SETIAP kali isu keselamatan di jalan raya dan kelajuan bas ekspres timbul, saya  nasihatkan sanak-saudara dan kawan-kawan supaya mengelak naik bas ekspres pada waktu malam.

Saya berbuat demikian kerana daripada penelitian saya, waktu antara tengah malam dan awal pagi paling banyak kemalangan melibatkan bas ekspres berlaku.

Kita tidak perlu buat kajian atau membentuk jawatankuasa siasatan untuk memahami secara mudah kenapa waktu ini paling banyak berlaku kemalangan teruk melibatkan bas ekspres.

Pertama, waktu antara tengah malam dan awal pagilah masa yang paling banyak ruang dan peluang bagi segelintir pemandu yang tidak beretika dan yang tidak pedulikan nyawa dan keselamatan orang lain memecut bas seperti pelesit kerana waktu itu tidak banyak kenderaan di lebuh raya.

Kedua, waktu itulah juga segelintir pemandu memandu laju walaupun dalam keadaan mengantuk.

Saya tidak berani menyebut tentang pengambilan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan di jalan raya kerana tidak mempunyai banyak akta tentang kes demikian.

Apa pun, kemungkinan itu perlu diberi perhatian kerana tabiat memandu dengan laju, apa lagi kalau dalam keadaan mengantuk dan dipengaruhi dadah, ia meletakkan nyawa dan keselamatan ramai penumpang dalam bahaya di samping menjejaskan kehidupan anggota keluarga yang bergantung kepada mereka.

Tanyalah kepada pengguna jalan raya. Ramai yang boleh menceritakan bagaimana kenderaan mereka dihimpit dan ditakutkan oleh pemandu kenderaan berat.

Ramai pemandu kita boleh menceritakan bagaimana segelintir pemandu kenderaan berat ini memandu rapat di belakang mereka dan mengelap-ngelipkan lampu serta membunyikan hon supaya kenderaan di depan memberi jalan kepada mereka.

Siapa boleh nafikan bahawa lebuh raya kita yang luas itu adalah kawasan paling sesuai untuk segelintir pemandu kenderaan dan penunggang motosikal menguji kelajuan, menunjuk lagak dan berlumba.  

  Berdasarkan itu, saya rasa sebarang cadangan untuk meningkatkan had laju dari 110 kilometer sejam (ksj) kepada 130 ksj di lebuh raya kita patut dilupakan sahaja buat masa ini.

Saya dengan rendah hati mengusulkan supaya pihak berkaitan tidak membuang duit dan masa menjalankan kajian sama ada had kelajuan di jalan raya dan di lebuh raya negara kita patut ditingkatkan atau tidak. Malah, saya cadangkan supaya had kelajuan kenderaan di jalan raya dan lebuh raya kita dikurangkan.

Biarlah orang marah pada saya. Yang penting keselamatan pengguna-pengguna jalan terjamin dan nyawa tidak hilang dengan banyaknya akibat pemandu pelesit yang cenderung kepada memandu dengan laju.

Apakah masih ada pihak yang mahu nafikan bahawa kemalangan jalan raya adalah pembunuh paling besar di negara kita sejak beberapa tahun lalu?

Statistik Kementerian Pengangkutan menyebut, tahun lalu sahaja, 521,466 kemalangan jalan raya dilaporkan dengan kematian 7,152 orang. Itu tidak termasuk entah berapa puluh ribu yang cedera. Kemalangan jalan raya di Malaysia melibatkan kos kira-kira RM9.21 bilion.

Dengan had kelajuan 110 ksj di lebuh raya kita hari ini pun kita masih boleh lihat kenderaan yang memecut dengan begitu laju. Kenderaan berat seperti bas dan lori ditetapkan dengan had kelajuan 90 ksj, tetapi pembaca budiman boleh lihat sendiri bagaimana segelintir pemandu kenderaan berat ini memandu.

Bukan sahaja mereka memandu lebih dari had laju, bahkan memotong tanpa mempedulikan bahaya yang ke atas orang lain. 

Sepatutnya kita bersyukur mendapat peluang menggunakan jalan raya dan lebuh raya yang antara terbaik di rantau ini. Tetapi sayang seribu kali sayang, jalan raya dan lebuh raya yang baik itulah  menjadi pembunuh terbesar di negara ini. 

Dengan tabiat buruk yang tidak endahkan peraturan di lebuh raya seperti itu, dataran jalan yang berkualiti tinggi pun tidak akan mampu mengelak kemalangan teruk yang boleh meragut nyawa.

Semuanya kerana - seperti yang kerap kita dengar - kemudahan kelas pertama disalah guna oleh segelintir pengguna yang mempunyai mentaliti kelas ketiga, yang pentingkan diri mereka sendiri  dan tidak langsung pedulikan keselamatan orang lain.

Dengan tabiat buruk dan sikap tidak baik, kemudahan yang paling canggih dengan kenderaan yang hebat pun tidak boleh membantu mengelak kemalangan, kecederaan dan kehilangan nyawa.

Sebab itu, pada saya, bukan sahaja had laju yang sedia ada tidak patut ditingkatkan, malah sistem pengawalan yang lebih berkesan perlu dikuatkuasakan.

Lakukan demikian segera sebelum segelintir pemandu pelesit ini, terutama bas ekspres yang selalunya membawa ramai penumpang, mengakibatkan lebih banyak kemalangan dan meragut lebih banyak nyawa tidak berdosa.