MEREKA yang berjanji sentiasa risau bahana yang akan menimpa kalau janji mereka tidak dapat ditunaikan.

Seteru pula akan terus ‘mengasah pisau’ dan menanti masa untuk melapah musuh yang tidak mampu menunaikan janji.

Demikianlah dunia. Sebab itulah selalu kita dengar amaran, jangan suka berjanji jikalah tidak ditepati.

Namun, dalam kempen pilihan raya, tidak membuat janji dianggap pelik. Kalau tidak buat janji atau sekurang-kurangnya suarakan azam dalam pilihan raya, lebih baik jangan bertanding.

Mana pemimpin dan negara telah menunaikan setiap daripada janji yang mereka buat dalam manifesto pilihan raya yang mereka canang-canangkan kepada rakyat?

Kita ambil Donald Trump, Presiden ke-45 Amerika Syarikat (AS), negara yang dianggap sebagai sebuah kuasa besar di dunia dan didewa-dewakan banyak pihak.

Trump, ketika kempen pilihan raya dan selepas memegang jawatan berpengaruh itu hujung tahun 2016, membuat janji besar dan kecil panjang berjela kepada rakyat AS.

Sebanyak 76 daripada janji itu disenaraikan, ada berpuluh-puluh lagi yang tidak masuk dalam senarai.

Berapa daripada janji-janji itu sudah berjaya ditunaikan, berapa masih tergantung dan gagal ditunaikan apabila tempoh 100 hari Trump tamat?

Beliau, antaranya, janji mengharamkan umat Islam masuk negaranya masuk AS, kecuali yang ada urusan yang diterima pihak berkuasa.

Beberapa janjinya tertunai, termasuk kurangkan kadar cukai korporat dan kadar cukai warga kerja AS.

Janji itu ditunaikan pada Disember 2017, iaitu 12 bulan selepas dia jadi presiden, bukan dalam tempoh 100 hari.

Para penganalisis menyifatkan bahawa amalan menentukan kejayaan seseorang pemimpin berdasarkan prestasi 100 harinya sebagai ‘artificial construct’.

Barangkali 100 hari, kata mereka, wajar untuk memantau cara seseorang pemimpin menjalankan tugas dan menilai kemajuan usahanya menuju ke arah menunaikan janjinya itu.

Untuk Trump, 100 hari pertamanya disifatkan sebagai ‘anything, but boring and slow’ (Apa sahaja, kecuali membosankan dan lembab) tetapi dalam tempoh mana beliau bercakap dan melepaskan kemarahan dan dalam tempoh mana benar-benar beraksi, tidaklah dapat dapat dipastikan.

Disebabkan ruang yang terhad di sini, memadailah saya secara ringkas maklumkan bahawa sebahagian daripada janjinya ditunaikan dan sebahagian, belum.

Bahkan, bukan sekadar ada yang tiada kemajuan, tetapi banyak diabaikan.

Terbaharu, Pengerusi Pakistan Tehreek-e Insaf Imran Khan yang bertanding dalam pilihan raya pada 25 Julai lalu, membuat janji dalam ucapan pertamanya Ahad lalu sebaik sahaja dilantik menjadi Perdana Menteri negara itu.

Beliau mengumumkan melalui televisyen kepada  seluruh rakyat Pakistan bahawa beliau akan lakukan reformasi dalam usaha memerangi rasuah dan akan tumpu kepada pembangunan insan dalam negara yang pesat membangun itu.

Beliau juga sentuh isu menjadikan Pakistan negara kebajikan Islam yang boleh dicontohi dan menghapuskan kegiatan mendera kanak-kanak secara seksual.

Kalau itu tidak cukup, bintang kriket terkenal itu berjanji mencipta 10 juta pekerjaan dan membina 5 juta rumah murah.

Mampukah Imran menunaikan semua janji besarnya itu dan sesuatu tempoh? Bahkan bolehkah beliau tunaikan selama beliau menjadi perdana menteri?

Balik kepada negara kita yang kita cintai ini.

Pakatan Harapan (PH) membuat 10 janji besar melalui manifesto PRU14 untuk ditunaikan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya yang bermula 9 Mei lalu.

Dari awal-awal lagi, kalangan musuh sudah mula ‘mengasah pisau’ untuk menyelinap pihak yang diyakini tidak akan mampu menunaikan banyak daripada janjinya itu dan pihak kerajaan bersiap sedia untuk mempertahankan serangan musuh.

PH mengakui tidak berjaya menunaikan semuanya sekali dalam tempoh itu, tetapi berjanji akan terus berusaha ke arah pencapaian azam mereka.

Kerajaan baharu itu berjaya menunaikan janji utama dengan meletakkan cukai barangan dan perkhidmatan pada 0 peratus (daripada 6 peratus yang ditetapkan kerajaan BN) dan pada 1 September depan akan memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dijamin mengurangkan beban kos hidup rakyat.

  Dalam usaha menstabilkan harga petrol dan memperkenalkan subsidi petrol, kerajaan berjaya mencapai sebahagiannya.

Berhubung dengan janji menghapuskan hutang yang tiada wajar yang telah dikenakan ke atas peneroka Felda. Statusnya, tiada perkembangan dilaporkan.

Demikianlah antaranya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus-terang mengaku adalah mustahil memenuhi 10 janji 100 hari dalam manifesto PH.

Manifesto disiapkan sebelum PH mengambil alih kerajaan Pusat, tanpa menyedari kedudukan  fiskal negara yang agak meruncing.

“Kemungkinan tempoh sepenggal juga tidak mencukupi. Tetapi kebanyakan janji dalam manifesto akan dipenuhi dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Walaupun lambat menunaikan janji, pakar ekonomi masih yakin dengan pentadbiran PH setakat ini.

Mereka akui tempoh 100 hari itu terlalu singkat untuk tunai janji PRU.

Banyak pihak mula setuju kerajaan baharu tidak tumpu isu janji manifesto PRU tapi kepada masa depan negara dan kesejahteraan rakyat.

Apa yang penting adalah kita menilai prestasi kerajaan secara menyeluruh dan memberi ruang untuk kerajaan membuktikan keupayaannya.

Kerajaan juga perlu menunjukkan ia bersungguh-sungguh berkhidmat untuk rakyat dan negara, bukan menekan rakyat tapi mengisi tembolok pihak tertentu.

Pengorbanan diperlukan daripada semua pihak untuk mencapai kejayaan. Selamat menyambut Aidiladha.