SINAR HARIAN muncul pertama kali di Kelantan dan Terengganu pada 31 Mac 2006, dalam suasana dan keadaan yang tidak boleh diramalkan.

Saya kata begitu kerana dua akhbar sebelumnya, iaitu Watan dan Eksklusif, tidak hidup lama; dihentikan penerbitannya disebabkan suasana politik tanah air ketika itu.

Maka kemungkinan untuk Sinar Harian menerima nasib yang sama masa itu tidak boleh diketepikan.

Tetapi dengan izin ALLAH, akhbar ini terus berkembang hingga menjadi akhbar yang dihormati rakan dan digeruni lawan.

Dipendekkan cerita, Sinar Harian terus mengembangkan sayap ke negeri-negeri lain. Pada 18 Jun 2010, edisi kelapan dan terakhir, diterbitkan di Johor.

Berkat konsepnya sebagai akhbar yang “Telus dan Tulus” yang menyiarkan laporan without fear or favour (tanpa gentar atau pilih kasih) sambutan kepada Sinar Harian cetak, disusuli oleh Sinar Online dan Sinar TV, terus memuncak hingga mencatatkan bilangan pembaca yang sangat tinggi, bahkan menandingi kebanyakan akhbar-akhbar lain, yang jauh lebih lama di pasaran.

Hari ini, selepas 11 tahun kewujudannya, ia masih mengekalkan edaran yang tinggi dan mendapat sambutan ramai di seluruh Semenanjung, sama ada di bandar atau di kawasan-kawasan terpencil.

Perlu disebut, segala kejayaan ini adalah atas kegigihan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk (Dr) Hussamuddin Yaacub, yang disokong kuat oleh leftenan-leftenannya yang muda lagi berdedikasi.

Kejayaan Sinar Harian di bawah kepimpinannya tidak berhenti di situ sahaja.

Pada 2012, hasil cetusan idea beliau juga, Sinar Harian memperkenalkan sebuah forum yang dinamakan Wacana.

Sehingga Oktober 24, 2017, ia sudah berjaya menganjur 50 siri Wacana, yang mencatatkan jutaan pengikut di dalam dan luar negara.

Forum ini merupakan satu-satunya pentas yang telah membuka ruang kepada banyak pihak, sama ada penyokong kerajaan, pembangkang atau mereka di atas pagar, untuk meluahkan perasaan mengenai perkara yang didebatkan, kebanyakannya melibatkan isu kontroversi yang tidak mampu diketengahkan pihak-pihak lain, dalam suasana harmoni.

Sementara populariti Wacana terus memuncak, Hussamuddin, melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, yang beliau menjadi pengasasnya, muncul lagi dengan idea baharu, iaitu kempen #QuranHour yang diadakan tanpa musim.

Malaysia #QuranHour dilancarkan pada 11 Julai 2015, sementara World #QuranHour pada 11 September 2016.

Kedua-duanya mencatat kira-kira 10 juta pembaca dan 357 juta impressions, iaitu yang disebut dan dikongsi di media sosial, di seluruh dunia.

Ia mendapat sambutan menggalakkan di kalangan kementerian dan agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), masjid, surau serta institut pengajian tinggi, di segenap pelosok dunia.

Tindakan terbaru beliau adalah menggerakkan usaha pembentukan gabungan NGO dan badan korporat melalui program Sinar4Rohingya - Solidariti Untuk Kemanusiaan.

Lebih 100 NGO dan badan korporat telah berkumpul di Dewan Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam, pada 8 September lepas dan menyuarakan rasa keprihatinan terhadap nasib etnik minoriti Rohingya yang sedang dizalimi di Rakhine, Myanmar.

Sehingga Jumaat lalu, RM639,297.11 telah berjaya dikumpulkan daripada penyumbang-penyumbang melalui tabung diwujudkan untuk membantu masyarakat Rohingya yang tertindas itu, yang hampir kesemua beragama Islam.

Pembaca budiman boleh menyumbang melalui Akaun bernombor 503033634355 (Maybank), Sinar Karangkraf Sdn Bhd (Tabung Sinar4Rohingya - Solidariti untuk Kemanusiaan).  

Perlu juga disebut bahawa Sinar4Rohingya dibarakan oleh akhbar Sinar Harian, Sinar Online, Sinar TV, dan Astro Awani.

Pencapaian melalui idea dan usahanya sudah dikira cemerlang, tetapi Hussamuddin, walaupun kadang-kadang lagaknya nampak seolah-olah brutal dan enigmatic, jelas seorang yang merendah diri.

Dalam hampir setiap ucapannya di mana-mana ada kesempatan, anda akan mendengar Pengarah Urusan, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf ini membuat pengakuan dalam nada separuh bergurau, separuh serius, bahawa segala usaha yang dilakukan selama ini semata-mata ‘untuk menebus dosa dan mengumpul pahala’.

Tetapi tidak boleh dinafikan, Hussamuddin, dengan stailnya tersendiri, telah berjaya meletakkan imej media negara ini di satu tahap yang boleh dibanggakan oleh pengamal-pengamal media.

Tidak memadai jika tidak disebut bahawa di bawah kepimpinan beliau, Karangkraf menjadi penerbit dan pencetak buku paling dominan di Malaysia.

Maka, tidaklah hairan beliau menerima banyak penghormatan dan anugerah sejak memulakan Karangkraf pada 1978.

Antaranya, beliau diisytiharkan sebagai Tokoh Media pada 21 April 2017 oleh Institut Akhbar Malaysia dan sehari kemudian Tokoh Anak Kelantan oleh Himpunan Siswazah Kelantan.

Dengan penampilan dan pencapaian yang memberangsangkan itu, apakah pada usia 63 tahun ini, beliau menanam cita-cita untuk tampil dalam saf utama kepimpinan negara bagi membantu melakarkan landskap baharu demi masa depan negara dan kesejahteraan masyarakat? Wallahuaklam.

Tetapi bagi saya, insan bertubuh kecil tetapi mewarisi jiwa besar ini perlu diberi ruang dan kebebasan untuk terus menggerakkan usaha ke arah menjadikan Malaysia makin dihormati di mata dunia.