PEMBACA budiman tidak perlu menjadi penyiasat yang hebat untuk mengetahui keadaan terkini di banyak kawasan flat di seluruh negara.

Lawatan singkat rasanya sudah memadai untuk kita lihat dengan jelas betapa banyak - kalau pun bukan kebanyakan - kawasan flat berada dalam keadaan yang sangat menyedih lagi membimbangkan.

Hanya beberapa hari lepas saya mengambil peluang menghadiri mesyuarat perbadanan pengurusan (MC) sebuah flat di Klang untuk mendengar luahan wakil MC dan penghuni mengenai sikap sebilangan penduduk dan pelawat terhadap kebersihan dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa dan langkah-langkah perlu diambil.

Kebetulan saya pernah ditugaskan menubuhkan dan berurusan dengan wakil-wakil badan pengurusan bersama (JMB) dan MC ketika di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sembilan tahun lalu.

Jadi, fahamlah saya kerumitan dihadapi mereka yang mengambil tanggungjawab secara sukarela menguruskan kerja JMB dan MC.

Di flat yang saya hadir baru-baru ini itu keadaannya tidaklah teruk sangat. Namun, ada kira-kira 20 kereta dan entah berapa puluh motosikal tersadai, jalan berlubang dan sampah bersepah, termasuk di koridor.

Ada kawasan flat di tempat lain yang pernah saya lawat, termasuk di luar Selangor, bukan sahaja menyedihkan, bahkan menakutkan.

Sebut sahaja apa yang tidak ada; tikus? nyamuk? unggas? tembok retak berlumut? kekotoran? dinding diconteng atau disembah cat, kemudahan dirosakkan dan kereta serta motosikal buruk tersadai?

Sampah jangan cakap lagilah!

Ada unit kosong yang kotor dengan pintu dan perabut usang  yang pecah. Kalau lama sedikit disiasat, entah-entah boleh bertembung dengan ular dan biawak. Wallahuaklam!

Pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan sudah pun membuat siasatan di kawasan-kawasan flat di merata tempat di negara ini sejak bertahun-tahun dan jarang yang dapat memberi gambaran yang memuaskan hati dan melegakan.

Banyak kes yang disiasat dan dipandang berat, termasuk kes-kes menyayat hati seperti kejadian kanak-kanak yang maut kerana terjatuh dari flat apabila besi pengadang reput patah, atau kewujudan kawasan pembuangan sampah yang dipenuhi tikus serta bahan buangan yang busuk kerana melimpah tong sampah dan lama tidak dikutip.

Saya ingin mengambil laporan Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang jelas aktif menjadi suara masyarakat sejak ditubuhkan pada 1970 sebagai contoh dalam isu penyelenggaraan flat ini.

Setelah menjalankan tinjauan di lapan flat kos rendah dan sederhana di pulau itu dan di Seberang Perai tidak lama dahulu, ia membuat kesimpulan bahawa keadaan flat-flat itu seperti kawasan setinggan.

Masalah melibatkan keadaan flat kos rendah dan sederhana termasuk:

• Ahli keluarga yang ramai atau pekerja asing tinggal bersesak dalam unit-unit kecil dan sempit.

• Bangunan tinggi ini mempunyai reka bentuk yang buruk.

• Kurangnya pencahayaan dan peredaran udara semula jadi untuk penghuni.

• Ketiadaan sistem pembuangan sampah yang teratur atau sempurna.

• Penyelenggaraan tempat dan kemudahan awam yang buruk.

• Lif yang rosak kekal tidak dibaiki untuk jangka masa yang lama.

• Tahap kebersihan amat buruk dan tidak memuaskan.

• Penyalahgunaan ruang awam.

• Taman permainan, tempat meletak kenderaan dan halaman tidak sempurna dan tidak selamat untuk digunakan.

• Kamera rakaman tersembunyi tidak berfungsi dengan sempurna.

• Tikus berkeliaran; dan

• Bekalan elektrik sering terputus di sekitar koridor.

 Pelik memikirkan, semua orang inginkan keselesaan hidup dan tempat tinggal yang selamat dan menyelerakan, tetapi banyak kawasan tidak selamat dan kotor.

Sebenarnya tidaklah payah macam mana pun menjaga kebersihan kawasan flat, apa lagi yang bertembok, berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan.

Cuba lawat kondominium dan apartmen; kawasannya sangat bersih dan terjaga. Tiada sampah, tiada kenderaan-kenderaan terbiar dan tiada jalan yang berlopak-lopak.

Kenapa? Jawapannya mudah sahaja; kerana terdapat perkongsian sikap bertanggungjawab dalam kalangan penghuni sendiri.

Dengan lain perkataan, semua penghuni bersatu hati menjaga kebersihan kawasan sendiri, bukan melepaskan tugas dan tanggungjawab kepada beberapa individu yang mengorbankan masa, tenaga dan setengahnya wang ringgit, untuk jamin kebersihan kawasan flat, sedangkan ramai lagi goyang kaki.

Penghuni-penghuni bukan sekadar membayar yuran penyelarasan, menentukan orang lain tidak menyumbang kepada kekotoran dan segala kecelaruan, tetapi juga mendisiplinkan diri masing-masing menjauhi suasana persekitaran yang kotor.

Selagi penghuni-penghuni enggan bersatu hati dan bergerak bersama, selagi lebih ramai yang bersandar menunggu manfaat tetapi enggan memberi khidmat, selagi itulah kawasan flat mereka akan terus dihantui masalah.