“BARANG siapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat hendaklah berbicara yang baik-baik atau diam.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Antara waktu paling saya suka ketika kanak-kanak adalah hari keluar mengundi.

Memandangkan kehidupan keluarga masa itu di bawah paras sederhana, saya hanya mampu pukul kaki ke sekolah sejauh 4 kilometer lima hari seminggu.

Kalau bernasib baik dapat tumpang bonceng basikal pakcik sebelah rumah.

Naik motosikal, apa lagi kereta, hanya berlaku dalam mimpi.

Tetapi pada hari buang undi, ada orang yang tak pernah saya lihat datang jemput ibu dan ayah dengan kereta Morris Minor hitam berkilat untuk ke sekolah.

Dalam usia 4 tahun, saya tidak tahu apa pun pasal undi.

Dapat naik kereta, dapat belon dan gula-gula, di samping bendera untuk dikibar-kibar sepuas hati sudah cukup untuk membuat saya gembira tidak terkira.

Suasana di kampung, di sepanjang jalan dan di luar sekolah begitu meriah.

Hari itu dan hari-hari sebelum itu lagu yang dimainkan berulang-ulang melalui radio dan corong-corong di  bawah kemah ialah lagu irama boria oleh Allahyarham Zainal Alam, dengan lirik awalnya yang simple: Marilah tuan dan puan; 27 haribulan; pilihlah calon yang utama; marilah undilah bersama-sama.

Sedar tak sedar, saya sudah mengikuti suasana semua 14 PRU sejak 1959.

Kecuali PRU pada 1969 yang mencetuskan peristiwa 13 Mei yang merugi dan memalukan, kesemua PRU berjalan aman tenteram.

Sehingga cetusan ini disiapkan, saya percaya dan doakan suasana di sekitar pusat-pusat buang undi hari ini bebas daripada sebarang insiden tidak diingini.

Di tempat saya buang undi di Shah Alam,  suasana mesra pada setiap kali undi dapat dilihat dalam kalangan petugas dan penyokong parti.

Keakraban yang terjalin di surau dan kedai-kedai minuman membuat kita dapat meramalkan pilihan calon sesama kita, tetapi masing-masing menghormati kebebasan memilih. Alhamdulillah.

Sama ada ada yang risau atau yang demam kura kerana menunggu keputusan untuk menentukan nasib calon pilihan masing-masing, ia tidak terserlah di sekitar pusat buang undi yang saya hadir di masa-masa lampau.

Semuanya di bawah kawalan. Biar begitu juga hari ini.

Mereka yang bertugas menjalankan kerja masing-masing, diselit dengan senyuman dan gurauan ringan, walaupun dari pihak yang berbeza konsep perjuangan.

Suasana begini sungguh melegakan apabila diambil kira keadaan kebelakangan ini di mana pelbagai cara melampau boleh berlaku.

Tindakan diambil dan bahasa yang digunakan kadang-kadang menakutkan.

Ia seolah-olah kita dalam peperangan, sedangkan kita hanya mahu memilih wakil rakyat untuk tempoh lima tahun.

Perlu diingatkan, hari ini kita mungkin yakin calon yang kita pilih itulah paling layak, tetapi esok lusa kita tidak tahu apa yang boleh berlaku.

Apakah dia mampu melaksanakan mandat selama lima tahun dengan berusaha menepati janji yang dibuat atau dia akan jadi seperti segelintir ahli politik di muka bumi ini yang akhirnya bertindak menghalalkan cara untuk mencapai matlamat.

Sama ada anda peraih undi, petugas atau penyokong, yang paling perlu dijaga adalah budi bahasa.

Bahasa yang baik memancarkan adab yang baik.

Kalau tidak setuju dengan pendapat orang lain, boleh sahaja berhujah dengan sihat atau berdiam diri.

Tidak menguntungkan langsung, malah memalu dan merugikan sahaja jika beraksi secara samseng.

Yang terbaik, kawal mulut, jaga hati, pilihlah calon yang pembaca budiman yakin paling layak menjadi wakil rakyat anda.

Raikan kemenangan dengan kesyukuran, terima kekalahan dengan sabar.

Yang menang tidak menang semuanya, yang kalah, tidak kalah semuanya.

Yang penting, semua kita berusaha dan berdoa supaya jangan sampai menang sorak kampung tergadai.