, alat elektronik, malah kereta sudah mula menurunkan harga.

Bayangkan suasana yang akan wujud apabila GST diturunkan daripada 6 peratus kepada 0 peratus mulai 1 Jun.

Bank Negara sendiri telah meramalkan harga barang dan perkhidmatan turun selepas kadar 0 peratus itu dikuatkuasakan.

Gabenornya, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata semua pihak berkaitan perlu pastikan perniagaan memberi manfaat kepada rakyat secara meluas.

Saya percaya ramai, termasuk saya, tidak sabar menunggu harga roti canai dan teh tarik turun 40 sen di semenanjung, Sabah dan Sarawak, kalau pun tidak boleh lebih, menjelang 1 Jun ini. Insya-ALLAH!