KETIKA di bangku sekolah, cita-cita melancong ke luar negara hanya tercapai dalam mimpi dan angan-angan. 

Hidup dalam keluarga kurang berada, belanja sekolah pun hanya antara 10 sen dan 15 sen.

Kalau ada tetamu datang rumah dan bagi 50 sen, itu sudah boleh dianggap durian runtuh.

Ketika remaja, tempat paling jauh saya pernah pergi adalah rumah datuk saudara di Repoh, Arau. Perlis. Paling kerap ke rumah datuk di Bukit Mertajam. Sekali sekala ke rumah datuk sebelah ibu di Sungai Bakap dan Parit Buntar.

Sebab itu jangan hairan apabila, pada 1968, saya ‘terlepas’ ke rumah kakak di Kuala Lumpur, saya jadi rusa masuk kampung; tercengang-cengang melihat jejambat dan bangunan ‘pencakar langit’ di sana-sini.

Apabila dapat kerja sebagai pembantu keselamatan di Port Swettenham (Pelabuhan Klang) dua tahun kemudian, disebabkan nama orang putihnya itu, saya rasa seperti sudah keluar negara.

Saya cuma betul-betul dihantar ke luar negara apabila menceburi bidang kewartawanan pada 1973; bermula dengan tempat-tempat berdekatan sempadan dan negara jiran.

Kemudian saya dihantar mengikuti perdana menteri, timbalan perdana menteri atau menyertai program ke negara lebih jauh, seperti Arab Saudi, Lebanon, Iraq, Maghribi, Yaman, Australia, India, Pakistan. Dalam kerjaya saya sebagai wartawan, saya sudah pergi ke kira-kira 50 tempat di luar negara.

Pergi ke luar negara untuk lima enam hari, anda meluaskan pandangan dan menambah ilmu mengenai negara itu, tetapi ia lain kalau anda dihantar ke luar negara pada tempoh panjang.

Setelah 15 tahun menjadi wartawan dan dipindahkan ke hampir seluruh semenanjung, saya dihantar ke London untuk menjadi wakil syarikat, satu daripada tiga tempat yang wartawan biasanya dihantar. Dua tempat lagi adalah Jakarta dan New York.

Berada di ibu kota Great Britain itu selama sembilan bulan memang banyak yang dapat dipelajari tentang kehidupan, budaya, kos hidup, sikap dan fahaman politik mereka. Bukan sekadar mencari roti canai dan teh tarik di negara orang putih.

Di Speakers’ Corner yang diwujudkan di  sudut Hyde Park, setiap pagi, terutama hari minggu, beberapa individu mengambil peluang meluahkan perasaan sama ada mengenai fahaman politik, agama dan prinsip hidup dari atas kerusi atau tempat tinggi.

Di Speakers’ Corner ada anggota polis berpakaian seragam, tetapi anda dibenarkan bercakap apa sahaja, asalkan tidak menghina Ratu Britain dan tidak mencetuskan pergaduhan.

Apabila anda ke masjid-masjid, terutama London Central Mosque di Regent’s Park, anda mungkin rasa pelik pada mulanya kerana jemaah yang hadir solat atau majlis ceramah adalah daripada pelbagai bangsa; Arab, Pakistan, India, Inggeris, Amerika Syarikat, Afrika dan banyak lagi.

Keadaannya jauh berbeza dari yang kerap kita lihat di kebanyakan masjid di negara kita; ramai orang Melayu.

Kalau naik London Underground, iaitu kereta api laju bawah tanah atau bas, anda tidak sakit hati kerana tidak bertemu dengan orang yang bertolak-tolak untuk naik, turun atau mendapatkan tempat duduk.

Bahkan kalau anda bersama rakan wanita, bukan sahaja rakan wanita anda, malah anda juga dipelawa duduk di tempat yang mereka sudah duduk.

Tetapi bukan semua begitu. Kalau anda naik waktu jauh malam, anda berhadapan dengan bahaya dan keadaan tidak selesa.

Anda mungkin bertembung dengan anak-anak muda yang sanggup londeh seluar atas kereta api semata-mata mahu menunjuk lagak berani kepada kawan-kawan sekeliling.

Lebih mencemaskan kalau anda dalam satu koc dengan pemuda yang menyarung pisau di tali pinggang, sambil memandang di sekelilingnya.

Dalam masa-masa begitu apabila anda hanya seorang daripada dua tiga orang dalam koc yang sama dan tiada seorang pun anggota polis kelihatan, anda mulai berdoa dalam hati tentang keselamatan diri dan berharap kereta api segera tiba di destinasi.

Betullah kata orang tua-tua kita: Walaupun hujan emas di negeri orang, anda tetap rindu untuk balik ke negeri sendiri, biarpun hujannya batu.

Isteri dan tiga anak saya balik ke Malaysia selepas tiga bulan di London kerana tidak tahan dengan cuaca dan saya rindukan keluarga, sanak-saudara, rakan-rakan dan Malaysia di mana saya boleh buat apa saya suka, apatah lagi selepas mendapat berita pilu bahawa ayah saya meninggal dunia dan saya tidak sempat balik untuk mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan. Moga-moga ALLAH kumpulkan Allahyarham bersama mereka yang soleh.